A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mengharungi Kehidupan Di Kolej dan Universiti

  1. Pendahuluan

    Remaja akan merasai perasaan bercampur-campur seperti takut dan gembira apabila diterima masuk ke kolej atau universiti. Semester pertama di kolej atau universiti boleh menyebabkan remaja rasa tertekan dan banyak penyesuaian yang perlu dilalui. Mereka juga boleh berasa teruja untuk mempelajari perkara yang baru. Perasaan ini akan mendorong remaja dan keluarga bersedia menghadapi suasana pengajian yang jauh lebih berbeza daripada di sekolah.

    Sumber: http://1.bp.blogspot.com/Jom-Masuk-U-logo.png

  2. Apakah itu kolej atau universiti?

    Satu institusi pendidikan tinggi yang menawarkan sijil diploma atau ijazah pengkhususan bidang yang diminati oleh remaja. Remaja yang lulus program pengajian akan dianugerahkan sijil yang boleh melayakkan remaja yang berjaya memohon kerja yang bersesuaian dengan bidang yang dipelajari.

  3. Perbezaan kolej atau universiti dengan sekolah

    Sekolah

    Kolej atau Universiti

    Kemasukan adalah wajib dan percuma

    Kemasukan secara sukarela dan memerlukan bayaran

    Masa pengajian diuruskan oleh pihak bertanggungjawab

    Remaja menguruskan masa sendiri supaya tidak terbeban menyesuaikan masa dan aktiviti kuliah

    Memerlukan kebenaran ibu bapa untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum

    Remaja bebas membuat keputusan untuk mengambil bahagian dalam aktiviti ko-kurikulum

    Pelajar bergantung kepada ibu bapa atau guru-guru untuk membuat keputusan

    Remaja harus mengimbangkan tanggungjawabnya dan keutamaan sebagai seorang pelajar serta membuat keputusan sendiri

    Kebanyakan kelas disusun untuk pelajar

    Remaja mengatur jadual sendiri mengikut jurusan yang diminati dengan berunding dengan penasihat atau pensyarah

    Pelajar akan sentiasa dibimbing dan ditegur oleh guru untuk membentuk sahsiah yang baik

    Remaja diharap untuk bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan yang dilakukan

    Waktu persekolahan serta jadual pelajaran di dalam kelas telah ditetapkan kepada pelajar

    Waktu dan jadual pelajaran dipilih oleh remaja sendiri mengikut kesesuaian jadual masa berpandu kepada subjek yang diambil untuk memenuhi jam kuliah yang telah ditetapkan bagi pengkhususan yang diambil

    Satu kelas biasanya melebihi daripada 40 orang pelajar

    Satu dewan kuliah mungkin melebihi 100 orang pelajar

    Pelajar akan dibimbing apa yang perlu dibaca dan difahami semasa berada di dalam kelas

    Pembelajaran di dalam dewan kuliah tidak mencukupi dan perlu mengkaji semula nota kuliah dan bahan teks secara teratur dan berterusan untuk lebih memahami

    Pelajar diharapkan untuk membaca tugasan pendek yang kemudiannya dibincangkan, dan diajar semula di dalam kelas

    Remaja ditugaskan untuk membaca dan menulis yang mungkin tidak dibincangkan secara langsung dalam kelas

    Pelajar biasanya akan diberitahu di dalam kelas apa yang perlu dipelajari daripada bahan bacaan yang telah ditetapkan

    Terserah kepada remaja untuk membaca dan memahami bahan pembelajaran yang diberikan

    Guru-guru memeriksa kerja rumah yang dibuat oleh pelajar

    Pensyarah mungkin tidak selalu memeriksa tugasan, tetapi mereka akan menganggap remaja boleh melakukannya

    Guru mengingatkan pelajar mengenai kerja yang belum selesai

    Pensyarah mungkin tidak mengingatkan remaja mengenai kerja yang tidak lengkap

    Guru datang kepada pelajar jika mereka mendapati pelajar memerlukan bantuan

    Pensyarah biasanya terbuka dan sedia membantu, tetapi mereka mengharapkan remaja untuk memulakan hubungan jika remaja memerlukan bantuan

    Guru-guru sering bersedia untuk perbualan sebelum, semasa, atau selepas kelas

    Pensyarah berharap remaja untuk menghadiri waktu pejabat yang dijadualkan kepada mereka

    Guru-guru telah dilatih dalam kaedah pengajaran untuk membantu menyampaikan ilmu kepada pelajar

    Pensyarah  telah dilatih menjadi pakar dalam bidang tertentu dari penyelidikan

    Apabila pelajar tidak hadir guru akan menyediakan maklumat yang pelajar terlepas

    Pensyarah mengharapkan remaja untuk mendapatkan nota daripada rakan sekuliah sekiranya remaja terlepas dari kuliah

    Guru sering menulis maklumat di papan untuk disalin dalam catatan pelajar

    Pensyarah boleh memberi kuliah tanpa henti, mengharapkan remaja untuk mengenal pasti perkara-perkara penting untuk dicatat di dalam nota

    Guru mengajar mengikuti buku teks yang telah di sediakan

    Pensyarah mengajar mungkin tidak mengikuti buku teks

    Guru memberikan penerangan dan penjelasan tentang topik yang diajar untuk memastikan pelajar dapat memahaminya

    Pensyarah mengharapkan remaja untuk memikirkan dan mengulaskan topik yang diajar

    Guru memantau kehadiran pelajar di kelas

    Pensyarah mungkin tidak secara rasmi mengambil kehadiran remaja ke kuliah

    Sekolah adalah persekitaran pembelajaran di mana pelajar memperoleh fakta dan kemahiran

    Kolej atau universiti adalah persekitaran pembelajaran di mana remaja bertanggungjawab untuk memikirkan dan menerapkan apa yang telah dipelajari

    Ujian akan meliputi sejumlah kecil topik yang di pelajari

    Ujian biasanya tidak kerap dan mungkin terkumpul, yang meliputi keseluruhan subjek

    Guru sering menyusun semula tarikh ujian untuk tidak bercanggah dengan kegiatan sekolah

    Jadual ujian telah ditetapkan pada awal tahun tanpa mengambil kira tuntutan program lain

    Pelajar boleh lulus peperiksaan setelah  lulus semua subjek yang diperlukan dengan gred D atau yang lebih tinggi

    Remaja boleh lulus kuliah atau jurusan yang di ambil hanya jika purata markah dalam pembelajaran itu memenuhi standard jabatan – biasanya melebihi 2.0 atau gred C

    Sumber: http://4.bp.blogspot.com/Mahasiswa.jpg

  4. Tips semasa berada di kolej atau universiti

    • Tingkatkan keyakinan diri dan tanggungjawab
      Untuk membuat pilihan dan keputusan yang bijak.

    • Penambahan  tugasan  kerja
      Bijak mengimbangi dan mengurus masa sesuai dengan penambahan tugasan.

    • Mempelajari untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran
      Banyak bertanya, memberi pendapat dan pandangan secara lisan, dan sebagainya. Remaja juga boleh berbincang dengan rakan sekuliah untuk menyelesaikan masalah.

    • Pengurusan masa
      Bijak mengurus masa dan belajar untuk tidak membuang masa dengan kegiatan yang tidak memberi keuntungan kepada diri dan persekitaran. Ini dapat mengurangkan tekanan.

    • Belajar untukberjimat-cermat dengan wang
      Menggelakkan masalah kewangan di kemudian hari.

    • Tingkatkan pergaulan
      Mengenali lebih ramai kawan baru dengan melibatkan diri dalam aktiviti kolej / universiti.

    • Memupuk minat belajar yang baik
      Memberi tumpuan sepenuhnya pada subjek pembelajaran yang dipilih.

    • Mengeratkanhubungan ??dengan keluarga
      Sentiasa memohon restu dan doa dari kedua ibu bapa atau keluarga untuk mendoakan kejayaan.

    • Sentiasa peka dengan keadaan semasa
      Sentiasa perlu mengambil tahu apa yang berlaku semasa berada di kolej atau universiti agar segala  keputusan dan tindakan bertepatan dengan keadaan semasa.

    • Jadilah diri sendiri dan sentiasa berfikiran positif

      Sumber: https://wana93.files.wordpress.com/2010/01/hyffg.png

  5. Antara perkara – perkara  penting  untuk membantu anda semasa berada di kolej atau universiti

    • Perancangan aktiviti dan masa yang teliti
      Catat perancang harian. Tandakan semua tarikh-tarikh penting (ujian/kuiz, tugasan, bacaan, dan lain-lain) mengikut  keutamaan.

    • Suai kenal
      Melawat dan mengenal pasti tempat-tempat yang penting pada minggu pertama kelas atau minggu orientasi seperti perpustakaan, kedai buku, kafeteria, pejabat dekan dan pensyarah, pejabat atau pondok keselamatan, bilik kaunseling dan pegawai penasihat, pendaftaran, dewan kuliah, tempat rekreasi / pusat pelajar dan lain-lain.

