A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Kecemasan
  6. /
  7. Terbakar dan Melecur

Terbakar dan Melecur

Tahap Satu - Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja. Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit Tahap Dua - Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit, menyebabkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan Tahap Tiga - Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit, juga melibatkan kerosakan pada lapisan otot, ataupun tulang.

Pengenalan

Luka terbakar – didefinisikan sebagai kerosakan pada tisu badan akibat daripada haba kering seperti tenaga elektrik, geseran, kesan radiasi dan bahan api

Luka melecur – didefinisikan sebagai kerosakan pada tisu kulit akibat daripada bahan kimia, wap atau cecair panas

Kecederaan ini diklasifikasikan kepada tiga tahap iaitu :

  1. Tahap Satu (superficial) – Kecederaan yang hanya melibatkan lapisan luar kulit sahaja (lapisan epidermis). Ia tidak menyebabkan penembusan lapisan kulit yang lain
  2. Tahap Dua (partial thickness) – Kecederaan yang menyebabkan penembusan lapisan kulit, menyebabkan lapisan bawah kulit mengalami kerosakan (lapisan dermis terlibat)
  3. Tahap Tiga (full thickness) – Kecederaan yang menyebabkan kerosakan kepada semua lapisan kulit, juga melibatkan kerosakan pada lapisan otot, ataupun tulang.

Rajah 1 : Tahap-tahap untuk Luka Terbakar dan Melecur

Tanda/Gejala

Tahap Satu (superficial)

  • Hanya melibatkan lapisan paling luar kulit (epidermis)
  • Menyebabkan kulit menjadi merah
  • Permukaan kulit kering
  • Tiada pembentukan lepuh (blister)
  • Menggelupas lapisan luar kulit (epidermis)
  • Kebengkakan pada bahagian terlibat mungkin akan muncul
  • Mangsa/pesakit akan berasa sakit dibahagian yang terlibat
  • Mangsa/pesakit akan berasa sakit apabila bahagian terlibat disentuh

Tahap Dua (partial thickness)

  • Melibatkan lapisan bawah kulit (epidermis & dermis)
  • Bahagian terbakar menjadi warna putih atau merah ceri
  • Bahagian luka menjadi lembap
  • Pembentukan lepuh (blister)
  • Mangsa / pesakit merasakan sakit yang kuat

Tahap Tiga (full thickness)

  • Melibatkan lapisan kulit sehingga ke derma & lapisan lemak
  • Bahagian yang tercedera menjadi kering
  • Luka mungkin mengalami pendarahan
  • Bahagian tercedera menjadi warna kelabu atau hitam
  • Mangsa / Pesakit merasa sedikit sakit atau tidak merasa sakit, akibat dari kerosakan saraf

Rawatan

Rawatan segera menggunakan konsep 3B & 3C

  1. Burn stop– hentikan pembakaran, jika pakaian terbakar buka baju, jika susah untuk dibuka, jangan memaksa untuk buka baju. Alihkan objek panas dari mangsa
  2. Breathing maintain – pastikan saluran pernafasan mangsa terbuka, tiada sekatan atau objek menghalang pernafasan
  3. Body examine – periksa tahap kebakaran dan anggota terlibat
  4. Cool– sejukkan bahagian yang terbakar dengan mengalirkan air paip sekurang-kurangnya 10 minit
  5. Cover – tutup bahagian yang terbakar dengan kain atau plastik bersih
  6. Carry – bawa mangsa ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan lanjut

Komplikasi

  • Kesejukan melampau (Hipothermia) – Suhu badan menjadi kesejukan akibat dari kehilangan haba badan berikutan kecederaan luka terbuka / penembusan kulit.
  • Hipovolemia – Kekurangan cairan dalam badan akibat dari kehilangan plasma badan dari luka terbakar
  • Pembentukan parut luka yang besar, akibat dari kecederaan luka terbakar
  • Jangkitan kuman daripada luka terbakar

Pencegahan

  • Pengendali bahan kimia – perlu memakai peralatan perlindungan diri bagi mengelakkan bahaya terhidu bahan kimia atau tersentuh atau percikan bahan kimia yang boleh menyebabkan lecuran berlaku
  • Pastikan tangan kering semasa meggunakan alatan elektrik
  • Jauhkan kanak-kanak dari alat-alat elektrik yang panas
  • Memakai losyen pelindung matahari (sunblock lotion) apabila terdedah dibawah panas terik

Rehabilitasi

  • Lakukan cucian luka (wound dressing) di klinik atau hospital secara berterusan
  • Melakukan fisioterapi bagi anggota badan yang terlibat
  • Pembedahan plastik (jika perlu)

Rujukan

  1. Ratini, M. (2015, April 1). Treating pains caused by burns. http://www.webmd.com/pain-management/guide/pain-caused-by-burns
  2. Edlich, R. (2015, September 1). Thermal burns. Retrieved from http://emedicine.medscape.com/article/1278244
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/Burn
Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Nik Abdul Afiq bin Abd Aziz
Akreditor : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah
Penyemak : Dr. Mohamad Hamim b. Mohamad Hanifah

Artikel Berkaitan

Ruam Panas

Ruam panas juga dikenali sebagai ruam gatal berbintik kecil dan merah yang berlaku kepada bahagian kulit yang boleh menjadi tersangat gatal.

Diserang Lintah dan Pacat : Rawatan Awal

Lazimnya lintah dan pacat yang melekap atau menggigit anggota tubuh kita akan terus melekap sehinggalah darah yang dihisap memenuhi kantung tubuhnya. Namun, keadaan yang lebih membimbangkan sekiranya lintah dan pacat memasuki rongga tubuh termasuklah melalui bahagian kemaluan serta dubur.

Luka Tembakan : Rawatan Awal

Luka ini berpunca daripada kemasukan peluru atau lain-lain pelontar ke dalam tubuh badan yang menyebabkan kecederaan dalaman yang serius. Luka pada titik kemasukan peluru mungkin kecil dan bersih tetapi luka di dalam mungkin lebih serius serta lebih besar akibat peluru yang berselerak.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia