A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Keradangan Mulut : Penggunaan Gigi Palsu

Denture related stomatitis adalah suatu penyakit keradangan mulut yang seringkali berlaku dikalangan pesakit yang menggunakan gigi palsu.

Keradangan Mulut Berkaitan Dengan Penggunaan Gigi Palsu

Apa itu denture related stomatitis?

Denture related stomatitis (DRS) adalah suatu penyakit keradangan mulut yang seringkali berlaku dikalangan pesakit yang menggunakan gigi palsu. Keadaan ini dilihat kebanyakannya di kalangan warga tua. Tanda dalam mulut yang biasa dilihat ialah keradangan dan kemerahan kawasan yang dilitupi  oleh gigi palsu itu. Pada kebanyakan masa, kesakitan / ketidakselesaan biasanya tidak dirasai pesakit pada peringkat permulaan keadaan ini.

Bagaimanakah ia berlaku?

Terdapat beberapa faktor yang meningkatkan risiko untuk DRS berlaku:

  • kebersihan mulut dan gigi palsu yang tidak memuaskan
  • penggunaan gigi palsu yang berterusan termasuk waktu tidur
  • gigi palsu yang sudah longgar atau tidak selesa
  • penyakit-penyakit sistemik seperti kencing manis

Semua faktor-faktor yang disebutkan di atas meningkatkan kadar pertumbuhan mikroorganisma seperti Candida albicans di permukaan gigi palsu dan juga permukaan mulut yang dilitupi gigi palsu tersebut. Gigi palsu yang tidak sepadan/atau longgar juga menyebabkan kecederaan kawasan mulut yang dilitupinya. Walau bagaimanapun, DRS tidak disebabkan secara langsung oleh alahan kepada bahan gigi palsu. Walaupun kebanyakan kes DRS berkaitan dengan kulat Candida albicans, terdapat juga kes yang disebabkan oleh bakteria. Oleh itu, bolehlah dikatakan bahawa penyebab/punca DRS adalah multifaktorial.

DRS boleh diklasifikasikan berdasarkan kepada tahap keterukan keadaan tersebut. Berikut adalah sistem klasifikasi Newton, yang biasa digunakan untuk DRS:

Jenis I – bintik- bintik kemerahan atau keradangan setempat
Jenis II  Tompok besar kemerahan tetapi terhad kepada mukosa yang diliputi oleh gigi palsu
Jenis III – keradangan lelangit jenis berbintil kadangkala bersama-sama pertumbuhan tisu berlebihan


DRS Jenis III dengan lelangit yang mempunyai ketumbuhan berbintik

Jenis I dianggap sebagai peringkat awal DRS manakala Jenis III jarang berlaku.

Diagnosis

Satu pemeriksaan yang teliti mulut dan gigi palsu biasanya mencukupi untuk mencapai diagnosis DRS. Hasil pemeriksaan klinikal yang biasa dijumpai seperti kemerahan dan keradangan yang terhad pada kawasan mukosa yang dilitupi oleh gigi palsu adalah biasanya mencukupi untuk mencapai diagnosis DRS. Kadangkala , calitan daripada mukosa dilakukan dan pemeriksaan khas dilakukan untuk mengesan kehadiran mikroorganisma kulat.

Bagaimanakah ia dirawat?

Rawatan DRS boleh dibahagikan kepada cara-cara berikut dan biasanya melibatkan pendekatan gabungan:

  1. Kebersihan mulut

    Kebersihan mulut mesti dijaga dan mulut perlu dibersihkan setiap kali selepas makan.
     

  2. Kebersihan gigi palsu & pelarasan gigi palsu sedia ada

    Gigi palsu sedia ada perlu dibersihkan untuk mengurangkan/membasmi komponen mikroorganisma pada gigi palsu. Selain itu, pelarasan ke atas gigi palsu perlu dilakukan untuk mengurangkan kecederaan kepada tisu mulut yang menyokong gigi palsu tersebut.Gigi palsu juga harus tidak dipakai selama mungkin dan penggunaan semalaman (semasa tidur) harus dihentikan sama sekali. Seringkali, DRS peringkat awal boleh sembuh sepenuhnya jika gigi palsu tidak dipakai pada waktu malam selama kira-kira 2 – 3 minggu diikuti penjagaan gigi palsu dan mulut yang optimum. Maklumat lanjut mengenai penjagaan gigi palsu serta pencegahan DRS.
     

  3. Ubatan

    Jika langkah-langkah konservatif seperti di atas tidak berkesan ,penggunaan ubatan mungkin dipertimbangkan. Ubat yang paling biasa diberikan adalah salap/cecair antikulat digunakan bersama ubat kumur antibakteria/antimikrob. Rawatan antimikrob ini boleh menghapuskan / mengurangkan jangkitan mikroorganisma setempat dan memberi penyembuhan.Walau bagaimanapun, tanpa penjagaan kebersihan mulut serta gigi palsu  yang betul, DRS akan berulang lagi apabila ubat dihentikan/habis.
     

  4. Pembedahan

    Bagi kes-kes tertentu , terutamanya DRS Jenis III, pembedahan kecil mungkin diperlukan untuk mengeluarkan tisu yang berlebihan bagi memudahkan pembuatan gigi palsu yang baru. Selain itu, biopsi mungkin dilakukan keatas tisu lelangit DRS Jenis III kerana terdapat  penyakit-penyakit lain yang menyerupai DRS Jenis III.
     

  5. Pembuatan gigi palsu baru yang lebih selesa

    Selepas mulut telah pulih secukupnya dan pesakit telah menunjukkan kebolehan untuk menjaga kebersihan mulut serta gigi palsu dengan lebih baik, pembuatan gigi palsu baru yang  lebih sepadan biasanya akan dimulakan.

Apakah komplikasi yang mungkin terjadi ?

Jika tidak dirawat, DRS boleh menyebabkan kesakitan / ketidakselesaan di dalam mulut dan boleh menyebabkan gigi palsu yang baru tidak muat dengan baik.

Rujukan

  1. Newton AV. Denture sore mouth as possible etiology. Brit Dental J. 1962;112:357-60.
  2. Wilson J. The aetiology, diagnosis and management of denture stomatitis. Br Dent J. Oct 24 1998;185(8):380-4
  3. Naik AV, Pai RC. A study of factors contributing to denture stomatitis in a north Indian community. Int J Dent. 2011
  4. Scully, Crispian (2008). Oral and maxillofacial medicine : the basis of diagnosis and treatment (2nd ed. ed.). Edinburgh: Churchill Livingstone. pp. 201–203.

 

Semakan Akhir : 24 Januari 2014
Penulis / Penterjemah : Dr. Hans Prakash a/l Sathasivam
Akreditor : Dr. Abdul Rahim bin Ahmad

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia