Glaukoma adalah penyakit yang rumit di mana kerosakan berlaku pada saraf optik yang progresif dan boleh menyebabkan hilang penglihatan yang kekal. Glaukoma adalah merupakan penyebab kedua kebutaan kekal.
Glaukoma biasanya dirawat dengan ubat titis mata dan atau laser. Kebanyakan kes, glaukoma boleh dikawal dengan rawatan tersebut, lantas kehilanga penglihatan yang teruk dapat dicegah. Dalam beberapa keadaan pembedahan glaukoma juga dikenali sebagai trabeculectomy perlu dilakukan bagi mencegah glaukoma menjadi lebih teruk.
Trabeculectomy adalah satu prosedur pembedahan untuk merawat glaukoma dengan merendahkan tekanan dalaman mata. Matlamat pembedahan ialah untuk mengurangkan tekanan dalaman mata (intraokular pressure).Trabeculectomy mewujudkan sistem saliran baru untuk membantu cecair dalaman ditapis keluar dari mata. Sebagai alternatif, cecair dalaman tidak akan mengalir pergi melalui sistem saliran biasa mata (jaringan trabekular ), tetapi cecair mengalir ke dalam “ruang” baru yang dicipta di bawah lapisan luar (konjunktiva) mata. Ini akan menurunkan tekanan mata itu.
Indikasi
Trabeculectomy biasanya disyorkan untuk pesakit yang mana penyakit glaukoma yang tidak dapat dikawal walaupun dengan penggunaan ubat-ubatan yang maksima dan / atau rawatan laser.
Indikasi untuk melakukan pembedahan glaukoma adalah berbeza-beza bergantung kepada jenis glaukoma, tahap glaukoma, dan juga faktor-faktor lain. Kadang-kadang pembedahan ini boleh digabungkan dengan pembedahan katarak.
Kontraindikasi
Tiada kontraindikasi yang mutlak untuk pembedahan glaucoma.
Pemeriksaan sebelum pembedahan
- Bagi memastikan tekanan intraokular terkawal sebelum pembedahan dijalankan bagi mengurangkan komplikasi.
- Bagi memastikan masalah kesihatan lain telah stabil sebelum pembedahan dijalankan.
Komplikasi
Semua pembedahan mata mempunyai beberapa risiko. Secara umum, pembedahan hanya dilakukan apabila manfaat melebihi risiko.
Risiko pembedahan glaukoma (trabeculectomy) termasuk:
- Pendarahan,
- Jangkitan kuman,
- Parut,
- Lekangan retina,
- Kelopak mata jatuh (droopy eyelid),
- Penglihatan berganda,
- Buta atau kehilangan mata (sangat jarang berlaku).
Dalam kebanyakan kes komplikasi boleh dirawat dan sebahagian kecil dari kes, pembedahan lanjut mungkin diperlukan. Buta adalah merupakan komplikasi yang jarang-jarang berlaku. Risiko-risiko ini adalah jarang berlaku, tetapi perlu dibincangkan dan dimaklumkan sebelum pembedahan.
Hasil pembedahan
Pembedahan Trabeculectomy hanya merendahkan tekanan dalaman mata. Dengan merendahkan tekanan dalaman mata, matlamatnya adalah untuk sama ada menghentikan atau melambatkan proses kehilangan penglihatan. Penglihatan yang telah hilang sebelum pembedahan, secara umum, tidak dapat dipulihkan.
Ubat titis mata mungkin perlu digunakan selama dua atau tiga bulan selepas pembedahan. Sesetengah pesakit mungkin tidak perlu menggunakan ubat titis mata selepas tempoh itu.
Kebanyakan pesakit akhirnya mungkin memerlukan ubat titis mata glaukoma untuk mengekalkan tekanan mata ditahap terkawal.
Kebanyakan pesakit akan memerlukan ubat titis mata glaukoma kurang daripada yang digunakan sebelum pembedahan.
Keperluan untuk ubat titis mata jangka panjang amat berbeza dan ditentukan oleh jenis glaukoma dan kadar keseriusan penyakit glaukoma yang dihidapi.
Rujukan
- eyecareamerica.org/eyecare/treatment/glaucoma–filtration/
- www.webmd.com/eye…/trabeculectomy-filtration–surgery-for-glaucoma
- www.ouh.nhs.uk/patient-guide/…/files%5C110705trabeculectomy.pdf
- www.masseyeandear.org › … › Ophthalmology › Glaucoma › Treatment
- emedicine.medscape.com/article/1207755-overview
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Rosniza bt. Ab. Razak |
Akreditor | : | Dr. Salmah bt. Othman |
Penyemak | : | Dr. Rosniza bt. Ab. Razak |