A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Indikasi Rawatan Korona Pergigian

Korona pergigian ialah sejenis prostesis tetap pergigian yang menutupi keseluruhan atau sebahagian gigi atau implan. Ia bertindak sebagai lapisan yang paling luar gigi.

Apakah korona gigi?

Korona pergigian ialah sejenis  prostesis tetap  pergigian yang menutupi keseluruhan atau sebahagian gigi atau implan.  Ia bertindak sebagai lapisan yang paling luar gigi. Korona akan disimen pada permukaan gigi secara sementara atau tetap. Korona tidak kekal atau dikenali sebagai korona sementara akan diberikan sementara  menantikan korona tetap siap. Fungsi korona yang tersarung pada gigi ini hampir menyamai fungsi  kegigian kekal.

Keperluan korona dalam pergigian

Korona diperlukan di dalam beberapa keadaan. Di bawah ini  adalah antara situasi yang memerlukan korona sebagai restorasi pilihan.

  1. Kegagalan restorasi gigi Korona diperlukan sekiranya  tampalan besar  memberi kesan terhadap jangka hayat kesihatan gigi. Gigi yang bertampalan besar akan mudah pecah. Korona diperlukan untuk menguatkan struktur gigi agar dapat berfungsi dengan baik dan tahan lebih lama. Tampalan semata-mata tidak membantu memegang struktur gigi dan jika daya yang kuat dikenakan semasa proses pengunyahan, ia akan menyebabkan gigi  pecah dan mungkin tidak dapat diselamatkan lagi.
  2. Gigi terfraktur atau retak

    Gigi yang sihat kadang kala akan mengalami keretakan. Faktor penyebab antaranya ialah tabiat pesakit yang suka mengunyah benda keras seperti ketul ais, kekacang, sejarah tampalan berulang , trauma, karies dan mengunyah gigi pada waktu malam (bruxism). Kegigian seperti ini akan menerima daya kunyahan yang berterusan. Akibatnya, gigi akan retak dan terfraktur. Apabila gigi terfraktur atau mempunyai kesan retakan, korona boleh digunakan untuk melindungi gigi tersebut agar dapat berfungsi seoptimum yang mungkin. Jika tidak, gigi berkemungkinan tidak dapat diselamatkan dan perlu dicabut.
  3. Fungsi Oral- Estetik

    Susunan, bentuk  dan warna gigi sangat berkait rapat dengan kecantikan individu. Kebanyakan pesakit akan segera berjumpa doktor pergigian jika gigi hadapan mereka mengalami masalah. Antara masalah yang timbul ialah warna gigi bertukar kekuningan atau coklat, susunan gigi dan bentuk yang tidak sekata,atau ada  ruang antara gigi hadapan. Dalam keadaan begini, korona akan digunakan untuk memenuhi fungsi normal oral.
  4. Gigi haus

    Gigi haus menyebabkan permukaan gigi menjadi tidak rata, tajam, pendek dan kadang kala sensitif. Ia berlaku disebabkan oleh penggunaan berus gigi yang keras, mengunyah gigi dalam keadaan stress , dan suka makanan atau minuman yang berasid seperti jeruk, dan minuman berkarbonat. Untuk mengatasi kesan gigi haus ini korona boleh digunakan. Namun begitu, bagi pesakit yang ada tabiat mengunyah gigi (bruxism), splin gigi peru diberikan terlebih dahulu untuk membuang tabiat mengunyah gigi. Jika tidak korona yang dibuat akan pecah dan akan memburukkan lagi kegigian pesakit.

  5. Gigi yang telah dirawat akar Gigi yang telah dirawat akar mempunyai struktur gigi yang lemah. Kebanyakan gigi yang dirawat akar mempunyai karies yang besar dan majoriti  daripada struktur gigi telah hilang. Kadangkala gigi yang telah dirawat akar akan berubah warna. Korona digunakan untuk memelihara dan memulihara gigi tersebut agar dapat berfungsi dengan baik. Namun begitu tidak semua gigi yang dirawat akar memerlukan korona. Contohnya jika rawatan akar dilakukan pada gigi hadapan, korona kadang kala tidak diperlukan jika struktur gigi yang ada masih banyak dan tidak berdepan dengan daya kunyahan yang kuat. Begitu juga dalam kes a, gigi yang dirawat akar bertentangan dengan dentur (gigi palsu boleh tanggal). Dentur mempunyai daya kunyahan yang tidak sekuat gigi asli. Oleh yang demikian, korona tidak diperlukan untuk gigi yang bertentangan dengannya.
  6. Masalah oklusi Apabila sesuatu gigi dicabut dan ruang yang kosong  dibiarkan agak lama, gigi akan berubah kedudukan. Apabila ini berlaku, gigitan pesakit akan mengalami masalah gigitan pra-matang. Ini akan menyebabkan gigi tertentu akan menerima daya kunyahan yang kuat dan memberi kesan kepada pesakit tersebut seperti masalah sendi mulut (TMJ), masalah gusi, gigi terfraktur, kehilangan ruang untuk prostesis dan pergerakan gigi. Untuk mengatasinya, operator akan melakukan mouth rehabilitation. Operator kadangkala menggunakan tampalan biasa untuk memberi ruang kepada gantian prostesis. Namun, adakalanya, korona digunakan untuk membuka ruang agar gantian prostesis boleh dilakukan.

  7. Karies gigi Karies gigi atau kerosakan gigi disebabkan oleh jangkitan bakteria. Bakteria seperti Streptococcus Mutans yang menghasilkan asid apabila bertindak meguraikan gula ringkas dari sisa makanan dan akhirnya membentuk kaviti (lubang)  pada gigi. Karies akan berlaku jika kebersihan mulut tidak dijaga. Jika dibiarkan berterusan, karies akan menjadi besar, dan gigi tidak dapat diselamatkan. Jika tampalan dilakukan,  struktur sihat yang ada mungkin sedikit dan korona diperlukan untuk melindungi gigi tersebut.
  8. Lain – lain Korona juga digunakan untuk menutupi  prostesis implan. Implan pergigian diletakkan pada tulang rahang pesakit untuk mengganti gigi yang telah dicabut. Setelah berlakunya integrasi antara implan dan tulang rahang, prostesis yang terindikasi  boleh dibina untuk disokong oleh implan pergigian.  Antaranya ialah, korona, jambatan serta dentur (gigi palsu).

Rujukan

  1. Fundamentals of fixed prosthodonic. Shillingburgh et al. Third edition
  2. Reasons for the placement and replacement of crowns in general dental practice.Wilson NA, Whitehead SA, Mjör IA, Wilson NH. Prim Dent Care. 2003 Apr;10(2):53-9

 

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis / Penterjemah : Dr. Anis Ezrina bt. Abdul Rahman
Akreditor : Dr. Saridatun Nur bt. Abdul Salam
Penyemak : Dr. Roshima bt. Mohd Sharif

 

Artikel Berkaitan

Prostesis Untuk Pesakit Sumbing Bibir Dan Lelangit

Pemulihan secara prostetik pesakit sumbing bibir dan lelangit ini akan memberikan mereka penampilan yang lebih baik, membolehkan pesakit berasa normal, meningkatkan harga diri, menawarkan peluang yang lebih besar untuk pekerjaan dan memenuhi potensi sosial mereka

Gigi Kekal Lewat Tumbuh

Pertumbuhan gigi dianggap lewat apabila gigi itu masih belum tumbuh bila kanak-kanak telah mencapai umur 8½ – 9 tahun ke atas.

Gigi Jongang

Gigi jongang adalah masalah biasa di kalangan kanak-kanak dan orang dewasa. Gigi jongang menimbulkan masalah seperti penutupan mulut, pengunyahan dan percakapan, dan gigi boleh lebih mudah terdedah kepada kecederaan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia