Radioterapi untuk kawasan dada mungkin diberi ke bahagian tengah atau sebelah (kiri atau kanan) dada. Sekali-sekala rawatan radiasi mungkin diberi kepada kedua-dua belah dada (kiri dan kanan) seperti dalam radioterapi untuk kedua-dua payudara. Tisu normal yang mungkin berada dalam kawasan rawatan adalah kulit, sebahagian kerongkong, esofagus dan saluran udara (trakea), paru-paru, payudara, dan sebahagian bahu.
Apakah Kesan Sampingan Awal?
Kesan sampingan awal ialah perubahan atau reaksi tisu normal yang berlaku semasa rawatan radiasi. Simptom menjadi lebih teruk jika banyak tisu normal berada di dalam kawasan rawatan dan jika jumlah dos radiasi kepada tisu normal adalah lebih tinggi. Reaksi awal radioterapi dada yang mungkin berlaku adalah seperti dalam grafik. Kebanyakan reaksi bermula dalam minggu kedua hingga ketiga rawatan tetapi akan menjadi lebih baik 3 hingga 4 minggu selepas rawatan berhenti.
Reaksi Kulit
Tahap reaksi kulit untuk radioterapi dada bergantung kepada jenis radiasi dan lokasi kawasan rawatan. Rawatan menggunakan pancaran elektron akan menghasilkan dos kulit yang lebih tinggi dan mengakibatkan lebih reaksi kulit berbanding pancaran foton.
Kebanyakan reaksi kulit di permukaan rata (chestwall) adalah sederhana (merah dan kering) dan boleh diterima. Kulit di bawah payudara dan ketiak (lipatan kulit) boleh menjadi lembap, melecur atau berkudis disebabkan faktor kelembapan dan panas.
Dilarang memakai coli yang ketat dan mengandungi logam, kerana ia boleh membuat reaksi menjadi bertambah teruk. Pastikan pakaian longgar; dan jaga kawasan rawatan bersih dan kering. Untuk jagaan kulit, sila rujuk kepada Radioterapi: Reaksi Kulit & Jagaan.
Sakit Kerongkong Dan Susah Menelan
Permukaan dalam kerongkong dan esofagus mungkin menjadi merah, bengkak dan sakit. Ini menyebabkan ketidaksenangan seperti merasa ada sesuatu dalam kerongkong dan kesusahan menelan makanan pepejal. Reaksi ini lebih biasa berlaku untuk rawatan di bahagian atas dada. Kesan ini lebih teruk jika seseorang itu menerima kemoterapi dan radioterapi pada masa yang sama, merokok dan minum alkohol.
Reaksi ini mungkin menjejaskan selera seseorang, dan menyebabkan pengambilan makanan berkurang. Ini mengakibatkan kekurangan zat makanan dan penurunan berat badan. Ubat mungkin diberi untuk mengawal kesakitan, jika ada. Cuba lakukan beberapa penyesuaian makanan (pilihan dan penyediaan makanan) untuk meningkatkan pengambilan dan mengekalkan pemakanan yang seimbang.
Bagaimana Mengurangkan Kesan Dan Meningkatkan Pengambilan Makanan?
|
|
|
Pendek Nafas Dan Batuk
Radiasi boleh menyebabkan radang tisu paru-paru (pneumonitis), yang mungkin menghasilkan simptom batuk, sesak dada dan pendek nafas. Simptom ini mungkin menjadi lebih teruk jika kemoterapi dan radioterapi diberi pada masa yang sama. Biasanya simptom awal boleh dilegakan dengan ubat. Namun, ada juga langkah yang boleh dilakukan untuk menyenangkan pendek nafas seperti berikut:
|
|
|
Perubahan Payudara
Rawatan radiasi mungkin menghasilkan perubahan awal payudara seperti kebengkakan tisu lembut (limfedema), perasaan menyucuk dan kesakitan terutama di puting payudara.
Kekejangan Bahu
Otot bahu di sebelah yang sama dengan kawasan rawatan boleh menjadi kaku dan menghadkan pergerakan sendi bahu. Belajar beberapa senaman daripada pakar fizikal untuk menyenangkan dan menguatkan otot supaya pergerakan sendi lancar.
Adakah Apa-apa Kesan Sampingan Lewat?
Kesan sampingan lewat merupakan reaksi yang mungkin berlaku beberapa bulan atau bertahun selepas rawatan radiasi berhenti. Beberapa kesan lewat radioterapi dada yang mungkin berlaku disenaraikan dalam grafik.
Kesan lewat tisu paru-paru seperti pneumonitis dan fibrosis mungkin berlaku 1 hingga 6 bulan selepas rawatan radiasi. Simptom batuk jangka panjang, demam, sesak dada dan pendek nafas boleh dilegakan dengan ubat dan latihan pernafasan.
Untuk radioterapi payudara, kulit di kawasan rawatan akan kelihatan gelap dengan berbintik merah (telangiectasia) oleh sebab saluran darah kecil yang mengembang. Payudara yang dirawat mungkin menjadi lebih kecil kerana pengecutan tisu payudara.
Jika prosedur surgeri untuk mengeluarkan limfa di ketiak dilakukan sebelum rawatan radiasi, limfedema mungkin berlaku pada lengan di sebelah yang sama. Sila rujuk kepada Radioterapi Lengan Atau Kaki: Kesan Sampingan Dan Jagaan/ Limfedema.
Radioterapi dirancang khusus untuk setiap individu, dengan mengambil kira kesan radiasi atas tisu normal dalam kawasan rawatan. Namun, setiap orang adalah unik dan mungkin bertindak balas secara berlainan terhadap rawatan.
Dapatkan maklumat berkaitan kesan sampingan spesifik yang mungkin berlaku dengan rawatan anda dari pakar onkologi radiasi dan pegawai terapi sebelum rawatan bermula. Sentiasa maklum kepada mereka apa yang anda sedang alami dan bagaimana anda merasai supaya mereka boleh membantu anda meminimumkan simptom, mengurangkan kebimbangan dan menangani dengan lebih baik.
Rujukan
- http://www.cancer.org/treatment/treatmentsandsideeffects/treatmenttypes/radiation/understandingradiationtherapyaguideforpatientsandfamilies/understanding-radiation-therapy-radiation-to-certain-body-parts
- www.cancer.gov
- Gambar daripada pembentangan slaid Amanda Bolderston. Standards of skin care in Radiation therapy
- Gambar daripada pembentangan slaid Aishah S A. Radiotherapy side effects and Patient care
- Grafik daripada Cik Aisyah Zulkifli
Semakan Akhir | : | 26 Mei 2017 |
Penulis | : | Sarah Lee Abdullah |
Akreditor | : | Dr. Ros Suzana binti Ahmad Bustamam |