Takrifan Produk Kosmetik
Produk kosmetik ditakrifkan sebagai âbahan atau sediaan yang bertujuan untuk digunakan pada bahagian luaran tubuh manusia seperti kulit, rambut, kuku, bibir dan bahagian luar alat kelamin atau gigi dan membran mukosa di dalam mulut, yang bertujuan untuk membersih, mewangi, memperbaiki/mengubah rupa, mencantikkan, menghilangkan bau badan, melindungi dan mengekalkan dalam keadaan baik â.
Kosmetik vs Bukan Kosmetik
Merujuk kepada takrifan produk kosmetik, produk kosmetik merangkumi produk-produk yang disyorkan untuk digunakan atau disapu pada bahagian luaran tubuh manusia sahaja dan mestilah mempunyai salah satu daripada fungsi utama iaitu sama ada untuk membersih, mewangi, memperbaik/mengubah rupa atau mencantikkan dan/atau menghilangkan bau badan dan/atau melindungi atau mengekalkan dalam keadaan baik. Antara contoh-contoh produk yang dikelaskan sebagai produk kosmetik adalah seperti produk pembersih muka, pelembap muka, pewarna kuku, gincu bibir, pembayang mata, minyak wangi, losyen badan, produk penjagaan gigi, pembersih luaran bahagian intim wanita, sabun mandi dan syampu.
Produk-produk seperti produk makanan/minuman untuk dimakan/diminum atau produk dalam bentuk suntikan yang dipromosikan untuk tujuan mencantikkan muka, kulit atau badan tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik kerana cara penggunaan produk-produk tersebut tidak mematuhi skop takrifan produk kosmetik.
Produk-produk untuk kegunaan luaran (untuk disapu) tetapi mempunyai tuntutan perubatan seperti untuk merawat penyakit/jangkitan kulit atau untuk menghilangkan kesakitan seperti minyak urut (minyak yang disapu untuk menghilang sakit-sakit sendi) atau produk untuk disapu pada bahagian alat sulit lelaki atau wanita untuk tujuan rangsangan seksual juga tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik.
Tuntutan Kosmetik
Tuntutan produk kosmetik mestilah mematuhi skop takrifan produk kosmetik, tidak mengelirukan pengguna dan mampu disokong dengan data sokongan yang mencukupi serta tidak merujuk kepada sebarang tuntutan perubatan.
Nama produk (termasuk jenama) adalah secara tidak langsung merupakan sebahagian daripada tuntutan produk. Nama produk tidak boleh dinyata dengan nama-nama yang tersirat yang membawa maksud atau sebutan, ejaan yang diubah suai tetapi mempunyai maksud dan tujuan perubatan atau yang melampaui skop takrifan kosmetik. Antara contoh nama produk yang tidak dibenarkan ialah Slimming Lotion, Sabun Resdung, Eczema Cream, Hair Growth Serum dan lain-lain. Nama-nama yang berunsur seks juga tidak dibenarkan.
Contoh-contoh tuntutan yang tidak dibenarkan bagi produk kosmetik adalah seperti berikut:
Jenis Produk
|
Tuntutan yang tidak dibenarkan
|
---|---|
Produk penjagaan rambut |
|
Produk penjagaan kuku |
|
Produk penjagaan kulit |
|
Produk penjagaan gigi atau oral |
|
Produk pewangi |
|
Semakan Status Notifikasi Kosmetik
Produk kosmetik adalah dikawal di bawah Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Guidelines for Control of Cosmetic Products in Malaysia. Semua produk kosmetik yang dipasarkan di Malaysia perlu dinotifikasikan kepada Bahagian Regulatori Farmaseutikal Negara (NPRA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), sebelum produk kosmetik tersebut boleh dikilang, diimport atau dijual di Malaysia. Syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk kosmetik tersebut perlu mengemukakan notifikasi kepada NPRAÂ sebelum produk tersebut dipasarkan.
Produk kosmetik yang memenuhi keperluan yang ditetapkan dalam garis panduan akan dibenarkan untuk notifikasi dan akan diberikan nombor notifikasi. Produk kosmetik yang bernotifikasi dengan NPRA akan dipantau secara berterusan melalui Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi bagi memastikan setiap produk kosmetik bernotifikasi di pasaran adalah mematuhi keperluan yang ditetapkan, berkualiti dan selamat.
Pengguna boleh menyemak status notifikasi produk kosmetik melalui laman sesawang rasmi NPRA iaitu melalui sistem âQUEST3+ product searchâ atau melalui aplikasi âNPRA Product Statusâ yang boleh dimuatturun melalui Google Play Store.
Berikut adalah langkah-langkah untuk menyemak status notifikasi produk kosmetik melalui laman sesawang NPRA
- Layari laman sesawang rasmi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), www.npra.gov.my
- Klik tab âConsumerâ (rujuk rajah 1)
- Klik tab âSearch Productâ (rujuk rajah 2)
- Pilih âCosmeticsâ (rujuk rajah 3)
- Semakan boleh dibuat dengan menggunakan kriteria-kriteria seperti berikut:
- Nama produk/ Productâs Name
- Nombor Notifikasi / Notification Number
- Pemegang Notifikasi / Notification Holder
- Kandungan bahan/ Cosmetic Substance
- Nama Pengilang/ Manufacturerâs name
- Nama Pengimport /Importer
Jika produk tersebut bernotifikasi, nama produk, nombor notifikasi, maklumat pemegang notifikasi akan diperolehi. Jika produk tersebut tidak bernotifikasi, âno results foundâ akan dipaparkan.
Rajah 1 : Klik tab âconsumerâ.
Rajah 2 : Klik tab âsearch productâ.
Rajah 3 : Pilih âcosmeticsâ.
Sebagai Pengguna yang Bijak
Pengguna harus membaca maklumat pada label produk kosmetik dengan teliti sebelum memilih sesuatu produk kosmetik yang sesuai untuk mereka. Maklumat-maklumat berikut perlu ada pada label produk kosmetik iaitu:
- Nama produk dan fungsinya
- Cara penggunaan â jika tidak jelas daripada deskripsi produk
- Senarai bahan dalam produk yang disusun dalam turutan menurun mengikut kepekatan
- Negara pengeluar/pengilang ( contohnya : Made in Malaysia)
- Nama dan alamat syarikat yang bertanggungjawab memasarkan produk
- Kandungan ( mg atau ml)
- No. Kelompok (Batch No.)
- Tarikh dikilangkan atau tarikh luput
- Maklumat tambahan seperti amaran atau pernyataan sumber bahan daripada bovine atau porcine
Pengguna dinasihatkan supaya mengelak dari membeli produk kosmetik daripada penjual atau premis yang meragukan seperti di kaki lima, pasar malam dan sebagainya kerana cara penyimpanan produk adalah tidak sesuai dan dikhuatiri boleh mempengaruhi kestabilan dan merosakkan kandungan produk kosmetik tersebut serta bagi mengelakkan daripada akses kepada produk-produk kosmetik tiruan.
Pengguna juga digesa untuk tidak mudah terpengaruh dengan prosedur kosmetik yang diwar-warkan mampu mengubah rupa paras mereka kepada yang lebih cantik bagi mengelakkan kemudaratan kepada mereka. Pengguna harus sentiasa berhati-hati dan tidak mudah terpedaya dengan iklan-iklan yang menjanjikan kesan yang pantas atau menunjukkan kesan dalam jangka masa singkat kerana produk-produk sedemikian berpotensi untuk dicampur palsu dengan bahan-bahan yang terlarang. Hal ini demikian disebabkan produk-produk kosmetik adalah berfungsi untuk memberikan kesan seperti yang disarankan dengan cara penggunaan yang betul dan secara berterusan.
Pengguna juga dinasihatkan untuk membaca maklumat pada label produk kosmetik dengan teliti sebelum memilih sesuatu produk kosmetik yang sesuai untuk mereka.
Sekiranya pengguna mendapat kesan yang tidak diingini atau mengesyaki produk kosmetik bernotifikasi mengandungi bahan terlarang, laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdf dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.
Semakan Akhir | : | 22 Ogos 2019 |
Penulis | : | Khairul Huda bt. Mohamadiah |
Akreditor | : | Zuraida bt. Abdullah |
Penyemak | : | Wan Mohaina bt. Wan Mohammad |
: | Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman |