A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Kabur Apabila Membaca Di...

Kabur Apabila Membaca Di Usia Sebelum 40 Tahun

Akomodasi adalah kebolehan mata untuk mengekalkan fokus yang jelas apabila jarak pandangan berubah. Kanta mata akan menebal apabila melihat objek dekat

Apakah Akomodasi

Akomodasi adalah kebolehan mata untuk mengekalkan fokus yang jelas apabila jarak pandangan berubah. Kanta mata akan menebal apabila melihat objek dekat dan akan menipis apabila melihat objek yang jauh. Fungsi akomodasi adalah untuk meletakkan imej objek yang dilihat tepat pada retina, supaya objek yang dilihat sentiasa jelas.

Rajah 1 : Proses Akomodasi

Apakah Penyebab Masalah Akomodasi?

Umumnya keupayaan mata untuk berakomodasi menjadi semakin berkurang seiring dengan peningkatan usia. Kabur penglihatan dekat pada usia 40 tahun keatas adalah perubahan normal pada mata akibat proses penuaan dan dikenali sebagai presbyopia. Walaubagaimanapun, terdapat juga kanak-kanak sekolah, remaja dan dewasa dibawah usia 40 tahun yang mengalami masalah akomodasi iaitu menghadapi masalah penglihatan kabur apabila membaca. Antara puncanya adalah akibat melakukan kerja dekat untuk tempoh yang sangat lama. Kebanyakan kanak-kanak dan remaja yang masih di alam persekolahan lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca buku dan melakukan ulangkaji pelajaran. Selain itu, mereka juga turut terdedah dengan penggunaan ‘gadget’ elektronik seperti bermain permainan komputer dan telefon bimbit. Keadaan ini boleh memberikan tekanan pada otot siliari mata dan seterusnya menyebabkan ia mengalami kekejangan. Akibatnya, mata akan berakomodasi lebih daripada yang sepatutnya untuk memfokus. Selain itu, terdapat juga ubat-ubatan yang boleh melemahkan akomodasi.

Jenis-jenis Masalah Akomodasi Adalah:

  • Akomodasi lemah

Keupayaan mata untuk berakomodasi kurang daripada nilai normal berdasarkan umur.

  • Akomodasi berlebihan

Keupayaan akomodasi yang lebih tinggi daripada nilai normal berdasarkan umur akibat kekejangan otot siliari mata yang berkontraksi secara berterusan.

  • Akomodasi infasiliti

Kegagalan mata untuk mengekalkan fokus yang jelas apabila jarak pandangan berubah dari jauh ke dekat dan juga sebaliknya.

  • Kelumpuhan akomodasi

Kegagalan mata untuk berakomodasi akibat pengambilan ubat-ubatan tertentu atau trauma.

Rajah 2

Apakah Tanda-Tanda Masalah Akomodasi?

  1. Penglihatan dekat yang kabur.
  2. Mata cepat letih apabila membaca atau melakukan kerja dekat.
  3. Sakit kepala.
  4. Mengantuk dan mudah hilang tumpuan apabila membaca.
  5. Membaca pada jarak yang sangat dekat.
  6. Kabur penglihatan jauh selepas membaca untuk tempoh yang agak lama ataupun kabur pandangan dekat selepas melihat jauh.

Bolehkah Masalah Akomodasi Dirawat?

Masalah akomodasi boleh dirawat dengan:

  1. Cermin mata (kanta cembung)
  2. Terapi visual

Fungsi terapi visual adalah:

  1. Untuk membantu menguatkan otot siliari mata untuk berakomodasi dan mengekalkan fokus yang jelas apabila membuat kerja dekat.
  2. Membantu merehatkan otot siliari yang mengalami kekejangan daripada terus berkontraksi.

Rajah 3 : Cermin Mata

Rajah 4 : Terapi Visual

Sekiranya anda menghadapi masalah akomodasi, sila berjumpa dengan optometris bertauliah untuk mendapatkan pemeriksaan komprehensif dan rawatan yang bersesuaian.

Bolehkah Masalah Akomodasi Ini Dicegah?

Masalah akomodasi ini boleh dicegah dengan mengamalkan ‘visual hygiene’ seperti berikut:

  1. Amalkan melakukan kerja dekat selama 20 minit dan ambil masa untuk merehatkan mata selama 20 saat sambil memandang ke jarak jauh (20 kaki / 6 meter).
  2. Elakkan membaca terlalu dekat.
  3. Amalkan Membaca di tempat yang terang.
  4. Elakkan membaca semasa berbaring.
  5. Elakkan membaca di dalam kenderaan yang bergerak.

Sayangilah dan peliharalah mata anda. Mata adalah pancaindera kurniaan Allah yang sangat berharga. Mencegah adalah lebih mudah daripada merawat.

Rujukan

  1. Fiona Rowe. 2004. Clical Orthoptics. Second Edition. Blackwell Publishing.
  2. http://www.eyecareplus.com.au/
  3. Rajah 1 : http://prpm.dbp.gov.my/
  4. Rajah 2 : http://www.focusclinics.com/
  5. Rajah 3 : http://www.langfordcallard.co.nz/
  6. Rajah 4 : http://www.hopecliniconline.com/
Semakan Akhir : 30 Oktober 2017
Penulis : Eryanti Binti Md Omar
Akreditor : Nor Aishah Binti A. Wahab

Artikel Berkaitan

Pengalaman MH17 : Peranan Forensik

MH17 merupakan satu tragedi bencana ramai mangsa yang melibatkan sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) telah berlepas daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Schiphol, Amsterdam pada jam 12.15 petang (GMT +0200) 17 Julai 2014.

CT FORENSIK

Apakah CT Forensik? Perubatan forensik merujuk kepada penggunaan perubatan dan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia