ā€“A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Ubat & Anda
  4. /
  5. Kosmetik
  6. /
  7. Adakah krim pelangsingan produk...

Adakah krim pelangsingan produk kosmetik?

Kesan pelangsingan adalah sinonim dengan proses mengurangkan berat badan melalui amalan diet yang betul dan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti bersenam. Kesan pelangsingan tersebut tidak dapat dibuktikan sebagai dapat dicapai dengan hanya memakai produk yang disapu secara luaran.

Memiliki bentuk badan yang ideal adalah merupakan impian ramai wanita dan juga lelaki yang mementingkan penampilan diri. Seperti yang kita sedia maklum, amalan pemakanan sihat dan senaman yang kerap adalah petua untuk memperoleh tubuh badan yang bukan saja menawan malahan juga sihat dan cergas. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh faktor-faktor seperti gaya hidup yang sibuk dan kurangnya disiplin dalam penjagaan tubuh badan, ramai di antara kita cenderung untuk mencari jalan yang dianggap lebih mudah seperti menggunakan ā€™krim pelangsinganā€™ bagi mendapatkan bentuk badan yang diidamkan.

Pengaruh iklan ā€™krim pelangsinganā€™ yang seringkali dipaparkan samada di media cetak atau elektronik seperti majalah, surat khabar, televisyen serta internet tidak dapat dinafikan telah mendorong orang ramai untuk mencuba produk sedemikian. Tambahan pula, iklan ā€™krim pelangsinganā€™ turut diselitkan dengan testimoni daripada individu tertentu yang dikatakan telah mendapat kesan yang diingini.

Apakah yang anda perlu tahu mengenai ‘krim pelangsingan’?

Kesan pelangsingan adalah sinonim dengan proses mengurangkan berat badan melalui amalan diet yang betul dan aktiviti fizikal yang mencukupi seperti bersenam. Kesan pelangsingan tersebut tidak dapat dibuktikan sebagai dapat dicapai dengan hanya memakai produk yang disapu secara luaran.

Namun begitu, ā€™krim pelangsinganā€™ didapati sering dipromosikan atau diiklankan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sebagai dapat memberikan kesan pelangsingan yang tidak berasas termasuk tuntutan untuk membuang air berlebihan dalam badan, meningkatkan kadar metabolisma, membakar lemak, merampingkan atau mengempiskan perut, peha, lengan, dan sebagainya. Selain itu, terdapat juga iklan pelangsingan yang mengelirukan pengguna iaitu dengan menggambarkan kesan pelangsingan tanpa memerlukan diet dan senaman serta pengurangan ukur lilit badan dalam tempoh yang tertentu.

Walaupun kerap disalahertikan sebagai produk kosmetik, tuntutan terhadap krim atau sebarang bentuk sediaan untuk disapu atau digunakan secara luaran bagi tujuan pelangsingan adalah sama sekali tidak dibenarkan sebagai produk kosmetik. Produk pelangsingan yang digunakan pada bahagian luaran tubuh badan manusia tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik kerana tuntutan sebegitu adalah di luar skop takrifan kosmetik.

Apakah peranan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) dalam mengekang pemasaran ‘krim pelangsingan’?

Berdasarkan Program Pengawasan Mutu Produk Kosmetik Bernotifikasi NPRA mendapati bahawa terdapat aktiviti pemasaran dan promosi produk kosmetik bernotifikasi pelangsingan yang tidak sah dan telah mengambil beberapa langkah untuk memberhentikan aktiviti tersebut serta turut melaksanakan langkah pencegahan untuk mengelakkan pengguna daripada terus terpedaya dengan produk-produk berkenaan. Berikut adalah beberapa langkah yang telah diambil oleh NPRA.

  1. Menyekat permohonan notifikasi serta membatalkan status notifikasi bagi produk yang dikesan mengandungi nama, tuntutan atau kegunaan untuk melangsingkan badan.
  2. Mengeluarkan satu bentuk arahan atau direktif pada tahun 2011 yang menyatakan bahawa sebarang produk dengan nama, tuntutan dan kegunaan untuk melangsingkan badan adalah tidak dikelaskan sebagai produk kosmetik. Oleh itu, produk tersebut tidak dibenarkan untuk bernotifikasi dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Direktif ini dipaparkan pada laman sesawang rasmi NPRA, www.npra.gov.my.
  3. Menjalankan aktiviti penyampelan ke atas produk yang disyaki digunakan untuk tujuan pelangsingan. Iklan-iklan yang memasarkan produk-produk ini turut dipantau dari semasa ke semasa. Produk-produk yang didapati membuat tuntutan yang bercanggah dengan peraturan yang ditetapkan akan dibatalkan status notifikasinya dan turut dikenakan tindakan punitif yang sewajarnya.

Walaupun pihak berwajib menjalankan usaha secara berterusan untuk mengekang pemasaran produk pelangsingan, masih ada segelintir pihak yang masihmembuat pengisytiharan palsu semasa membuat permohononan notifikasi sesuatu produk. Oleh yang demikian, pengguna disarankan untuk turut memainkan peranan mereka agar sentiasa mencari maklumat yang betul sebelum membeli sesuatu produk kosmetik. Pengguna dinasihatkan agar menggunakan kuasa mereka untuk tidak membeli atau menggunakan produk yang meragukan serta tidak membiarkan diri tertipu dengan iklan-iklan dan sebarang bentuk promosi yang mengandungi tuntutan yang tidak berasas. Di samping itu juga, pengguna diminta untuk memberikan kerjasama dengan cara melaporkan kepada pihak NPRA berkenaan sebarang produk pelangsingan yang digunakan secara luaran yang masih dapat diperolehi di pasaran dan ini termasuk produk yang dapat dipesan melalui kaedah ā€™onlineā€™. Laporan atau aduan boleh dibuat menggunakan Borang Aduan Kosmetik Bernotifikasi melalui pautan https://npra.gov.my/images/public/BORANG_ADUAN_KOSMETIK.pdfĀ  dan emailkan borang yang telah dilengkapkan kepada kosmetik@npra.gov.my untuk diambil tindakan selanjutnya.

Semakan Akhir : 22 Ogos 2019
Penulis : Jasmine Lee Yee Chen
Akreditor : Zuraida bt. Abdullah
Penyemak : Wan Mohaina bt. Wan Mohammad
  : Hanum Maisarah bt. Abdul Rahman

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :Ā Ā  +603 8000 8000

FAKS :Ā Ā  +603 8888 6200

EMEL : Ā  myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK Ā  Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara Ā©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia