Pendahuluan
Rawatan saluran akar dijalankan untuk menyelamatkan gigi yang telah mengalami kecederaan pulpa supaya gigi tersebut tidak perlu dicabut dan dapat terus berfungsi di dalam mulut.Bagi sesetengah kes, di mana infeksi berulang semula (reinfeksi) atau masih tidak sembuh walaupun rawatan saluran akar telah dijalankan, rawatan semula akar adalah diperlukan.Biasanya prosedur tanpa pembedahan adalah mencukupi untuk menyembuhkan gigi tersebut. Kadang-kadang disebabkan faktor-faktor tertentu, rawatan semula akar dijalankan diikuti dengan pembedahan mikro periapikal. Pembedahan ini juga disarankan bagi kes-kes dimana prosedur tanpa pembedahan rawatan semula akar tidak dapat dilaksanakan disebabkan sebab-sebab tertentu seperti dalam kes korona tiang.
Apakah Itu Pembedahan Mikro Periapikal?
Periapikal adalah merujuk kepada kawasan di sekeliling hujung akar gigi. Pembedahan mikro periapikal dikenali juga dengan nama pembedahan mikro endodontik atau apicoectomy. Ia adalah pembedahan kecil di mana insisi (belahan) dibuat pada bahagian gusi berkaitan gigi yang terlibat bagi mencapai akses ke kawasan yang telah mengalami infeksi. Akses membolehkan tulang, tisu yang mengalami keradangan dan hujung akar gigi terlibat didedahkan. Semua prosedur ini dilaksanakan setelah anastesia (bius) setempat dicapai.Tisu yang mengalami infeksi atau keradangan itu akan dikeluarkan bersama dengan sebahagian dari hujung akar gigi sekiranya perlu. Bahan tampalan kemudian diletakkan di hujung akar gigi untuk mencegah infeksi dari berulang dan gusi kemudiannya disutur (jahit).Tulang sekeliling akar gigi akan sembuh sendiri dalam jangkamasa dua bulan untuk membolehkan ianya berfungsi kembali.
Beberapa X-ray gigi dan tulang sekitar akan diambil sebelum dan selepas pembedahan. Selain itu, prosedur ini biasanya dilakukan di bawah mikroskop khas dan instrumen ultrasonik untuk memudahkan penglihatan dengan lebih jelas dan akses masing-massing. Ini meningkatkan peluang bahawa prosedur ini akan berjaya.
Selepas prosedur dijalankan,sementara insisi sembuh, perasaan tidak selesa dan sedikit kebengkakan akan dialami. Ini adalah proses normal untuk sebarang pembedahan.Untuk mengatasi masalah ini, ubat-ubatan yang sesuai akan diberikan.
Mengapa Pembedahan Mikro Periapikal Diperlukan?
Pembedahan mikro periapikal adalah prosedur yang perlu jika gigi yang telah diberi rawatan saluran akar menunjukkan tanda-tanda dan gejala yang berterusan ataupun infeksi yang berulang.Ianya terindikasi bagi kes-kes patosis periapikal yang berkaitan dengan sista periapikal, akar dengan anatomi yang kompleks, infeksi extra-radikular (luar kawasan akar) dan penyembuhan yang tidak sepenuhnya selepas rawatan semula tanpa pembedahan. Pembedahan mikro ini juga sesuai untuk mengesan akar yang fraktur atau saluran akar yang tidak ditemui dan tidak kelihatan pada x-ray tetapi masih menyebabkan rasa sakit pada gigi terutamanya jika ia mempunyai tiang yang besar dan liputan korona yang memuaskan, Di samping itu, ia mungkin diperlukan untuk mengeluarkan peralatan yang patah dalam saluran akar dan merawat permukaan akar yang rosak atau tulang sekeliling.
Apakah Risiko-Risiko dan Komplikasi Pembedahan Mikro Periapikal
Seperti pembedahan yang lain, pembedahan mikro periapikal juga terdedah kepada risiko dan komplikasi. Prosedur melibatkan gigi posterior (pramolar dan molar) adalah lebih mencabar berbanding dengan gigi anterior.Akar gigi posterior atas biasanya berkait rapat dengan lantai sinus maksila di mana penembusan boleh terjadi semasa prosedur dijalankan. Parestesia atau perasaan kebas yang berpanjangan pada rahang bawah boleh terjadi selepas pembedahan mikro periapikal gigi posterior bawah. Ini adalah disebabkan kedudukan akar gigi yang berhubung rapat dengan foramen mental di mana saraf mandibel melaluinya. Bukanlah mudah untuk mendapatkan tampalan akar yang baik bagi gigi posterior disebabkan anatomi dan kedudukannya.
Prosedur-prosedur Pembedahan Mikro Periapikal
|
||
1. Gusi ditolak selepas insisi dibuat
|
|
2. Tulang dibuang untuk mendedahkan kawasan apikal (hujung akar)
|
|
|
|
|
||
3.Pendedahan hujung akar dan permukaan tepi akar
|
|
4. Tip ultrasonik yang khas digunakan untuk penyediaan hujung akar
|
|
|
|
|
||
5. Penyediaan saluran apikal (hujung akar)
|
|
6. Apikal (hujung akar) ditampal dengan Mineral Trioxide Aggregate
|
Rujukan
- James L. Gutmann & Paul E. Lovdahl. Buku Teks: Problem Solving In Endodontics: Prevention, Identification And Management 5th Edition: 325-355
- B. S. Chong and J. S. Rhodes. Endodontic surgery. Br Dent J 2014 Mar 21; 216 (6): 281-290
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Zaini bt. Aziz |
Akreditor | : | Dr. Chua Meei Jinn |
Penyemak | : | Dr. Roshima bt. Mohd Sharif |