    • Kehadiran
      Hadir ke kelas tepat pada waktu atau sedikit lebih awal. Ini dapat memberikan masa untuk duduk, berehat dan bersedia untuk mempelajari ilmu baru.

    • Persediaan
      Sentiasa membuat persedian awal dengan membaca terlebih dahulu topik yang akan diajar sebelum memasuki dewan kuliah. Siapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah tepat pada tarikh yang ditetapkan. Rujuk kepada jadual kuliah setiap hari untuk membuat persedian awal.

    • Perpustakaan
      Gunakan  perpustakaan sepenuhnya untuk belajar, membaca, bertafakur dan berehat. Pelajari cara melayari komputer untuk mendapatkan lebih maklumat yang diingini. Gunakan kemudahan  komputer  yang disediakan.

    • Belajar
      Seimbangkan waktu belajar, rehat, dan masa untuk melakukan aktiviti yang diminati. Belajar dengan bijak iaitu belajar dengan cara mengkaji dan memahami apa yang telah dipelajari bukan menghafal. Berusaha untuk menjelaskan apa yang telah dipelajari, bukan hanya membaca. Bekerja sama dengan guru penasihat atau tutor untuk membimbing dan memahami sesuatu subjek.

    • Mendalami
      Cuba mendalami dan menghayati kursus yang dipilih. Bercakap serta berbincang tentang apa yang dipelajari. Menulis mengenainya dan mengaitkannya dengan pengalaman lepas. Menerapkannya dalam kehidupan harian serta mempraktikkan atau amalkan apa yang dipelajari sebagai sebahagian daripada kehidupan.

    • Kualiti
      Letakkan piawaian yang tinggi untuk diri sendiri. Elakkan sikap malas. Melengahkan sesuatu pekerjaan adalah satu tabiat yang tidak baik dan harus dihindari.

    • Bersosial
      Tubuhkan kumpulan belajar sendiri dengan mengumpul 2-5 orang rakan untuk satu kumpulan belajar dan berbincang. Kumpulan belajar ini dapat membantu jika mengalami masalah dalam memahami sesuatu pengajian.

    • Pensyarah
      Kenali pensyarah sehingga mereka mengenali anda juga. Berjumpa mereka pada waktu pejabat dan meminta bantuan dari mereka apabila menghadapi masalah dengan subjek yang diajar.

    • Pekerja kolej atau universiti
      Berbaik-baik dengan semua kakitangan (pekerja atau pelajar) di kolej atau universiti. Mungkin suatu ketika pelajar memerlukan bantuan mereka.

    • Bantuan
      Jangan malu untuk meminta bantuan jika memerlukannya. Kolej atau universiti ada menawarkan tutor, bantuan kecemasan, kaunselor akademik, penasihat, penempatan pekerjaan, kaunselor kerjaya serta perkhidmatan lain yang telah dibayar untuk kemudahan bersama, sama ada pelajar memerlukannya atau tidak.

    • Kesihatan
      Utamakan kesihatan. Makan makanan yang sihat dan mengikut waktu makan. Berehat dan beriadah secukupnya walaupun hanya berjalan kaki.

    • Tekanan atau stres
      Pelajari teknik pernafasan dan relaksasi yang betul untuk mengurangkan stres atau tekanan. Sentiasa berfikiran positif dan berbincang masalah dengan orang yang boleh dipercayai. Elakkan mengambil bahan terlarang seperti merokok atau minum minuman beralkohol jika mengalami tekanan. Ambil masa untuk bertenang dan fikirkan punca yang menyebabkan anda tertekan. Kaji cara untuk menyelesaikan masalah tersebut sebaik mungkin dan banyakkan berdoa agar masalah itu dapat diselesaikan dengan berkesan.

  6. Kesimpulan

    Kolej dan universiti adalah satu institusi pengajian yang amat menarik serta menyeronokkan. Pengalaman ini akan sentiasa menjadi satu kenangan yang tidak dapat dilupakan sepanjang anda berada di sana. Kolej atau universiti dapat melatih remaja untuk hidup berdikari di samping membentuk peribadi yang baik.

Last Reviewed : 02 June 2015
Writer : Dr. Dr. Norizzati Bukhary binti Ismail Bukhary
Accreditor : Dr. Thiyagar Nadarajaw

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,460

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia