A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Saya Ibu Remaja

Masalah remaja mengandung merupakan masalah sosial yang utama di dunia sejak lewat kurun ke 20 dan awal kurun ke 2. Masalah ini juga mula berleluasa di negara kita sejak kebelakangan ini.

Hakikatnya hidup seorang remaja amat mencabar. Anda menghabiskan tempoh yang lama di bangku sekolah dan kolej. Anda juga perlu melibatkan diri dalam aktiviti ko-kurikulum. Hidup remaja memang mencabar.

Berita yang lebih teruk adalah jika anda sedar bahawa anda mengandung! Mendengar berita tersebut, reaksi anda mungkin marah, kesal, risau atau malu.

Pertama, anda terpaksa memaklumkan kandungan anda kepada teman lelaki anda dan ibu bapa anda.

  1. Kepada siapa dan bagaimana saya perlu maklumkan?

    Anda perlu membuat keputusan tersebut. Jika anda cukup kenal dengan teman lelaki anda, mungkin elok maklumkan kepada dia dahulu. Reaksi teman anda mungkin terkejut, marah, sedih atau malu. Dia juga mungkin menyalahkan anda.

    Anda juga perlu bersedia menghadapi reaksi teman lelaki anda.

    Jika was-was, maklumkan kepada ibu bapa anda terlebih dahulu. Mereka mungkin boleh menasihati anda walaupun reaksi pertama mereka juga mungkin marah, terkejut dan malu.

    Pilih waktu, tempat dan cara yang sesuai untuk memberitahu berita tersebut. Jangan terburu-buru. Jangan maklumkan melalui telefon atau melalui pesanan ringkas.

    Apabila berdepan dengan teman, maklumkan anda ada berita penting yang perlu diberitahu dan sebut dengan jelas bahawa anda mengandung dan teman anda adalah bapa kepada anak kandungan tersebut. Beri masa untuk teman anda berfikir.

    Anda sendiri mungkin marah tentang diri anda dan bertanya “Mungkinkah saya boleh mencegah kandungan tersebut?”

  2. Pencegahan kehamilan remaja

    Kebanyakan program pencegahan mengandung semasa remaja menitik beratkan strategi-strategi berikut:

    • Pengetahuan mendalam tentang kesihatan reproduktif termasuk risiko mengandung, penyakit kelamin (HIV, sifilis, gonorea) dan cara-cara pencegahan kehamilan

    • Keyakinan dan nilai diri untuk tidak mengadakan hubungan seks dengan teman. Berani menyebut “Tak Nak seks sebelum berkahwin”

    • Komunikasi tentang pendidikan reproduktif di sekolah dan rumah.

    • Menghindar diri dari berada di situasi yang mengundang risiko hubungan seks dengan teman.

  3. Patutkah saya berhenti persekolahan?

    Anda mungkin rasa terdesak untuk berhenti sekolah. Anda mungkin ingin mencari kerja untuk menampung kos penjagaan anak kelak. Anda mungkin rasa berhenti sekolah adalah yang terbaik.

    TUNGGU! JANGAN GOPOH! Berhenti sekolah adalah jalan singkat dan penyelesaian jangka pendek. Anda perlu memikirkan masa depan dan kehidupan jangka panjang.

    Bincang dengan kaunselor tentang strategi untuk meneruskan persekolahan anda. Pendidikan dan pencapaian akademik yang memuaskan akan menjamin pekerjaan yang sesuai.

  4. Penjagaan semasa mengandung

    Anda perlu menjalani pemeriksaan kehamilan secara berkala untuk memastikan janin/anak dalam keadaan sihat.

    Lebih-lebih lagi ibu remaja berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi tertentu seperti berikut:

    • Kelahiran anak pramatang sebelum genap kandungan 37 minggu.

    • Kelahiran anak yang kurang berat badan

    • Penyakit tekanan darah tinggi semasa mengandung

    • Masalah kekurangan darah semasa mengandung

  5. Adakah anda berniat menyerahkan anak sebagai anak angkat

    Sesetengah remaja tidak berupaya menjaga anak dan mungkin ingin menyerahkan anak tersebut sebagai anak angkat. Anda mungkin berpendapat anak anda akan mendapat penjagaan yang lebih sempurna dengan keluarga angkat.

    Walau bagaimanapun keputusan di tangan anda dan anda tidak patut dipaksa melakukannya.

    Jika anda ingin menyerah anak untuk keluarga angkat, anda boleh menghubungi pihak jabatan kebajikan tempatan untuk bantuan.

Rujukan

  1. http://www.healthychildren.org/English/ages-stages/teen/dating-sex/Pages/Teenage-Pregnancy

  2. http://www.nhs.uk/conditions/pregnancy-and-baby/pages/teenager-pregnant

 

Last Reviewed : 16 June 2015
Writer : Dr. Thiyagar Nadarajaw
Accreditor : Dr. Nik Rubiah binti Nik Abdul Rashid

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia