A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

Berkhemah merupakan salah satu aktiviti rekreasi luar. Aktiviti perkhemahan ini telah menjadi popular sejak awal abad ke-20 an. Perkhemahan adalah salah satu program penting dalam pertubuhan-pertubuhan remaja dan belia di seluruh dunia, seperti persatuan pengakap. Aktiviti ini dilakukan untuk mengajar remaja dan belia hidup berdikari dan kerja berpasukan. Sebelum memulakan aktiviti perkhemahan kenalpasti dahulu tempat perkemahan dan kemudahan prasarana yang disediakan. Ini akan memudahkan anda untuk menyediakan peralatan yang perlu dibawa semasa berkhemah.  Remaja yang ingin pergi berkhemah hendaklah pergi bersama sekurang-kurangnya seorang dewasa sebagai pengiring. Pastikan kesihatan fizikal dan mental anda di tahap optima sebelum melakukan aktiviti perkhemahan kerana aktiviti perkhemahan ini memerlukan kesihatan yang optima.

Antara peralatan yang boleh disediakan sebelum memulakan perkhemahan

  1. Kotak kecemasan yang mengandungi ubat dan peralatan rawatan kecemasan

  2. Bekalan ubat mencukupi sepanjang perkhemahan dan penyimpanan ubat yang betul jika anda mempunyai masalah kesihatan

  3. Khemah atau lain-lain bentuk perlindungan sebagai tempat berteduh

  4. Tukul atau kayu untuk pemasangan  khemah

  5. Beg tidur dan / atau selimut untuk kehangatan

  6. Pad tidur atau tilam udara untuk diletakkan di bawah beg tidur sebagai  pengalas dari batu-batu,  ranting dan tanah

  7. Tanglung/lampu atau lampu suluh

  8. Kapak atau gergaji untuk memotong kayu api untuk unggun api

  9. Pemetik atau pencucuh  api untuk memulakan unggun api

  10. Kerusi lipat atau plastik pengalas  untuk duduk  berkumpul di sekeliling unggun api

  11. Tali untuk sidaian pakaian dan untuk mengikat khemah

  12. Plastik tebal sebagai perlindungan tambahan semasa ribut pada khemah perlindungan dan tempat makan

  13. Baju hujan atau payung

  14. Kasut yang sesuai dan peralatan mendaki  jika anda merancang untuk melakukan aktiviti mendaki

  15. Joran untuk  memancing jika berkhemah berhampiran sungai atau tasik

  16. Wisel untuk bantuan dalam kecemasan

  17. Peralatan perkhemahan dapur untuk penyediaan makanan seperti pinggan, sudu, periuk dan lain-lain.

  18. Peralatan pembersihan bagi alatan yang diguna

  19. Beg sampah, untuk pengendalian sisa dan memastikan tempat perkhemahan bersih dari sisa buangan

  20. Krim  atau alat penghalau serangga

  21. Krim pelindung matahari untuk melindungi kulit dari panas matahari

  22. Peralatan  penjagaan diri seperti sabun, berus dan ubat gigi, tuala, tuala wanita dan lain-lain

  23. Kotak penyejuk dan pak ais (cooler box) untuk menyimpan makanan yang mudah rosak.

  24. Jika berkhemah di tapak perkemahan yang menyediakan kemudahan seperti elektrik dan tandas, anda boleh membawa bekalan makanan yang di simpan dalam kotak  penyejuk.

  25. Jika berkhemah di kawasan terpencil digalakkan membawa  makanan yang tidak mudah rosak seperti buah-buahan kering, kacang, biskut, sambal daging atau makanan dalam tin yang telah diproses dan tahan lama.

  26. Peralatan memasak seperti alat memanggang atau dapur mudah alih boleh digunakan untuk memasak di kawasan yang mempunyai kemudahan elektrik.

  27. Sentiasa mengambil air minuman yang telah dimasak

Panduan perkhemahan di hutan

Pemilihan kawasan dan tapak perkhemahan

  1. Pilih tanah atau tapak yang rata

    Ini memudahkan pemasangan khemah yang selesa sebagai tempat tidur atau berehat dan akan mengelakkan daripada berlakunya air bertakung semasa hujan.

  2. Berhampiran punca air

    Air yang bersih penting digunakan untuk memasak, membersihkan diri dan sebagainya. Punca air tersebut hendaklah dipastikan kebersihannya supaya tidak berlaku sakit perut,cirit birit atau penyakit lain yang boleh dijangkiti melalui air yang tidak bersih.

  3. Jauh daripada dahan kayu mati

    Ini penting kerana jika berlaku tiupan angin yang kuat atau hujan, pokok atau ranting serta dahan mati tersebut tidak menimpa khemah dan orang yang berada ditapak perkhemahan tersebut.

  4. Tapak yang lebih tinggi dari punca air.

    Ini adalah penting untuk mengelakkan daripada dihanyutkan air jika berkhemah di tepi sungai.

  5. Mudah untuk mendapatkan bantuan

    Ini penting jika berlaku sebarang kecemasan, pilih tapak perkhemahan yang berhampiran kawasan kampung, laluan orang serta mudah dihubungi.

  6. Setiap aktiviti perkhemahan juga haruslah dimaklumkan kepada pihak berwajib seperti Polis dan Jabatan Perhutanan yang berhampiran agar bantuan dan maklumat kecemasan akan dapat dimaklumkan secepat mungkin.

  7. Mudah untuk mendapatkan bahan bakar.

    Bahan bakar perlu untuk memasak jika memasak menggunakan unggun api.

  8. Keselamatan kawasan perkhemahan.

    Pastikan kawasan tersebut terselamat dari binatang buas atau penceroboh yang tidak diingini.

Keselamatan Khemah

  • Ubat nyamuk tidak dibenarkan dipasang di dalam atau terlalu hampir dengan khemah.

  • Khemah bukan sebagai tempat menjemur atau menyidai pakaian.

  • Tidak dibenarkan memasak di dalam khemah.

  • Digalakkan makan di luar khemah untuk mengelakkan semut atau binatang lain dari memasuki khemah.

  • Pastikan khemah ditutup jika tiada orang di dalamnya.

  • Pastikan di luar dan dalam khemah sentiasa berkeadaan bersih dan kemas.

  • Merokok adalah di larang sama sekali di dalam khemah.

  • Pastikan khemah yang dipasang adalah kukuh dan selamat untuk digunakan.

Penjagaan Khemah

Pasang khemah mengikut prinsip dan teknik yang betul:

  • Bersihkan dan keringkan khemah sebelum ia diguna dan disimpan.

  • Tidak mencuci khemah dengan menggunakan sabun atau bahan pencuci yang mengandungi bahan kimia.

  • Khemah hendaklah disimpan ditempat yang sesuai dan selamat daripada ancaman haiwan perosak dan ditempat yang kering.

  • Pastikan semua alatan yang digunakan untuk mendirikan khemah diperiksa dan lengkap sebelum disimpan.

Peraturan Keselamatan Perkhemahan

Setiap peserta perkhemahan mestilah patuh kepada semua arahan keselamatan, kawalan dan penerangan perkhemahan pada setiap masa.

  • Menjaga kebersihan kawasan perkhemahan.

  • Mengutamakan faktor kesihatan dan aspek makanan, minuman, pakaian dan tapak perkhemahan.

  • Berhati-hati melakukan sebarang aktiviti dan sentiasa menghormati serta menghargai kawasan sekitar.

  • Mengamalkan semangat kerjasama, tolak ansur dan kekitaan dalam menghadapi sebarang gangguan keselamatan

  • Merokok, berjudi, minuman keras adalah dilarang.

  • Mengutamakan aspek keselamatan semasa melakukan semua aktiviti.

  • Memaklumkan kepada ketua pasukan / kumpulan, fasilatator atau kepada pengerusi jawatankuasa perkhemahan jika menghadapi kesulitan seperti masalah kesihatan dan keselamatan.

  • Tiupkan wisel atau membunyikan sesuatu dengan kuat tanpa berhenti sehingga rakan datang membantu jika berlaku sebarang kecemasan.

  • Peserta tidak dibenarkan berenang selain pada waktu yang telah ditetapkan jika berkhemah berhampiran sungai, pantai atau tasik.

  • Dilarang memiliki apa-apa senjata yang merbahaya seperti senjata api, dadah dan alat yang menyalahi undang-undang.

  • Tidak dibenarkan merosakkan atau memusnahkan tanaman dan tumbuhan yang terdapat di sekitar kawasan perkhemahan.

Panduan keselamatan air terjun, sungai, tasik dan kolam

  • Pengguna dinasihat membaca dan patuh kepada peraturan-peraturan dan syarat-syarat penggunaan di papan tanda sebelum memasuki kawasan perkhemahan

  • Seseorang yang tidak sihat atau berpenyakit adalah dilarang dari memasuki kolam renang.

  • Tiap-tiap perenang mesti patuh kepada penyelamat nyawa (life guard) atau mana-mana pegawai yang bertugas.

  • Semua perenang mesti memakai pakaian renang yang dibenarkan dan sesuai.

  • Perbuatan seperti bergurau secara kasar atau terjun sesuka hati adalah dilarang semasa berada di kawasan air terjun, sungai, tasik atau kolam.

  • Untuk tujuan keselamatan, perenang adalah dinasihat keluar dari kawasan air terjun, sungai, tasik atau kolam semasa hujan dan ribut petir.

  • Adalah dinasihatkan perenang tidak memakai sebarang bentuk perhiasan semasa berenang.

  • Pengguna dilarang meludah di dalam kawasan air terjun, sungai, tasik atau kolam dan lain-lain perkara yang boleh mencemarkan kebersihan kawasan.

  • Pegawai yang bertugas berhak menegah perenang dari berenang dan meminta mereka keluar daripada kawasan air terjun, sungai, tasik atau kolam jika keadaan membahayakan.

  • Setiap perenang adalah berenang di atas risiko mereka sendiri.

  • Pihak pengurusan tidak bertanggungjawab di atas apa-apa kemalangan yang berlaku pada perenang.

Kesimpulan

Perkhemahan boleh menyeronokkan  atau boleh menjadi sebaliknya. Persediaan  awal adalah penting sebelum memulakan perkhemahan. Tahu apa yang anda akan lakukan, dan apa yang perlu dilakukan sekiranya berlaku kecemasan.  Perkhemahan anda akan menjadi lebih seronok dan bermakna jika ianya terancang.

Last Reviewed : 8 Oktober 2014
Writer : Dr. Norizzati Bukhary bte. Ismail Bukhary
Accreditor : Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid

 

Artikel Berkaitan

Merokok Pasif

Pengenalan Lukiskan kartun atau animasi untuk menggambarkan perokok pasif. A

Quit Smoking

Do not smoke. Be healthy for life Smoking increases the

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia