Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Program Perkhidmatan Farmasi telah melancarkan satu aplikasi telefon pintar iaitu MyUBAT bagi meningkatkan Perkhidmatan Nilai Tambah Farmasi (Value Added Services, VAS). Pelaksanaan VAS dipertingkatkan sepanjang tempoh pandemik dengan objektif menjamin kesinambungan bekalan ubat susulan pesakit, mengatasi kesesakan serta menjimatkan masa menunggu di farmasi, sekaligus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19. Penggunaan sistem ini juga dapat memudahkan anggota di fasiliti farmasi menyediakan ubat-ubatan susulan dengan lebih sistematik.
MyUBAT ditawarkan kepada semua pesakit yang mendapatkan rawatan dan menerima preskripsi jangka panjang dari fasiliti kesihatan KKM. Bagi pesakit berpenyakit kronik, penerimaan ubat oleh doktor selalunya adalah untuk jangka panjang. Oleh itu, pembekalan ubat adalah sama ada untuk tempoh sebulan atau dua bulan sahaja. Ini adalah untuk menjamin kualiti ubat yang disimpan di rumah, memudahkan pemantauan kejadian kesan sampingan, memastikan kepatuhan pesakit terhadap pengambilan ubat, mengelakkan pembaziran serta mengurangkan risiko berlakunya kesilapan pengubatan akibat stok ubat berlebihan. Dengan ini, pesakit perlu hadir ke farmasi beberapa kali lagi bagi mendapatkan bekalan ubat susulan untuk bulan seterusnya.
Pesakit kini boleh menggunakan aplikasi MyUBAT untuk mendapatkan bekalan ubat susulan tersebut dengan lebih cepat dan mudah. Buat masa ini, aplikasi MyUBAT menawarkan dua pilihan perkhidmatan VAS. Pengguna boleh memilih sama ada Sistem Temu Janji atau Ubat Melalui Pos (UMP).
- Sistem Temu Janji Farmasi
Pesakit perlu memohon perkhidmatan ini sekurang-kurangnya seminggu sebelum kehabisan ubat dan datang mengambil ubat di farmasi pada tarikh yang diberikan. Melalui perkhidmatan ini, pesakit tidak perlu menunggu lama kerana bekalan ubat telah disediakan lebih awal dari tarikh temu janji.
- Ubat Melalui Pos (UMP)
UMP merupakan perkhidmatan pembekalan ubat susulan melalui penghantaran oleh PosLaju Malaysia ke lokasi pilihan pesakit dengan caj penghantaran tertentu. Bayaran akan dibuat secara tunai kepada pihak PosLaju oleh pesakit semasa menerima bekalan ubat. Perkhidmatan ini memudahkan pesakit untuk mendapatkan ubat susulan tanpa perlu datang ke farmasi.
Namun, hanya ubat tablet (biji), kapsul dan cecair dalam pek komersial (packaging pengilang) yang tidak sensitive kepada suhu boleh dihantar melalui pos. Ubat yang tidak boleh dihantar melalui pos dan perlu diambil di kaunter farmasi ialah:
- Ubat simpanan peti sejuk
- Ubat cecair (yang dipek semula dan BUKAN packaging pengilang)
- Ubat psikotropik
Fasiliti KKM Yang Ditawarkan
Semua klinik kesihatan dan hospital KKM di seluruh negara menawarkan perkhidmatan MyUBAT kecuali:
- Hospital pengajar (UM, UKM, USM, UiTM, UPM)
- Hospital Angkatan Tentera
- Institut Jantung Negara (IJN).
Walau bagaimanapun, perluasan sistem ini dilaksanakan secara berperingkat. Sekiranya senarai fasiliti tiada dalam pilihan aplikasi MyUBAT, bermakna fasiliti tersebut masih belum memulakan perkhidmatan ini dan akan bermula pada fasa seterusnya. Senarai fasiliti yang menawarkan sistem MyUBAT boleh dirujuk di https://www.pharmacy.gov.my/myubat/
Cara Mendaftar
Untuk mendaftar dan menggunakan aplikasi MyUBAT, sila ikuti langkah-langkah berikut:
- Muat turun aplikasi MyUBAT melalui Google Play, App Store atau Huawei AppGallery.
- Klik butang ‘Log Masuk Kali Pertama.’
- Lengkapkan profil diri dan klik butang ‘Masuk.’
- Pilih perkhidmatan yang diingini sama ada melalui temu janji di farmasi atau penghantaran pos.
- Bagi temu janji di farmasi, pengguna akan menerima tarikh temu janji.
- Bagi penghantaran ubat melalui pos, status penghantaran dan tracking number akan diberikan.
Hubungi pegawai farmasi di hospital atau klinik kesihatan terdekat untuk sebarang pertanyaan berkaitan aplikasi ini.
Semakan Akhir | : | 01 Mac 2022 |
Penulis | : | Fadila Hanim Binti Faudzi |
Akreditor | : | Sharon Ong Chin Wen |
Penyemak | : | Cik Siti Fauziah Binti Abu |