Siapakah bayi pramatang lewat?
- Bayi pramatang lewat adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 34 minggu 0 hari hingga 36 minggu 6 hari.
- Sementara bayi cukup bulan adalah bayi yang dilahirkan antara tempoh kandungan 37 minggu 0 hari hingga 41 minggu 6 hari
Apakah bayi pramatang lewat berpotensi mendapat masalah? :
- Secara amnya kebanyakan bayi pramatang lewat didapati sihat selepas dilahirkan dengan berat badan yang menyerupai bayi cukup bulan. .
- Oleh itu mereka selalunya mendapat rawatan yang sama seperti bayi cukup bulan
- Kajian telah membuktikan bahawa bayi pramatang lewat mempunyai risiko penyakit dan kematian yang lebih tinggi berbanding dengan bayi cukup bulan.
- Ini kerana kemampuan fungsi metabolik dan fisiologi yang kurang matang untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran selepas kelahiran.
- Antara masalah yang berkaitan dengan bayi pramatang akhir ialah:
- Rendah suhu badan (hypothermia)
- Rendah gula (hypoglycemia)
- Gangguan pernafasan
- Apnea (berhenti bernafas untuk tempoh tertentu)
- Kekuningan / jaundis
- Gangguan penyusuan
- Lewat perkembangan
Apakah rawatan semasa di hospital?
- Rawatan semasa dihospital bagi bayi pramatang lewat adalah sama seperti bayi bayi pramatang lain (rujuk: Adakah bayi pramatang memerlukan rawatan khas)
- Ramai daripada bayi-bayi ini yang sihat dan boleh bersama dengan ibu semasa pemantauan dibuat kebanyakan bayi pramatang lewat hanya memerlukan pemantauan di wad postnatal atau wad ibu bersama bayi.
- Hanya segelintir yang memerlukan rawatan yang lebih rapi di Unit Rawatan Rapi Bayi (NICU) atau Nurseri Jagaan Khusus (SCN)
- Pemantauan tahap kesihatan bayi pramatang lewat ini perlu dibuat secara berterusan semasa pesakit berada di hospital dan selepas pulang ke rumah, terutamanya sehingga bayi mencapai umur cukup bulan
- Garis panduan dan nasihat mengenai pemantauan bayi pramatang lewat semasa di rumah perlu diberikan kepada ibu bapa sebelum bayi dibenarkan pulang
Bilakah bayi pramatang lewat boleh dibenarkan pulang ke rumah?
- Secara umumnya bayi pramatang lewat boleh dibenarkan pulang sekiranya sepanjang pemantauan di dalam hospital bayi didapati mampu mengekalkan suhu badan , pernafasan, penyusuan dan kumuhan,juga paras gula yang normal,
Bolehkah kelahiran bayi pramatang lewat dielakkan?
- Kaedah pencegahan sama seperti kelahiran pramatang awal.
Rujuk: Bayi Pramatang/ bolehkah sesuatu kelahiran pramatang dielakkan?
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Radhiah bt Abdul Bakar |
Akreditor | : | Dr Irene Cheah Guat Sim |
Penyemak | : | Dr. Zainab bt. Kusiar |