A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Pergigian
  4. /
  5. Rawatan Pergigian
  6. /
  7. Rawatan Fraktur Tulang Pipi

Rawatan Fraktur Tulang Pipi

Rawatan pembedahan tidak diperlukan jika fraktur tulang pipi tersebut stabil, tidak tergerak dan tiada sebarang komplikasi terhadap struktur muka yang bersebelahan. Namun begitu, pembedahan digalakkan jka ada masalah kosmetik atau ia mengganggu kehidupan harian.

Pengenalan

Tulang pipi (zygoma) merupakan unsur penting perwatakan muka kerana ia menentukan bentuk serta kontur wajah seseorang. Ia adalah sebahagian daripada soket mata dan ia melindungi serta menyokong kedudukan bebola mata. Tulang zygoma juga berkaitan dengan rahang atas dan hidung.

   

Penyebab

Fraktur zygoma biasanya disebabkan oleh kecederaan tumpul ke pipi yang berlaku semasa:

  • Kemalangan jalan raya
  • Serangan fizikal yang ganas
  • Jatuh
  • Sukan lasak (contohnya: karate)

Tanda-tanda Klinikal

Tanda dan gejala fraktur tulang pipi adalah seperti berikut:

  1. Sakit di kawasan yang terlibat
  2. Mata merah
  3. Lebam dan bengkak di keliling mata dan pipi
  4. Rasa kebas dibahagian pipi, hidung dan gigi rahang atas
  5. Mata kelihatan ‘tenggelam’
  6. Penglihatan kabur dan berganda
  7. Pergerakan bebola mata yang terhad
  8. Tulang pipi yang leper
  9. Pembukaan mulut terhad

Ujian Perubatan

Apakah ujian-ujian yang diperlukan untuk mengesahkan fraktur tulang pipi? Antaranya adalah seperti berikut

  • X-ray
  • Imbas CT
  • Ujian penglihatan dan pergerakan bebola mata

Rawatan

Rawatan pembedahan tidak diperlukan jika fraktur tulang pipi tersebut stabil, tidak tergerak dan tiada sebarang komplikasi terhadap struktur muka yang bersebelahan. Namun begitu, pembedahan digalakkan jka ada masalah kosmetik atau ia mengganggu kehidupan harian.

Pembedahan pada tulang pipi adalah untuk:

  1. Mengurangkan sakit
  2. Mengembalikan rupa paras muka dengan memperbetulkan posisi tulang pipi yang leper
  3. Mengurangkan kemungkinan rasa kebas yang berkekalan
  4. Meningkatkan pembukaan mulut
  5. Memperbetulkan penglihatan berganda (jika ada)
  6. Memperbaiki pergerakan bebola mata dan penampilan mata

Pembedahan melibatkan perkara-perkara yang berikut:

  • Ia dibuat dibawah bius am (anda tidur).
  • Luka akan dibuat di kawasan gusi yang berdekatan dengan gigi (dalam mulut). Luka-luka lain di bahagian kening, pelipis (tepi kepala) dan kelopak mata bawah juga akan dibuat jika diperlukan.
  • Seterusnya, posisi tulang pipi dibetulkan.
  • Plat dan skru dimasukkan untuk memegang tulang pipi pada kedudukan tersebut jika perlu.

  • Akhirnya, beberapa jahitan dibuat untuk menutup luka.

Risiko dan Komplikasi

Setiap jenis pembedahan membawa risiko dan komplikasi. Masalah-masalah yang mungkin timbul adalah seperti berikut:

  1. Kedudukan tulang pipi tidak dapat diperbetulkan seperti asal. Ini akan menyebabkan masalah kosmetik.
  2. Rasa kebas di pipi yang berkekalan. Namun begitu, kesan sensasi kembali kepada hampir semua pesakit selepas beberapa bulan.
  3. Parut yang disebabkan oleh luka pembedahan. Lama-kelamaan, ia biasanya akan pudar.
  4. Besi dan skru yang terdedah atau dijangkiti kuman perlu dikeluarkan. Hanya peratusan kecil pesakit yang akan mengalaminya.
  5. Gangguan terhadap penglihatan akibat perdarahan di dalam dan di keliling bebola mata.
  6. Kerosakan terhadap gigi-gigi yang berdekatan dengan kawasan fraktur.

Pemulihan selepas Pembedahan

Berikut merupakan perkara-perkara yang mungkin terlibat mengenai pemulihan selepas pembedahan:

  • Cuti rehat sekurang-kurangnya 2 minggu
  • Elakkan aktiviti-aktiviti fizikal yang lasak selama 2 hingga 3 bulan
  • Mengambil makanan lembut sekurang-kurangnya untuk 2 minggu
  • Tidak menghembus hidung selama 2 hingga 3 minggu
  • Mempunyai kebersihan mulut yang baik
  • Menghabiskan ubat-ubatan yang diberi
  • Menghadiri temujanji susulan secara berkala di Klinik Bedah Mulut selepas pulang dari hospital

Rujukan

  1. Ramli R, Abdul Rahman R, Holmes S. Atlas of Craniomaxillofacial Trauma. Imperial College Press (2011)
  2. www.aocmf.org
  3. www.baoms.org.uk
Semakan Akhir : 3 Jun 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Dharmindra Rajah a/l Gunarajah
Akreditor : Dr. Kok Tuck Choon

Artikel Berkaitan

Pemeriksaan Pergigian Berkala

Anda mungkin biasa mendengar saranan atau nasihat berbunyi ‘Periksa Gigi Setiap 6 bulan sekali’ sejak zaman persekolahan lagi. Bagaimanapun sesetengah orang mungkin tidak perlu pergi terlalu kerap atau sebahagian yang lain perlu mendapatkan pemeriksaan dengan lebih kerap.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia