Utusan Malaysia Isnin, 27/06/2011 350 juta hidap diabetes LONDON 26 Jun – Hampir 350 juta orang dewasa di seluruh dunia dilaporkan menghidap diabetes, iaitu dua kali ganda sejak 1980, berdasarkan satu kajian diterbitkan dalam jurnal perubatan The Lancet semalam. Saintis dari Kolej Imperial London dan Universiti Harvard menganalisis gula dalam darah 2.7 juta orang berumur 25 tahun ke atas di seluruh dunia dan menggunakan keputusan itu untuk menganggarkan jumlah pesakit diabetes. Kajian itu menyatakan jumlah penghidap diabetes meningkat dua kali ganda dari 153 juta orang pada 1980 kepada 347 juta orang pada 2008. Tahap gula yang tinggi dalam darah dan diabetes membunuh tiga juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Pengkaji kajian itu berkata, dua faktor utama yang mengakibatkan peningkatan penghidap diabetes adalah hidup yang lama dan berat badan terutama bagi wanita. ‘‘Kajian kami menunjukkan diabetes semakin meningkat seluruh dunia. ‘‘Ia berbeza dengan tekanan darah tinggi dan kolesterol yang menurun di kebanyakan rantau. Diabetes sukar untuk dibendung dan dirawat berbanding penyakit lain,’’ kata ketua pengkaji bersama, Majid Ezzati dari Kolej Imperial London. Kajian itu menunjukkan seorang daripada tiga wanita dan seorang daripada empat lelaki menghidap diabetes di Kepulauan Marshall. Ia berkata, peningkatan jumlah penghidap diabetes di negara-negara barat Eropah pula hanya kecil. – AFP
|
|
{module berita:news} |