A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Laman Utama
  4. /
  5. Keadaan Penyakit Khusus Organ

Keadaan Penyakit Khusus Organ

Soalan 1

Bayi saya berumur 23 hari mempunyai masalah pernafasan sejak lahir. Dia sukar bernafas dan pernafasannya berbunyi seolah-olah ada kahak. Mohon penjelasan dan cara terbaik untuk mengatasi masalah ini.

Jawapan 1

Sesetengah bayi mengalami masalah nafas berbunyi, seperti berkahak. Ini adalah kerana bayi tidak pandai untuk mengeluarkan kahak. Perkara ini terjadi kerana terdapat lendir di hidung dan bukan di paru-paru. Sila rujuk pada bahagian “Laryngomalacia” – satu sebab lain masaalah bunyi bernafas pada umur ini.

https://myhealth23.primuscore.com/bunyi-stridor-dikalangan-kanak-kanakPerkara ini bersifat sementara dan akan hilang secara perlahan-lahan mengikut proses pembesaran bayi. Kebiasaannya akan hilang dalam masa umur 3 bulan pertama.

Anda perlu memerhati adakah:

  • bayi anda bernafas seperti biasa (kadar nafas bayi baru lahir normal antara 40 hingga 60 seminit)
  • bayi anda aktif, menyusu dengan baik, tidak muntah, tidak demam, membuang air besar/kecil secara normal dan pembesarannya tidak terbantut.
  • tiada nampak pucat, biru atau susah dalam cara pernafasan

SEGERA bawa anak anda ke klinik/hospital yang berdekatan sekiranya anak anda mengalami tanda/gejala berikut:

  • Bayi tidak aktif
  • Tidak menyusu dengan baik
  • Muntah-muntah
  • Demam
  • Membuang air besar/kecil secara tidak normal

Maklumat lanjut tentang pengawasan tumbesaran kanak-kanak boleh didapati di Portal MyHEALTH:

https://myhealth23.primuscore.com/index.php/bayikanak-kanak/tumbesaran-a-perkembangan/pengawasan-pembesaran

Soalan 2

Anak lelaki saya yang berumur 1 tahun 9 bulan kerap demam iaitu setiap dua minggu. Dia juga berdengkur semasa tidur dan bunyinya seperti hidung tersumbat. Nasihat anda sangat-sangat dihargai.

Jawapan 2

Kami perlu tahu lebih lanjut mengenai simptom-simptom anak anda.

Adakah anak anda mempunyai simptom-simptom lain di samping demam semasa episod-episod penyakit berulang ini? Berapa lamakah demam berulang ini berlaku?
Ada setengah kanak-kanak yang mungkin sering demam disebabkan oleh jangkitan virus yang berulang. Ini akan biasa berlaku sekiranya anak anda diletakkan di pusat jagaan kanak-kanak di mana jangkitan silang akan wujud di antara kanak-kanak yang mudah dijangkiti.

Bilakah anda mula-mula memerhatikan bahawa anak anda berdengkur dan adakah ia berlaku hanya semasa dia demam?
Ada kemungkinan dia ada radang tonsil yang berulang dengan pembesaran adenoid. Kami nasihatkan anda supaya berjumpa dengan pakar kanak-kanak bagi menentukan sebab-sebab masalah tersebut berlaku.

Soalan 3

Bayi saya ada ruam lampin di kemaluannya. Selepas menyapu krim yang disyorkan oleh pakar kanak-kanak, ruam bayi saya telah sembuh. Akan tetapi, kesan lukanya masih ada walaupun beberapa bulan sudah berlalu. Bolehkah saya tahu adakah kesan luka ini akan sembuh sendiri ataupun memerlukan sebarang tindakan supaya ia dapat ditanggalkan?

Jawapan 3

Biasanya ruam lampin tiada kesan luka selepas sembuh. Setengah bayi mungkin akan mendapat kesan pigmentasi kulit akibat radang ruam kulit, tetapi ini akan sembuh selama-lamanya. Anda tidak perlu risau jika kesan tersebut berbentuk pengubahan warna kulit, tetapi kalau kesan itu agak teruk, dapatkan nasihat pakar kanak-kanak atau pakar kulit.

Soalan 4

Bagaimana merawat masalah jangkitan cacing yang serius di kalangan kanak-kanak dan bolehkah ubat cacing diberi lebih daripada dos biasa (setiap 6 bulan)?

Jawapan 4

Tuan/puan perlu membawa anak tuan/puan berjumpa dengan doktor untuk memastikan adakah benar dia mengalami masalah jangkitan cacing yang serius. Biasanya, setelah doktor memastikan yang anak tuan/puan memang dijangkiti cacing, ubat cacing akan diberi.

Jika terlalu serius, biasanya akan diikuti dengan tanda-tanda seperti perut kembung, susah buang air besar, lesu, pucat dan tidak membesar seperti kanak-kanak yang lain, anak tuan/puan akan dirujuk kepada pakar yang tertentu.

Adalah lebih baik untuk mengikut jadual rawatan yang telah ditetapkan, kecuali atas nasihat doktor, yang telah memeriksa anak tuan/puan.

Semakan Akhir: 23 September 2014

Artikel Berkaitan

Duromine

What is Duromine? Duromine is a product containing Phentermine as

Terengganu

Terengganu JKN DAERAH ALAMAT TELEFON FAKS Kuala Terengganu Jabatan Kesihatan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,458

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia