Pengenalan
Lazimnya lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota tubuh kita akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun, keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian kemaluan serta dubur.
Rajah 1 : Struktur Badan Lintah
Rajah 2 : Struktur Badan Pacat
Tanda/Gejala
Terdapat kesan gigitan dan pendarahan mungkin berlaku akibat tusukan giginya. Namun, pada peringkat yang lebih serius akibat kehilangan banyak darah, mangsa akan kelihatan pucat dan lesu. Enzim yang dikeluarkan oleh lintah dan pacat menyebabkan pendarahan tidak akan berhenti dalam waktu yang singkat.
Rajah 3 : Diserang Lintah
Komplikasi
Bahaya boleh mengancam mangsa khususnya yang mengalami masalah anemia sekiranya diserang oleh sejumlah lintah dan pacat. Paras sel darah merah akan berkurangan sekiranya setiap seekor lintah dapat menghisap sebanyak 0.7mg/dL. Selain daripada itu, mereka (pesakit) yang mengambil ubat untuk mencairkan darah juga akan berhadapan dengan pendarahan yang teruk. Luka gigitan juga boleh menyebabkan kegatalan yang teruk.
Rawatan
- Bertenang atau tenangkan mangsa;
- Pastikan sebarang petua yang digunakan untuk menanggalkan lintah dan pacat hendaklah bebas daripada sebarang pencemaran dan kekotoran.
- Cuci luka dengan air yang bersih jika ada.
- Tekan menggunakan kain bersih pada lokasi luka supaya darah tidak keluar.
- Jangan garu pada lokasi gigitan.
- Tuamkan dengan air di bahagian yang terasa gatal kerana ia juga boleh mengurangkan bengkak.
- Jika diserang lintah dan pacat yang banyak, dapatkan bantuan dan rawatan daripada anggota perubatan di klinik atau hospital berdekatan atau hubungi talian 999.
- Doktor akan memberikan rawatan perubatan seperti berikut :
- Ubat penahan sakit, gatal dan antibiotik (jika perlu).
- Krim pelembap juga akan diberikan untuk disapu di bahagian yang gatal bagi mengurangkan kegatalan.
Pencegahan
Ancaman diserang lintah dan pacat dapat dielakkan sekiranya perkara-perkara berikut diberi perhatian, antaranya :
- Elakkan diri daripada menghampiri kawasan lembap dan basah.
- Jangan merendam anggota badan di dalam lumpur, paya dan sebagainya terlalu lama.
- Sentiasa berwaspada dan memeriksa tubuh badan terutamanya pada bahagian kaki jika berada di kawasan lembap dan basah.
- Gunakan pakaian, alat dan bahan-bahan pelindung diri ketika melalui atau berada di kawasan yang lembap khususnya kawasan yang terdapat lintah dan pacat.
Rehabilitasi
- Pastikan tempat luka sentiasa bersih dan elak daripada menggunakan minyak atau bahan-bahan yang diragui kebersihannya.
- Sentiasa bersihkan diri dan persekitaran tempat tinggal.
- Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang.
- Kawal paras gula terutamanya bagi mereka yang menghidap diabetes.
- Pastikan kesihatan tubuh badan di tahap optima.
Rujukan
- Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia
- Medicinal Leeth Theraphy (Dr. P. Daniel Ward, Dr. Shan R. Baker). Victoria Poisons Information Centre: Leechs Victoria Poisons Information Centre.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Amin Zafri bin Abd Rahman |
Akreditor | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |
Penyemak | : | Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah |