A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Rabun Warna

Rabun Warna

Pengenalan

Apakah yang terlintas difikiran anda tentang rabun warna? Ramai dikalangan kita membayangkan kehidupan tanpa warna kecuali hitam dan putih sahaja.

Sebenarnya tanggapan ini adalah salah, kerana individu rabun warna masih boleh mengenal pasti warna tetapi persepsi warnanya sahaja yang berbeza dengan orang yang mempunyai penglihatan warna normal. Mereka mempunyai kesukaran membezakan warna terang dan warna gelap.

Masalah rabun warna bergantung kepada tahap keseriusan rabun warna seseorang.

Faktor-Faktor Penyebab Rabun Warna

  1. Kongenital/sejak lahir
  • Kebanyakan penyebab utama rabun warna adalah faktor kongenital (sejak lahir). Ini bermakna, masalah ini telah ada pada kanak-kanak itu disebabkan oleh pembawaan genetik dari keturunan.
  • Jenis dan tahap keseriusan rabun warna berbeza mengikut individu. Ada orang yang tidak dapat mengecam sebarang warna. Ada pula yang tidak dapat mengecam warna merah dan hijau dan ada pula yang tidak mengenali biru dan kuning.
  • Jenis rabun warna yang kerap dijumpai adalah jenis rabun merah dan hijau. Golongan lelaki lebih berisiko mendapat rabun jenis ini iaitu antara 5 hingga10 peratus berbanding golongan wanita.

  1. Faktor Perolehan
  • Penyebab lain seseorang itu mendapat rabun warna adalah disebabkan faktor perolehan seperti penyakit yang dihidapi. Contohnya seperti kencing manis, faktor penuaaan (Age related Macular Degenaration), glaukoma, katarak, kecederaan mata dan juga kesan sampingan sesetengah ubat seperti ubat bagi penyakit artritis rheumatoid dan ubat bagi penyakit Tuberculosis (TB).

Jenis Rabun Warna

Biasanya jenis rabun warna terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. Monokromat (rabun warna total)

Terdapat segelintir penghidap rabun warna total (monokromat) dari sejak lahir kerana tiada sel kon pada retina tetapi ianya sangat jarang berlaku.

Apa yang mereka akan lihat adalah warna hitam dan putih sahaja dan rabun warna total ini merupakan jenis yang paling serius.

  1. Dikromat

Jenis ini merupakan kekurangan sederhana iaitu tiada salah satu daripada kon-kon berikut :

  • tiada pigmen kon merah  (protanopia) yang bermaksud pengidap tidak mengenali warna merah
  • tiada pigmen hijau (deutanopia), yang bermaksud pengidap tidak mengenali warna hijau
  • tiada pigmen kon biru (tritanopia), yang bermaksud pengidap tidak mengenali warna biru
  1. Trikromat

Bagaimana Mengesan Rabun Warna

  • Semua kanak-kanak perlu menjalani ujian penglihatan warna terutamanya bagi mereka yang mempunyai keturunan  yang diketahui mempunyai masalah rabun warna.
  • Ujian ini boleh dilakukan apabila kanak-kanak sudah mula faham arahan yang diberi dan sudah boleh mengenal nombor dan bentuk.
  • Ujian penglihatan warna yang kebiasaannya dilakukan oleh optometris adalah dengan menggunakan ujian yang direka khas untuk mengesan rabun warna seperti Ishihara colour plates, D-15, 100 Hue, Anamaloskop dan HRR plates.
  • Apabila rabun warna dikesan, ujian selanjutnya akan dijalankan untuk mengesan jenis rabun warna tersebut dan tahap keseriusan rabun warna yang dialami.

Rawatan

  • Tiada ubatan boleh menyembuhkan penghidap rabun warna sejak lahir. Walau bagaimanapun, terdapat alat optikal iaitu ChromaGen yang terdiri daripada kanta lekap dan cermin mata khas dengan penapis warna tertentu dapat membantu untuk meningkatkan tona warna lantas mampu membezakan warna-warna defek dengan lebih mudah.

  • Pada masa ini, perkhidmatan ChromaGen untuk rabun warna boleh didapati di hospital kerajaan seperti di Hospital Ampang.
  • ChromaGen membolehkan pengidap rabun warna mengecam warna dengan lebih baik. Namun, kejayaan  rawatan ini bergantung kepada tahap rabun warna individu tersebut.
  • Rabun warna yang disebabkan oleh penyakit akan kembali normal setelah penyakit tersebut sembuh. Walau bagaimanapun, rabun warna disebabkan penyakit atau kesan sampingan ubat biasanya akan kekal jika terdapat kerosakan pada sel kon di retina atau saraf mata.

Apa Yang Perlu Dilakukan Jika Seseorang di Diagnos Sebagai Rabun Warna?

  1. Guru
  • Sekiranya guru mengetahui bahawa kanak-kanak itu mempunyai masalah rabun warna, mereka dapat membantu atau mengajar kanak-kanak ini dengan cara yang berlainan dan lebih efektif seperti   melabelkan nama warna pada pensel warnanya supaya dia dapat memilih warna yang sepatutnya apabila melakukan aktiviti mewarna.
  1. Ibu Bapa
  • Bagi mengelakkan kekecewaan pada masa akan datang, ibu bapa perlu tahu untuk menjuruskan akademik anak-anak supaya mereka tidak memilih profesien yang melibatkan penglihatan warna seperti polis, tentera, kadet ,bomba, juruterbang, juruelektrik, makmal kimia, geosains, pemandu pengangkutan awam dan lain-lain.
  • Walaupun rabun warna bukan satu masalah serius, golongan ini perlu diberikan sokongan dan pemahaman oleh ahli keluarga kerana  pesakit biasanya berada dalam dunia mereka sendiri kerana tidak sedar sebenarnya warna yang dilihat tidak betul.
  1. Ujian lesen memandu
  • Kebanyakan negara membenarkan orang yang rabun warna mengambil lesen memandu asalkan tiada masalah persepsi atau masalah mata yang lain.Mereka selalunya boleh belajar daripada susunan lampu isyarat dan bukan melalui warna.
  • Menurut kajian Haliza et al (2010), didapati bahawa 2.2% daripada pemandu di Malaysia mengalami masalah rabun warna kongenital. (sumber daripada : Haliza AM, Md Muziman Syah MMS, Norliza MF.2010. Visual problems of new Malaysian drivers. Malaysian Family Physician.5(2):95-8)
  • Sekiranya seseorang itu gagal ketika mengambil ujian warna semasa mengambil lesen, jangan berputus asa, dapatkan pengesahan doktor mengenai tahap rabun warna anda. Daripada pengesahan itu barulah pihak tertentu seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dapat membuat pertimbangan sewajarnya.

Kesimpulan

Pengesanan awal dari usia kanak-kanak dapat membantu membaiki kelemahan rabun warna. Sepatutnya kita tidak melihatnya sebagai satu kecacatan kerana selalunya mereka hanya kekurangan warna hijau dan merah, dan bukan hidup dalam dunia hitam putih.

Kebanyakan penghidap rabun warna mempunyai penglihatan yang normal.

Penghidap rabun warna juga tiada masalah dalam pembelajaran kerana ianya tidak melibatkan IQ. Mereka hanya perlu dipantau supaya memilih bidang kerjaya yang bersesuaian.

Sebagai contoh, adakah anda tahu bahawa Mark Zuckerberg  pengasas laman web sosial Facebook sebenarnya adalah seorang yang rabun warna? Kerana itulah warna latar Facebook adalah biru dan putih.

Mengikut temubualnya bersama Time, banyak warna yang tidak mampu dilihat olehnya termasuk hijau dan merah. Zuckerberg hanya boleh melihat warna biru dengan sempurna. Namun, Zuckerberg tidak menjadikan kekurangan itu sebagai halangan untuknya memiliki rangkaian kawan dari seluruh dunia.

Ramai lagi mereka di luar sana yang menhidap rabun warna dan mempunyai kehidupan yang normal, cuma  pandangan mereka pada warna saja yang berbeza.

Rujukan

  1. Haliza AM, Md Muziman Syah MMS, Norliza MF.2010. Visual problems of new Malaysian drivers. Malaysian Family Physician.5(2):95-8)
  2. Phoon KYI, Chang WT, 2013, Practical assessment of colour vision to certify fitness of driving, SFP2013; 39(1) Supplement: 63-66
  3. http://www.nhs.uk/Conditions/Colour-vision-deficiency/Pages/Treatment.aspx
  4. http://www.aoa.org/patients-and-public/eye-and-vision-problems/glossary-of-eye-and-vision-conditions/color-deficiency#2
  5. http://courses.washington.edu/psy333/lecture_pdfs/Week7_Day2.pdf
  6. http://www.color-blindness.com/2008/03/29/improving-color-vision-with-lenses-for-the-colorblind/
  7. http://colorvisiontesting.com/color2.htm
  8. http://ghr.nlm.nih.gov/condition/color-vision-deficiency
  9. http://www.ireadbetternow.com/color-blindness-solution
  10. http://www.colourblindawareness.org/colour-blindness
  11. http://www.jpj.gov.my
Semakan Akhir : 04 November 2014
Penulis : Pn. Hasyimah bt. Hamdan
Penyemak : Pn. Che Ruhani bt. Che Jaafar

 

Artikel Berkaitan

MRI PELVIS

Apa Itu MRI Pelvis? Magnetic Resonance Imaging (MRI) pelvis menggunakan

Pengurusan Mayat Tidak Dituntut

Mayat dikategorikan sebagai mayat yang tidak dituntut apabila segala usaha mencari identiti mayat telah dilaksanakan oleh pihak berwajib tetapi masih tidak diketahui identitinya, atau waris si mati tidak dapat dijumpai/dihubungi

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia