A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Solekan Dan Kanta Lekap

Solekan Dan Kanta Lekap

Rajah 1 : Solekan dan kanta lekap

Pengenalan

Melihat pada ketiga-tiga gambar di atas, pasti ramai kagum dengan transformasi dari sebelum dan selepas mata dimekap.

Bagi wanita zaman moden, penampilan diri yang menarik bukan hanya menjurus kepada pemilihan pakaian sebaliknya solekan memainkan peranan penting kerana ia mampu menyerlahkan keanggunan wanita dalam apa juga situasi.

Solekan pada mata umpamanya dapat mengubah ketrampilan seseorang dalam sekelip mata sahaja.

Bak kata pepatah, dari mata turun ke hati. Terbukti mata mempunyai  kuasa yang tersendiri sebagai daya penarik.

Justeru untuk ketrampilan yang anggun, solekan pada mata merupakan elemen yang amat dititikberatkan. Ini kerana perkataan anggun itu sendiri memberikan makna berbeza dan biasanya dikaitkan menerusi lirikan mata yang menawan.

Namun, apa yang menjadi kerisauan pada sesetengah wanita adalah kerumitan dan ketakutan mengenakan solekan pada mata yang mempunyai kanta lekap padanya.

Penggunaan kanta lekap amat meluas pada zaman sekarang. Sama ada sebagai pengganti cermin mata untuk mendapatkan penglihatan yang jelas, ataupun sekadar untuk kelihatan lebih menarik dengan pemakaian kanta lekap yang berwarna.

Bagi pemakai kanta lekap, terdapat langkah yang perlu diambil kira apabila mengenakan solekan pada mata.

Dalam keselesaan memakai kanta lekap, kita harus fahami cara penjagaan yang betul sebelum dan selepas memakai kanta lekap terutamanya apabila mengenakan solekan pada mata.

Pemakai kanta lekap terdedah kepada pelbagai risiko jika penggunaannya tidak dibuat dengan cara yang betul.

Berikut adalah langkah atau tips yang perlu diambil kira bagi pemakai kanta lekap yang ingin mengenakan solekan pada mata :

1. Masukkan kanta lekap dengan tangan yang bersih

Basuh tangan dengan bersih sebelum memasukkan kanta lekap ke dalam mata. Pastikan tangan dilap dengan tisu atau kain bersih sehingga kering kerana perlu diketahui, air paip mengandungi kuman Acanthamoeba yang merbahaya pada mata.

Penggunaan produk sabun tangan yang bebas miyak, losyen dan pewangi adalah amat digalakkan.

2. Masukkan kanta lekap sebelum mengenakan sebarang solekan pada mata mahupun pada muka. Begitu juga jika menggunakan sebarang penyembur seperti penyembur rambut, penyembur minyak wangi, adalah dinasihatkan untuk dilakukan juga sebelum pemakaian kanta lekap.

Satu tips untuk pemakai kanta lekap yang mengunjungi salun rambut, pastikan anda menutup mata apabila disembur dengan sebarang penyembur rambut.

3. Jika anda perlu untuk menitiskan ubat mata, lakukan sebelum memakai mekap. Jika tidak ia mungkin akan merosakkan solekan anda.

4. Pastikan alat solekan selamat untuk pemakai kanta lekap

Alat solekan yang sesuai adalah hypoallergenic iaitu produk yang mengandungi bahan yang kurang menyebabkan kesan alahan, ophthalmologist-tested dan sesuai untuk mata yang sensitif.

5. Pemilihan jenis maskara

Terdapat 2 jenis maskara iaitu jenis serbuk dan krim. Jenis serbuk lebih mudah untuk dibersihkan dari jenis krim apabila termasuk ke dalam mata.

6. Elakkan penggunaan alat solekan yang berasaskan minyak

Ini penting terutamanya alat solekan pada mata. Adalah lebih baik untuk memilih alat solek yang mudah dibersihkan dengan pembersih mekap dari jenis non-oil.

Ini kerana jika terdapat minyak pada kanta lekap, ia akan menyebabkan penglihatan menjadi kabur dan kanta lekap tersebut tidak boleh dipakai lagi.

7. Elakkan penggunaan maskara yang mempunyai fiber yang berfungsi untuk memanjangkan bulu mata.

Serbuk atau serpihan maskara dari jenis tersebut boleh masuk ke dalam mata dan seterusnya terperangkap di bawah kanta lekap.

8. Elakkan mengenakan maskara dan eye liner dihujung mata sebelah hidung

Ini adalah tempat dimana terdapat bukaan kelenjar minyak. Jika bukaan ini dihalang, ia akan menyebabkan mata kering, dan juga boleh menyebabkan ketumbit.

9. Elakkan penggunaan bulu mata palsu

Pemakaian bulu mata palsu memerlukan penggunaan gam pada mata dan adalah amat merbahaya jika gam tersebut memasuki mata.

10. Amalkan penggunaan kanta lekap pakai buang harian ( daily disposable )

Terdapat pelbagai jenis kanta lekap boleh didapati sekarang. Penggunaan kanta lekap jenis daily disposable dapat meminimakan iritasi dan mata merah. Mata juga lebih selesa dengan pemakaian kanta lekap yang baru pada setiap hari.

11. Bedak asas jenis water based

Mekap dari jenis krim akan menyebabkan iritasi jika termasuk pada mata. Ini dapat diatasi dengan penggunaan bedak yang berasaskan air.

12. Gunakan bedak jenis pressed powder berbanding loose powder

Jika anda masih menggunakan loose powder, adalah dinasihatkan untuk menutup mata semasa pemakaiannya.

13. Elakkan penggunaan pembayang mata dari kumpulan warna pink atau merah

Mata akan kelihatan lebih merah terutama jika berlaku iritasi.

14. Tanggalkan kanta lekap sebelum menanggalkan solekan

Gunakan pembersih mekap dari jenis hypoallergenic, dan juga bebas minyak. Jenis pembersih mekap untuk mata sensitif juga amat digalakkan.

15. Tanggalkan kanta lekap dengan tangan yang bersih

Sepertimana sewaktu pemakaian kanta lekap, tangan juga perlu bersih dan kering semasa menanggalkan kanta lekap.

16. Jangan berkongsi alat mekap dan tukar secara berkala

Ini adalah untuk memastikan alat solek sentiasa bersih dan meminimakn jangkitan bakteria. Pastikan juga alat mekap ditutup dengan baik untuk mengelakkan terdedah pada kotoran.

17. Amalkan penjagaan kanta lekap dengan baik setiap masa

Penjagaan kanta lekap yang baik adalah dengan mengikuti cara membersih, menyimpan dan memakai yang betul dan menukar kanta lekap pada waktu yang disarankan.

Rutin penjagaan yang betul dan berdisiplin dapat mengelakkan dari berlaku komplikasi yang boleh menimbulkan masalah pada penglihatan anda kemudian hari.

18. Lakukan pemeriksaan mata secara berkala

Anda boleh mendapatkan khidmat pemeriksaan mata dari optometris yang bertauliah. Optometris akan memeriksa mata dengan teliti dan juga akan memeriksa keadaan kanta lekap untuk memastikan ia selamat untuk dipakai.

Dengan mengikuti tips yang diberi ini,pemakai kanta lekap sudah pastinya dapat menyerlahkan keanggunan diri dengan pemakaian alat solek tanpa perlu risau lagi. Sayangi diri, sayangi mata anda.

Rujukan

  1. Sumber gambar : http://zoeyzauyah.blogspot.com/2012/07/mekap-nurul-huda-untuk-majlis-sekolah.html
  2. Sumber gambar : http://fabulousiti.blogspot.com/2013_02_01_archive.html
  3. Sumber gambar : http://citercopy.blogspot.com/2013/08/menarik-wajah-sebelum-dan-selepas.html
Semakan Akhir :: 14 Oktober 2014
Penulis : Pn. Hazwani bt. Hassan
Penyemak : Pn. Noor Zahirah bt. Husain

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia