A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Umum
  4. /
  5. Optometri
  6. /
  7. Rabun Jauh

Rabun Jauh

Pengenalan

Rabun jauh merupakan sebahagian masalah kesihatan awam bagi seluruh masyarakat dunia sejak berdekad lalu. Sebagaimana di negara Asia seperti Singapura dan Taiwan didapati rabun jauh melibatkan 85% dan 90% daripada kalangan orang muda.

Manakala dalam kajian yang dijalankan terhadap murid sekolah di Malaysia, didapati prevalen rabun jauh bagi bangsa Cina adalah 42% dan Melayu 15%.

Rabun jauh adalah keadaan di mana cahaya yang masuk ke dalam mata terfokus di hadapan retina yang menyebabkan objek pada jarak jauh kelihatan kabur. Rabun jauh terjadi disebabkan bola mata yang terlalu panjang dan kuasa refraktif mata yang tinggi.

Rabun Jauh

Rajah 1 : Mata normal dan rabun jauh

Gejala / Tanda

Berikut adalah gejala atau tanda yang selalu dialami oleh individu yang mengalami rabun jauh ;

Rajah 2 : Bunga di hadapan kelihatan jelas sementara bunga-bunga di belakang kelihatan kabur

  1. Dapat melihat dengan jelas objek pada jarak dekat tetapi kabur bagi objek pada jarak yang lebih jauh
  2. Menonton TV pada jarak yang terlalu dekat

  3. Menggosok mata kerana objek yang dilihat tidak jelas

  4. Mata kerap berair

  5. Mengecilkan mata bagi melihat objek jarak jauh

  6. Membaca buku pada jarak yang sangat dekat (kurang dari 30 cm)

  7. Kerap sakit kepala.

Komplikasi

Rabun jauh yang tidak dirawat akan menyebabkan ;

  1. Kanak-kanak akan menghidapi ambliopia / mata malas

  2. Pelajar sekolah akan mengalami kemerosotan pelajaran akibat tidak dapat melihat dengan jelas tulisan guru di papan hitam di dalam bilik darjah

  3. Individu tersebut mempunyai keyakinan diri yang rendah

  4. Keselamatan diri dan juga orang di sekelilingnya terjejas. Ini boleh menjadi serius terutama jika anda memandu kereta atau mengendalikan jentera berat.

  5. Mata cepat penat di mana anda akan mengecilkan mata untuk melihat objek pada jarak yang jauh seterusnya menyebabkan sakit kepala.

  6. Kualiti hidup terjejas di mana anda mungkin tidak dapat melaksanakan tugas dengan selesa.

Rawatan

Masalah rabun jauh boleh dirawat dengan ;

1.  Pemakaian cermin mata

2.  Pemakaian kanta lekap

Kanta lekap yang dipilih perlu mengikut kesesuaian mata pesakit dan sesetengahnya mampu memberikan anda penglihatan yang lebih jelas berbanding cermin mata

3.  Rawatan Orthokeratology

Rawatan di mana kanta lekap khas dipakai pada waktu malam bagi mengurangkan rabun jauh dengan mengubah bentuk kornea untuk tempoh masa yang tertentu. Apabila rawatan telah selesai, kanta lekap khas hanya dipakai pada waktu malam sementara pada siang hari anda boleh melihat jelas tanpa memakai cermin mata atau kanta lekap.

4. Pembedahan refraktif

Pembedahan dilakukan oleh Pakar Oftalmologi di mana permukaan kornea diubah bentuknya bagi mengatasi masalah rabun jauh.

Pencegahan

Individu yang mempunyai rabun jauh perlu menjalani pemeriksaan mata yang rapi oleh pegawai optometri atau pakar Oftalmologi bagi menentukan tahap rabun, kuasa pembetulan retraksi dan rawatan yang diperlukan.

Ibu bapa harus membawa anak mereka menjalani pemeriksaan sekurang-kurangnya sekali sebelum memasuki alam persekolahan iaitu pada usia 5 atau 6 tahun bagi mengelakkan keciciran dalam mengesan masalah rabun di kalangan kanak-kanak.

Bagi penghidap rabun jauh yang sediada memakai cermin mata, pemeriksaan mata termasuk tahap penglihatan perlu dilakukan secara berkala sekurang-kurangnya setahun sekali.

Tabiat Baik

yes

Tabiat Buruk

no

Pencahayaan semasa membaca Membaca dalam bilik yang cukup pencahayaannya Membaca dalam bilik yang gelap / terlalu terang
Tempoh membaca Membaca selama 20 minit dan rehat seketika (20 saat) dengan memandang objek jarak jauh (20 kaki) Membaca secara berterusan untuk tempoh yang panjang, contohnya 2 jam
Menonton TV Duduk pada jarak 3 meter dari TV Menonton TV pada jarak yang lebih dekat (kurang daripada 2 meter)
Postur semasa membaca Duduk di atas kerusi dan meletakkan buku di atas meja Membaca sambil berbaring atau duduk di atas kerusi sambil meletakkan kepala di atas meja
Penggunaan Komputer Jarak 50 cm dari skrin komputer Menggunakan komputer pada jarak yang terlalu dekat

Rujukan :

  1. Lin LL, Chen CJ, Hung PT, Ko LS. Nation-wide survey of myopia among schoolchildren in Taiwan, 1986. Acta Ophthalmol Suppl.1988;185:29–33.
  2. Wu HM, Seet B, Yap EP, et al. Does education explain ethnic differences in myopia prevalence? A population-based study of young adult males in Singapore. Optom Vis Sci. 2001;78:234–239.
  3. Chung KM, Mohidin N, Yeow PT, et al. Prevalence of visual disorder in Chinese schoolchildren. Optom Vis Sci 1996; 73:695-700.
  4. Garner LF, Mohidin N, Chung KM, et al. Sains Malaysiana 1987; 16:339-346 (in Malay).
  5. The American Heritage® Science Dictionary
  6. Copyright © 2002. Published by Houghton Mifflin
  7. Vitale S, Ellwein L, Cotch MF, et al. Prevalence of refractive error in the United States, 1999–2004. Arch Ophthalmol. 2008;126:1111–1119.
  8. http://www.mayoclinic.com/health/nearsightedness/DS00528/DSECTION=complications
  9. http://www.contactlenses.org/orthok.htm
  10. http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Emmetropia.png
  11. http://commons.wikimedia.org/wiki/File:Myopia.png

Semakan akhir : 18 April 2014
Penulis : Pn. Haniza binti Suboh

 

Artikel Berkaitan

Apa Itu Kromosom?

Pendahuluan Kromosom adalah makromolekul yang terdiri daripada molekul DNA yang

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia