Abses periodontium/gusi terjadi hasil daripada bakteria yang berkembang biak dalam poket periodontium/gusi.
Poket periodontlum terjadi dengan adanya penyakit periodontium, di mana tisu gusi dijangkiti bakteria dan menjadi renggang dari permukaan gigi. Ini menyebabkan sulkus gusi (ruang antara gigi dan gusi) menjadi lebih dalam iaitu melebihi tiga milimeter. Sulkus gusi yang dalam ini dipanggil poket periodontium.
Apakah yang menyebabkan keadaan ini berlaku?
Abses periodontium terjadi apabila bakteria plak, karang gigi atau makanan terperangkap di dalam poket gusi yang dalam. Sistem pertahanan badan tidak dapat melawan jangkitan bakteria tersebut. Pembengkakan besar terjadi pada gusi akibat daripada pertumbuhan bakteria yang tidak terkawal dan juga produk bakteria yang dihasilkan. Hasilnya, apa yang berlaku adalah kemusnahan tisu penyokong dan tulang alveolar yang mengelilingi gigi.
Abses periodontium banyak terjadi dalam kes-kes penyakit periodontium pada tahap lanjut .Pada keadaan ini berlaku kehilangan tulang akibat daripada jangkitan bakteria yang seterusnya membentuk kedalaman poket melebihi lima milimeter yang akan mewujudkan persekitaran yang sesuai untuk pembentukan nanah .
Apakah gejala-gejala yang boleh berlaku?
Gejala yang paling biasa adalah bengkak pada gusi. Bengkak gusi boleh berbeza dari segi saiz, dan mungkin timbul agak cepat. Bengkak gusi biasanya berwarna merah gelap , permukaannya berkilat dan mempunyai ‘mata’ putih. Bengkak ini akan menjadi lembut pada sentuhan (fluktuan). Kadang-kadang ia diiringi rasa sakit yang mungkin menjadi lebih teruk.
Gejala-gejala lain yang boleh berlaku termasuk :
- Nafas berbau.
- Pendarahan dari kawasan setempat
- Gigi yang terjejas boleh menjadi lebih longgar yang menyebabkan ruang antara gigi bertambah besar
Tanda-tanda klinikal
- Kehadiran penyakit periodontium umum dengan poket dan kehilangan tulang.
- Gigi biasanya masih vital / hidup
- Gigi goyang
- Tisu gusi berwarna merah , lembut dan membengkak.
- Rasa tidak selesa sehingga sakit yang kuat
- Nanah keluar melalui poket periodontium atau pembukaan sinus
Punca-punca penyakit periodontal (yang boleh membawa kepada abses) termasuk:
- Kebersihan mulut yang tidak memuaskan
- Menghisap rokok
- Penyakit sistemik seperti penyakit diabetis yang tidak terkawal
Orang yang mempunyai sistem imun yang lemah akibat dari penyakit seperti diabetes mellitus atau akibat dari kesan sampingan rawatan seperti ubat steroid (kortikosteroid) atau kemoterapi akan menghadapi risiko yang lebih tinggi untuk abses.
Terdapat tiga jenis abses yang berkaitan dengan tisu periodontium :
- Abses gingiva
- Abses periodontal
- Abses Pericoronal
Abses gingiva
Infeksi bernanah yang hanya melibatkan tisu gusi lembut setempat berhampiran gingiva pinggir atau papilla gingiva yang terletak di antara gigi .
Abses periodontal
Infeksi bernanah yang melibatkan satu kawasan yang lebih besar tisu penyokong gigi , yang mengakibatkan kepada kemusnahan ligamen periodontal dan tulang alveolar.
Abses Pericoronal
Infeksi bernanah wujud dalam tisu gusi yang mengelilingi korona gigi yang tumbuh sebahagian atau sepenuhnya . Ini juga dirujuk sebagai pericoronitis dan banyak terjadi pada gigi geraham bongsu.
Rawatan Abses periodontium
Jika anda mempunyai mana-mana gejala di atas, terutamanya jika bengkak merebak dengan cepat (selulitis), dapatkan segera nasihat segera daripada doktor gigi anda. Rawatan akan berbeza bergantung kepada berapa serius keadaan abses periodontium itu .
Berikut adalah langkah-langkah umum yang diambil:
- Penyaluran keluar nanah melalui poket gusi atau pun insisi pada permukaan gusi yang bengkak
- Antibiotik mungkin diperlukan jika ia melibatkan keadaan sistemik pesakit
- Penskaleran untuk membantu penyembuhan gusi
- Pembedahan periodontal mungkin diperlukan dalam keadaan tertentu
- Rawatan kanal akar mungkin diperlukan dalam kes perio – endo. Cabutan gigi yang terlibat akan dilakukan jika ianya adalah satu-satunya pilihan untuk merawat abses ini.
Adalah lebih baik untuk mendapatkan rawatan awal, bukan sahaja atas sebab-sebab kesihatan, tetapi juga untuk prognosis yang lebih baik. Abses periodontium dengan cepat boleh memusnahkan tisu gusi yang menyokong gigi. Jika dibiarkan merebak , maka gigi tersebut mungkin tidak boleh diselamatkan.
Semakan Akhir | : | 25 April 2014 |
Penulis | : | Dr. Noordin b. Kasan |
Akreditor | : | Dr. Uma Subramaniam |