A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Penjagaan Mata Semasa Bekerja...

Penjagaan Mata Semasa Bekerja Di Sektor Pertanian

Pengenalan

Tidak selesa…” ini adalah antara jawapan yang sering diberikan oleh pesakit apabila ditanya sebab mengapa mereka tidak memakai pelindung mata semasa bekerja.

Tanpa menyedari hakikat bahawa mereka sebenarnya terdedah kepada pelbagai risiko kecederaan dan penyakit mata sekiranya tidak memakai sebarang alat pelindung mata semasa menjalankan aktiviti bertani.

Risiko untuk menghadapi masalah berkaitan kesihatan mata bukan sahaja boleh dialami oleh individu yang bekerja di sektor pertanian secara komersial, bahkan mereka yang menjadikan aktiviti bercucuk-tanam sebagai hobi juga tidak terkecuali.

Di Amerika Syarikat, berdasarkan laporan pada tahun 2007, dianggarkan kira-kira 8.7 dari 10,000 pekerja sektor pertanian dilaporkan mendapat kecederaan mata setiap tahun. (1)

Punca Kecederaan Mata Semasa Berkebun

Semasa menjalankan aktiviti di kebun atau di ladang, seseorang itu boleh terdedah kepada pelbagai kecederaan samaada disebabkan oleh tumbuh-tumbuhan, peralatan bertani atau jentera yang digunakan semasa bertani.

Antara kecederaan yang sering dialami ialah luka pada kornea(bahagian depan mata yang  telus cahaya) disebabkan kemasukan bendasing seperti partikel daripada tumbuhan atau tanah. Sekiranya luka disebabkan bendasing ini tidak dirawat, ianya boleh menyebabkan ulser atau mata bernanah dan seterusnya menyebabkan kebutaan.

Kecederaan yang serius akibat tertusuk atau luka disebabkan peralatan bertani yang tajam sering berlaku kepada petani. Pengendalian yang tidak betul atau kerosakan pada peralatan atau mesin juga boleh menyebabkan kemalangan dan kecederaan serius yang tidak dijangka pada mata.

Selain itu bahan kimia yang digunakan samada dalam bentuk cecair, semburan atau serbuk juga boleh menyebabkan kecederaan ringan atau serius pada mata., seperti kebocoran atau kornea berlubang.

Jika kecederaan ini tidak dirawat dengan cepat , ianya boleh menjadi lebih teruk dan boleh mengakibatkan kebutaan. Oleh itu bahan-bahan ini mesti digunakan dengan cara yang betul dan dijauhi dari kanak-kanak.

Kecederaan mata bukan sahaja boleh mengakibatkan seseorang itu mengalami kesakitan, kerugian masa dan bebanan kewangan tetapi yang paling penting tidak dapat bekerja kerana tidak nampak disebabkan buta.

Penggunaan alat pelindung mata

Semua pekebun atau petani mesti menggunakan alat pelindung mata yang bersesuaian untuk menghalang kecederaan pada mata. Pelbagai alat pelindung yang bersesuaian untuk aktiviti yang berlainan terdapat dipasaran.

Cadangan penggunaan alat pelindung mata berdasarkan jenis aktiviti yang dijalankan adalah seperti di dalam Jadual 1 di bawah.

Penggunaan alat pelindung mata yang mengikut piawaian adalah amat penting.  Ini kerana menggunakan alat pelindung yang lama dan telah tamat tempoh penggunaan adalah tidak selamat. Setengah dari alat pelindung mungkin dibuat dari bahan yang tidak mengikut piawaian, ianya akan senang pecah bila terkena tekanan. Serpihan dari alat pelindung mata boleh mencederakan mata.

Saiz alat pelindung yang digunakan seeloknya sepadan dengan muka dan kepala supaya ianya dapat memberikan perlindungan sepenuhnya pada bahagian mata, muka dan kepala. Juga selesa bila dipakai supaya tidak mengganggu pergerakan pemakainya.  Alat perlindungan juga mesti senang dibersihkan dan sentiasa bersih supaya pandangan tidak terganggu semasa aktiviti dijalankan.

Pekebun atau petani bekerja dalam jangkamasa yang lama dibawah sinaran matahari. Ini menyebabkan pendedahan berterusan kepada sinaran ultra-violet (UV rays) Cahaya matahari yang mengandungi sinaran ultraviolet (UV) boleh menyebabkan masalah seperti mata sensitif dan keradangan (photokeratitis) dalam jangka masa pendek. Ianya juga merupakan salah satu penyebab masalah katarak, pterygium dan kerosakan pada retina.

                                                            Katarak                                                                                                        Ptyerygium

Topi dan cermin mata gelap yang digunakan semasa bertani, bukan sahaja dapat membantu mengurangkan pendedahan terhadap sinaran UV tetapi juga dapat membantu mengurangkan silau semasa bekerja di kebun. Walaubagaimanapun, kacamata yang digunakan hendaklah dipastikan benar-benar dapat melindungi mata dari sinaran UV kerana terdapat banyak cermin mata gelap yang dijual terutama di kaki lima tidak mempunyai lapisan pelindung UV.

Bagi pengguna kanta sentuh, anda dinasihatkan agar tidak menggunakan kanta sentuh (contact lenses) semasa mengendalikan bahan kimia (setengah bahan kimia boleh merosakkan kanta sentuh).

Sekiranya tidak mempunyai pilihan lain, anda hendaklah memastikan goggles khas untuk bahan kimia yang mempunyai pelindung sisi digunakan. Anda juga hendaklah berjumpa dengan optometris bertauliah untuk memastikan keadaan kesihatan mata dan mendapatkan khidmat nasihat dengan lebih lanjut.

Pemakaian goggles dan kacamata pelindung adalah sangat penting dan merupakan langkah pencegahan utama dari kecederaan mata. Pelbagai risiko kecederaan seperti terkena bahan kimia atau tercucuk peralatan tajam dapat dikurangkan. Tindakan ini sangat mudah tetapi sering dipandang ringan dan tidak diamalkan.

Rawatan asas kecemasan

Walaupun langkah pencegahan telah diambil, kadangkala kecederaan dan kemalangan masih boleh berlaku dan tidak dapat dielakkan. Maka, rawatan asas kecemasan yang betul amat penting untuk mengelakkan kecederaan lebih parah. Setiap jenis kecederaan perlukan rawatan asas yang berbeza.

Sekiranya terdapat bendasing memasuki mata, kerlipkan mata beberapa kali supaya air mata dapat mengeluarkan partikel tersebut dengan sendiri. Cuba untuk tidak menggosok mata untuk mengelakkan kornea terluka. Sekiranya masih tidak berkesan, anda hendaklah berjumpa doktor untuk memastikan bendasing tersebut dapat dikeluarkan.

Bagi kecederaan mata yang disebabkan benda tumpul seperti terhantuk dan menyebabkan lebam dan bengkak, bahagian tersebut hendaklah dituam dengan ais atau air sejuk untuk mengurangkan sakit dan bengkak selama 15 minit dan setiap satu jam selepas itu.

Sila berjumpa dengan doktor untuk memastikan tiada kecederaan mata yang lebih serius seperti kecederaan pada bahagian dalam bola mata.

Kecederaan akibat tertusuk benda tajam adalah serius dan tidak boleh diambil ringan. Jangan cuba untuk mengeluarkan objek tajam yang tertusuk di mata, kerana ini akan menjadinya lebih teruk.

Sekiranya kecederaan ini terjadi, jangan lakukan apa-apa pada mata, jangan meletakkan atau menyapu sebarang ubat pada tempat luka itu, sebaliknya balut  menggunakan kain, tisu yang bersih tanpa memberi tekanan pada bola mata dan sila berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Sekiranya mata terkena bahan kimia, mata hendaklah di cuci dengan air bersih dengan banyak dan berterusan selama 15 minit. Semasa mencuci cuba gerakkan mata pada kesemua arah (kiri, kanan, atas, bawah) dan cuci bahagian bawah kelopak mata juga.

Jangan titiskan apa-apa ubat pada mata sehingga anda telah berjumpa dengan doktor. Sila bawa bersama label atau bekas bahan kimia tersebut semasa berjumpa dengan doktor untuk memudahkan proses rawatan.

Antara perkara penting yang perlu dititik beratkan untuk mengelakkan jangkitan kuman pada mata ialah jangan menyentuh atau menggosok mata dengan tangan yang kotor. Selain itu peralatan pelindung mata yang digunakan juga hendaklah sentiasa bersih dan disimpan di dalam bekas yang bersih dan bebas habuk.

Rujukan

  1. Bureau of Labour Statistics. Incidence rate for nonfatal occupational injuries and illness involving days away from work per 10,000 full-time workers by industry and selected parts of the body [Table R6]. http://www.bls.gov/iif/oshwc/osh/case/ostb1662.pdf.

Semakan Akhir : 22/9/14
Penulis : Pn. Nurul Farhana bt. Abu Bakar
Penyemak : Pn. Nor Aini bt. Hanafi

Artikel Berkaitan

Bedah Siasat : Medikolegal vs Klinikal

Istilah bedah siasat dalam amalan perubatan membawa maksud pemeriksaan secara pembedahan dan sebagainya dilakukan keatas mayat atau jasad untuk mengetahui atau mengenal pasti punca kematian

Apa itu Implan Koklea?

Implan koklea adalah alat elektronik yang ditanam di dalam kepala melalui pembedahan bagi membantu individu yang bermasalah pendengaran sensorineural untuk mendengar bunyi.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia