Pengenalan
Radiofarmaseutikal merupakan sejenis ubat yang mengandungi bahan radioaktif dan digunakan untuk tujuan perubatan; iaitu mendiagnos atau merawat sesuatu penyakit. Di dalam bidang Perubatan Nuklear, hampir 95% digunakan untuk mendiagnos penyakit –penyakit seperti kanser dan bukan kanser. Dos yang diberikan adalah kecil dan pemberiannya adalah selamat dengan syarat pesakit mengambil langkah-langkah berkaitan perlindungan sinaran seperti yang dinasihatkan.
Radiofarmaseutikal mempunyai dua komponen iaitu; radionuklid dan farmaseutikal. Radionuklid akan menghasilkan sinaran radioaktif yang mempunyai keupayaan tenaga berbeza bergantung kepada jenis radioaktif yang digunakan manakala farmaseutikal berfungsi sebagai pembawa untuk mengangkut radioaktif yang kesel-sel yang ditujukan seperti sel-sel kanser. Radiofarmaseutikal hanya boleh diberikan kepada pesakit oleh anggota perubatan yang berkelayakan dengan pengawasan pakar perubatan nuklear dan hanya boleh didapati di hospital-hospital yang menawarkan perkhidmatan ini.
Jenis Radiofarmaseutikal
Radiofarmaseutikal boleh dibahagi kepada 2 jenis bergantung kepada tujuan kegunaannya iaitu;
- Radiofarmaseutikal bagi tujuan mendiagnos penyakit.
- Radiofarmaseutikal bagi tujuan merawat penyakit.
Radiofarmaseutikal Bagi Tujuan Diagnosis Penyakit
Radiofarmaseutikal bagi tujuan ini mengandungi bahan radioaktif yang akan menghasilkan sinaran radioaktif iaitu; sinaran gamma. Sinaran gamma ini boleh dikesan menggunakan peralatan pengesan radiasi atau peralatan pengimejan seperti kamera sintilasi, Single Photon Emission Computed Tomography (SPECT) dan Positron Emission Tomography/Computed Tomography (PET/CT).Jika ubat radiofarmaseutikal ini disuntik ke dalam badan pesakit, ia akan sama ada bergerak melalui organ –organ tertentu di dalam badan atau diserap oleh organ tersebut . Seterusnya, sinaran ini akan dikesan oleh kamera pengesan sinaran gamma dan menghasilkan imej. Maklumat yang diperolehi ini akan digunakan oleh Pakar Perubatan Nuklear untuk membuat laporan perubatan pesakit.
Contoh gambar pengimejan tulang yang diperolehi hasil daripada pemberian radiofarmaseutikal ke atas pesakit bagi tujuan diagnostik.
(Sumber: http://www.who.int/entity/diagnostic_imaging/imaging_modalities/nuclearmed.jpg)
Radiofarmaseutikal Bagi Tujuan Rawatan Penyakit
Manakala radiofarmaseutikal bagi tujuan ini pula mengandungi bahan radioaktif yang akan menghasilkan sinaran radioaktif yang bertenaga tinggi iaitu sinaran zarah beta atau sinaran zarah alfa. Sinaran radioaktif ini berupaya untuk membunuh sel seperti sel kanser atau barah. Ubat yang disuntik ke dalam badan pesakit akan bergerak dan kekal di tisu barah. Akibat pendedahan sinaran radioaktif, tisu barah tersebut akan rosak dan seterusnya mati. Hasil rawatan mungkin tidak dapat dilihat serta merta kerana proses kematian sel yang rosak mengambil sedikit masa. Pesakit mungkin akan dikuarantin selepas mengambil ubat ini bagi tujuan keselamatan radiasi.
Kegunaan/Indikasi
Disenaraikan beberapa jenis radiofarmaseutikal dan kegunaannya seperti jadual di bawah.
Bil
|
Nama Radiofarmaseutikal
|
Indikasi
|
---|---|---|
1. | Technetium (99mTc) Medronate | Pengimejan Tulang |
2. | Technetium (99mTc) Tetrofosmin | Pengimejan Perfusi Jantung |
3. | Technetium (99mTc) Sestamibi Sodium pertechnetate (99mTc) |
Pengimejan Paratiroid. |
4. | Fludeoxyglucose (18F) Iobenguane (131I) |
Pengimejan Kanser. |
5. | Technetium (99mTc) succimer Technetium (99mTc) pentetate Technetium (99mTc) mertiatide |
Pengimejan Buah Pinggang |
6. | Sodium Iodide (131I) | Pengimejan dan Rawatan Kanser Tiroid |
7. | Yttrium (90Y) silicate | Rawatan Radiosynovectomy |
Bila radiofarmaseutikal diberikan?
Pesakit yang dirujuk ke Jabatan Perubatan Nuklear sahaja yang akan diberikan ubat ini. Penjelasan yang secukupnya berhubung prosedur berkaitan akan disampaikan oleh doktor bertugas. Radiofarmaseutikal ini hanya akan diberikan apabila pesakit bersetuju untuk meneruskan prosedur ini.
Cara Pemberian dan Bentuk Sediaan
Terdapat pelbagai bentuk dosej ubat radiofarmasutikal ini. Biasanya pesakit akan diberikan sama ada melalui suntikan intravena atau oral; iaitu sediaan berbentuk cecair (untuk diminum) atau kapsul (untuk ditelan). Terdapat juga dalam bentuk gas yang perlu disedut oleh pesakit. Radiofarmaseutikal ini hanya diberikan kepada pesakit di hospital sahaja atau khususnya di Jabatan Perubatan Nuklear. Pesakit tidak dibekalkan ubat ini untuk dibawa pulang.
Dos Pemberian
Tidak seperti sediaan farmaseutikal lain, ubat ini tidak menggunakan dos di dalam unit milligram sebagai sukatan pengambilan untuk diberi pada pesakit, sebaliknya radiofarmaseutikal menggunakan unit Curie (Ci) (Unit Bukan SI) atau Megabecquerel (MBq) (Unit SI). Dos yang diberi kepada anda akan ditentukan oleh doktor bertugas. Terdapat perbezaan dos yang diberikan kepada kanak-kanak dan orang dewasa. Penentuan dos juga biasanya bergantung kepada nilai berat badan pesakit.
Perkara-Perkara Yang Perlu Diberi Perhatian
Sebelum membuat keputusan untuk menggunakan radiofarmaseutikal bagi tujuan diagnosis atau merawat penyakit, berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberi perhatian;
- Pastikan pesakit tidak alah terhadap mana-mana isi kandungan ubat yang digunakan.
- Pastikan pesakit tidak mengandung.
- Pesakit dinasihatkan berhenti menyusukan anak untuk sementara waktu.
- Rujuk doktor anda jika anak atau ibu bapa anda memerlukan ubat ini.
- Pesakit bertanggungjawab untuk memaklumkan kepada doktor mengenai ubat-ubatan, ubat tradisional, herba-herba dan makanan tambahan (suplemen) yang diambil.
- Maklumkan kepada doktor sekiranya pesakit merokok atau minum minuman beralkohol.
Walaubagaimanapun, pastikan anda berbincang dengan doktor anda tentang manfaat dan risiko berhubung pendedahan radiasi yang diterima dari penggunaan radiofarmaseutikal.
Kesan Sampingan Yang Mungkin Dialami
- Loya
- Sukar bernafas
- Penyempitan saluran pernafasan
- Pengurangan tekanan darah
- Gatal-gatal
- Kemerah-merahan
- Seram sejuk
- Batuk
- Degupan jantung perlahan
- Kekejangan otot
- Pening
Sekiranya pesakit mengalami sebarang tanda-tanda yang tidak sama seperti di atas dan namun berasa tidak selesa, sila maklumkan kepada doktor atau mana-mana pengamal perubatan dengan segera. Kesan sampingan mungkin berlaku setelah anda meninggalkan hospital.
Rujukan
- AgensiNuklear Malaysia. Warta Nuklear Malaysia. PerubatanNuklear (PDF). Jilid 4. Bilangan 3 Sept-Dis 2011.
- Gambar – http://www.who.int/diagnostic_imaging/imaging_modalities/dim_plain-radiography/en/index7.html
- http://apps.who.int/phint/en/p/docf/
- http://www.drugs.com/drug-class/radiopharmaceuticals.html
- http://www.whatisnuclearmedicine.com/Home 6. Saha G.P. (2010). Fundamental of Nuclear Pharmacy (6th ed.). New York: Springer Science+Business Media
- Video – http://www.snmmi.org/ClinicalPractice/content.aspx?ItemNumber=6539
- Munjal, A., & Gupta, N. (2020). Radiopharmaceuticals. https://europepmc.org/article/nbk/nbk554440
Semakan Akhir | : | Februari 2024 |
Penulis | : | Mohd Borhanuddin bin Md. Hassan |
Penyemak | : | Syafi’ah binti Bakaruddin |