A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Penyakit
  6. /
  7. Dermatologi
  8. /
  9. Dermatitis Sentuh
  10. /
  11. Ekzema Disebabkan Oleh Nikel

Ekzema Disebabkan Oleh Nikel

Alergi nikel adalah salah satu punca utama contact dermatitis. Nikel biasanya ditemui di dalam produk logam.

Alergi nikel adalah salah satu punca utama contact dermatitis. Nikel biasanya ditemui di dalam produk logam. Alergi nikel boleh terjadi selepas pesakit terdedah kepada produk yang mengandungi nikel secara berterusan.  Ekzema akan terjadi di kawasan kulit yang terdedah/bersentuhan dengan produk logam yang mengandungi nikel. Kawasan yang terlibat menjadi gatal, merah dan terdapat gelembung-gelembung air (dermatitis akut) atau kulit menjadi kering, menebal dan semakin gelap (dermatitis kronik).

Ekzema yang disebabkan oleh nikel kerap melibatkan bahagian telinga (dari subang atau anting-anting), pergelangan tangan (dari tali jam) dan bahagian pusat (dari butang seluar). Nikel juga boleh didapati di dalam barang-barang yang sentiasa disentuh seharian, seperti duit syiling, zip dan bingkai cermin mata.

Alergi nikel boleh terjadi kepada semua peringkat umur. Rawatan yang diberikan oleh doktor boleh mengurangkan gejala alergi nikel. Walaubagaimanapun, jika seseorang itu alergi kepada nikel, ianya kekal selama-lamanya, dan pesakit perlu mengelak daripada kulit bersentuhan dengan produk yang mengandungi nikel.

Risiko

Berikut adalah risiko-risiko untuk mendapat alergi kepada nikel:

  1. Menindik telinga atau bahagian badan lain.
    Nikel lazim dijumpai di dalam barang kemas. Semakin banyak tindikan yang anda ada, semakin tinggi risiko untuk mendapat alergi nikel.
  2. Pekerjaan yang melibatkan bersentuhan dengan produk yang mengandungi nikel.
    Sesetengah pekerja berisiko tinggi untuk mendapat alergi kepada nikel jika sering terdedah kepada bahan yang mengandungi nikel sewaktu bekerja. Pekerja logam, pendandan rambut, orang yang bekerja dalam industri makanan tertentu dan pembersih domestik adalah contoh orang berisiko mendapat alahan nikel.
  3. Wanita.
    Golongan perempuan lebih cenderung untuk mendapat alergi nikel berbanding lelaki. Mereka sudah terdedah kepada produk nikel di usia yang lebih muda, contohnya melalui tindikan di telinga dan penggunaan barang-barang perhiasan diri.
  4. Sejarah peribadi atau keluarga yang menghidapi eczema.
    Sesiapa yang mempunyai sejarah peribadi, atau ada di antara ahli keluarga yang menghidapi atopic eczema atau discoid eczema adalah lebih cenderung untuk mendapat ekzema disebakan oleh nikel.
  5. Sejarah alahan kepada logam lain.
    Sesiapa yang mempunyai sensitiviti kepada bahan logam lain, seperti palladium, kobalt atau kromium juga berkemungkinan mendapat alahan kepada nikel.

Gejala dan tanda-tanda

Reaksi alahan biasanya bermula dalam tempoh 12 hingga 48 jam selepas terdedah kepada nikel. Ruam selalunya muncul di kawasan kulit yang bersentuhan dengan nikel, tetapi ia juga boleh muncul di tempat-tempat lain pada badan. Tanda-tanda dan gejala-gejala alergi nikel termasuk:

  • Gatal
  • Kemerahan
  • Ruam pada kulit
  • Gelembung-gelembung air dalam kes-kes akut
  • Tompok kulit kering yang menyerupai kulit terbakar
  • Kulit menebal dan bersisik dalam kes-kes kronik

Di manakah nikel boleh dijumpai?

  1. Barang kemas.
    Kerongsang, anting-anting, rantai, gelang, cincin dan tali jam mungkin mengandungi nikel. Emas dan barang kemas perak yang tulin tidak mengandungi nikel. Walau bagaimanapun, emas putih mengandungi nikel.
  2. Pakaian.
    Butang seluar, kepala tali pinggang, zip logam, cangkuk baju dalam, pin rambut dan bingkai cermin mata mengandungi nikel. Tukar kepada produk yang diperbuat daripada plastik, disadur dengan cat atau diperbuat daripada bahan yang tidak mengandungi nikel.
  3. Barang-barang peribadi.
    Telefon bimbit, bedak muka kompak, pemegang beg tangan, pemetik api, pisau cukur, kunci, pemegang kunci, pisau poket dan pen adalah contoh beberapa barangan peribadi yang mengandungi nikel.
  4. Wang syiling.
    Juruwang yang mempunyai alergi kepada nikel boleh mendapat ekzema melalui sumber ini.
  5. Item di rumah.
    Peralatan dapur, sudu dan garfu, pembakar roti, teko logam, gunting, jarum dan pin adalah contoh perkakas rumah yang mengandungi nikel. Pilih perkakas rumahyang pemegangnya diperbuat daripada plastik. Keluli tahan karat biasanya tidak menyebabkan ekzema melainkan jika ia mengandungi nikel.
  6. Item di tempat kerja.
    Ekzema disebabkan nikel mungkin menjadi lebih teruk jika terdedah kepada klip kertas, pen dan instrumen logam di tempat kerja.
  7. Makanan.
    Makanan tertentu, seperti makanan dalam tin, kentang, sayur-sayuran akar, kacang hijau, brokoli, kacang, buah-buahan kering dan coklat mengandungi nikel.

Bagaimanakah penyakit ini dapat dikesan?

Diagnosa biasanya boleh dibuat berdasarkan sejarah pesakit terdedah kepada bahan yang mengandungi nikel, dan ekzema terjadi di bahagian yang terdedah kepada bahan yang mengandungi nikel. 

Ujian tampalan (patch test) boleh dilakukan untuk mengesahkan diagnosis. Semasa ujian patch test, beberapa jenis alergen (termasuk nikel) ditampal di permukaan kulit. Tampalan tersebut akan dibuka selepas dua hari, dan doktor akan memeriksa kawasan kulit yang ditampal dengan alergen tersebut. Jika anda mempunyai alergi nikel, kulit di bawah patch nikel akan menjadi merah, dan berkemungkinan terdapat bintik-bintik atau gelembung air di kawasan yang terlibat.

Data daripada Jabatan Dermatologi, Hospital Kuala Lumpur menunjukkan bahawa antara tahun 2000 – 2012, 19-30% daripada pesakit yang menjalani ujian tampalan mempunyai alergi kepada nikel.

Bagaimana untuk merawat eczema disebabkan oleh nikel?

Pertama sekali adalah untuk mengenal pasti sumber nikel dan mengelakkan daripada bersentuhan dengannya.

Ekzema boleh dikawal dengan menggunakan krim pelembab, krim steroid dan antihistamin. Jika terdapat jangkitan kuman, antibiotik akan diberikan oleh doktor. Jika kawasan ekzema tersebut terdapat gelembung-gelembung air dan luka, rawatan untuk mengeringkan kawasan tersebut akan diberikan.

Jika seseorang itu mempunyai alahan kepada nikel, ia selalunya akan kekal selama-lamanya. Jika anda terdedah kepada produk yang mengandungi nikel, ekzema akan terjadi di kawasan tersebut, dan berkemungkinan boleh menjadi lebih teruk jika terdedah secara berterusan.

Bagaimana untuk mengurangkan gejala ekzema yang disebabkan oleh nikel?

Elakkan pendedahan yang berpanjangan kepada barangan yang mengandungi nikel, terutamanya barang perhiasan diri. Anda boleh menggunakan kit ujian di rumah untuk memeriksa jika sesuatu produk mengandungi nikel.

Tips-tips berikut mungkin membantu:

  • Gunakan barang kemas yang tidak mengandungi nikel, diperbuat daripada emas tulin, perak sterling atau titanium.
  • Jika anda memakai tudung, pilih tudung yang tidak memerlukan penggunaan kerongsang
  • Pilih produk kegunaan harian yang tidak mengandungi nikel,
    • contohnya tali jam yang diperbuat daripada kulit, kain atau plastik
    • zip yang diperbuat daripada plastik atau logam bersalut
    • bingkai cermin mata yang diperbuat daripada plastik atau titanium
  • Menggunakan peralatan dapur yang pemegangnya diperbuat daripada kayu, plastik atau bahan yang tidak mengandungi nikel.
  • Simpan duit syiling di dalam dompet kecil, dan bukan dimasukkan ke dalam saku seluar
  • Elakkan bersentuhan dengan produk yang mengandungi nikel,
    • contohnya, pastikan tangan kering jika anda perlu menyentuh bahan-bahan yang mengandungi nikel, seperti duit syiling
    • menggunakan pelapik kain untuk mengelakkan daripada butang bersentuhan dengan kulit
    • menggunakan varnis kuku untuk menyelaputi bahan-bahan perhiasan diri yang mengandungi nikel, jika anda benar-benar ingin memakainya.
 
Rajah 1: Ekzema di bahagian leher disebabkan alergi kepada kerongsang yang mengandungi nikel   Rajah 2: Ekzema di bahagian bawah pusat disebabkan alergi kepada butang seluar jeans dan kepala tali pinggang besi yang mengandungi nikel

 

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis/Penterjemah : Dr. Azura bt. Mohd Affandi
Akreditor : Datin Dr. Asmah bt. Johar
Penyemak : Dr. Nazatul Shima bt. Abd Rahim

Artikel Berkaitan

Dermatitis Sentuh

Dermatitis sentuh adalah sejenis ekzema yang disebabkan oleh faktor luaran.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,616

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia