A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Marilah Baca Bersama Anak

Guna peluang sebaik mungkin untuk membaca buku cerita bersama dengan anak. Jadikannya suatu aktiviti yang menarik dan menghiburkan. Berseronoklah dengan anak anda.

Pada masa kini, kebanyakan ibu bapa adalah berkerjaya. Maka peluang untuk bersama dengan anak-anak adalah terbatas. Ini mengurangkan komunikasi antara ibu bapa dengan anak.

Faedah Membaca Buku Bersama Anak

  • Dapat meluangkan masa untuk berinteraksi dengan anak.

  • Minda anak dapat berkembang.

  • Menghubungkan dunia kanak-kanak dengan dunia realiti dan dunia baru.

  • Dapat memahami fakta mengenai kehidupan dan orang di sekeliling.

  • Dapat belajar perkataan baru, bentuk perkataan, cerita, rima serta lagu.

  • Gambar-gambar atau/dan perkataan-perkataan di dalam buku boleh dilihat atau/dan dibaca berulang kali.

  • Aktiviti yang penting dan menyeronokkan dalam kehidupan kanak-kanak.

  • Asas kepada kemahiran membaca dan menulis.

Jenis Buku Mengikut Tahap Perkembangan Komunikasi Kanak-Kanak

Mengikut pendekatan Hanen (2004), adalah penting untuk ibu bapa mengenalpasti tahap komunikasi (kefahaman dan penghasilan bahasa) anak, sama ada pada tahap discoverers (penemuan), communicators (berhubung), first word users (pengguna satu perkataan) ataupun combiners (gabungan perkataan).

Tahap Komunikasi

Penerangan Contoh Buku-buku

Discoverers

(Penemuan)

Anak tidak memahami gambar atau perkataan yang terdapat di dalam buku
  • Buku kad keras atau plastik, iaitu seakan-akan seperti permainan.
  • Buku bergambar seperti orang, objek dan aksi yang terang dan berwarna-warni
  • Buku yang mempunyai rima, ritma, pengulangan atau ayat-ayat mudah
  • Buku interaktif iaitu buku yang ada bunyi apabila ditekan atau tekstur yang berbeza apabila disentuh

Communicators

(Berhubung)

Anak sudah mula memahami beberapa perkataan dan dapat mengecam beberapa gambar.   Anak sudah mempunyai buku kegemaran sendiri dan mereka mahu buku itu dibaca berulang kali.
  • Buku dengan helaian keras.
  • Buku yang mempunyai rima, ritma dan pengulangan seperti “mana kucing, mana kucing, di dapur di dapur…..”
  • Buku bergambar dengan warna yang terang dan realistik
  • Buku interaktif yang dapat disentuh, mengeluarkan bunyi dan gambar bergerak
  • Buku lagu atau pantun (nursery rhymes)
  • Buku buatan sendiri (scrapt book)
  • Buku bergambar tanpa perkataan
First Word Users (Pengguna satu perkataan) Anak sudah boleh mengikuti cerita-cerita mudah dan suka mendengar cerita yang dibaca oleh ibu bapa secara berulang kali.
  • Buku yang kukuh dengan gambar atau foto yang berwarna-warni dan mudah
  • Buku yang mempunyai rima, ritma dan pengulangan yang menyeronokkan
  • Buku interaktif
  • Buku yang mempunyai tema
  • Buku dengan jalan cerita yang pendek dan mudah
  • Buku buatan sendiri (contoh: album keluarga)
Combiners (Gabungan perkataan) Anak sudah memahami banyak perkataan dan idea.   Anak sudah memahami dan mengetahui jalan cerita yang lebih kompleks; serta dapat bercerita mengenai watak dan peristiwa.   Anak mula mengambil peranan ketika membaca buku. Anak juga dapat duduk dan berinteraksi dengan ibu bapa untuk tempoh masa yang lama.
  • Buku dengan jalan cerita yang dapat dijangka
  • Buku dengan pengulangan perkataan atau frasa
  • Buku yang mempunyai watak dengan jalan cerita yang mudah
  • Buku interaktif
  • Buku yang mempunyai tema
  • Buku yang dapat memperkenalkan idea baru (contoh: buku dinosaurs)
  • Buku berdasarkan pengalaman anak (contoh: melawat ke zoo negara)
  • Buku imaginasi (contoh: buku dongeng)

 

Tips-Tips Membaca Bersama Anak

  • Tips pertama: Berikan peluang untuk anak mengambil giliran. Lakukan aktiviti membaca bersama-sama secara bergilir-gilir. Biar anak memilih buku yang ingin dibaca agar anak berasa lebih seronok.

  • Tips kedua: Tukarkan perkataan yang sesuai. Ibu bapa bebas untuk bercerita dengan menggunakan atau menukar perkataan yang lebih mudah. Ini dapat membantu anak memahami dan mengulangi perkataan tersebut.

  • Tips ketiga: Menggunakan strategi 4S – Say Less, Stress, Go Slow dan Show

    1. Kurangkan bercakap (say less). Guna perkataan yang biasa didengar oleh anak. Guna ayat-ayat pendek untuk bantu anak faham dan belajar perkataan

    2. Tekan perkataan (stress) yang penting serta tambah efek suara agar anak dapat merasa keseronokannya, seperti suara haiwan atau kenderaan. Guna pelbagai intonasi suara dan ekspresi wajah untuk bantu cerita yang disampaikan lebih menarik.

    3. Baca dengan kadar pertuturan yang perlahan (go slow) agar anak dapat faham perkataan yang didengar. Beri masa kepada anak untuk ambil giliran.

    4. Tunjuk (show) perkataan yang dibaca semasa bercerita. Tunjuk juga aksi dan gaya yang sesuai. Guna alat permainan atau objek untuk menghidupkan lagi cerita yang dibaca.

  • Tips keempat: Ulang, Ulang, Ulang Perkataan. Kanak-kanak suka dengar cerita yang sama berulang kali. Beri peluang kepada anak yang berada pada tahap penggunaan satu atau gabungan perkataan, untuk bercerita semula. Ini menggalakkan anak untuk ulang semula perkataan yang pernah dibaca. Lebih banyak peluang yang anak dengar berulang kali, lebih banyak peluang untuk anak menggunakan perkataan yang sama. Maka, perbendaharaan kata anak juga akan bertambah.

Cadangan Aktiviti Yang Dapat Menggalakkan Pertuturan Melalui Bacaan

  • Menerusi pendekatan Hanen (2004), terdapat tiga jenis buku buatan sendiri yang dapat dilakukan iaitu:

    Buku bergambar yang digemari oleh anak, iaitu lekatkan gambar seperti haiwan, permainan atau aktiviti yang digemari oleh anak. Berikan nama kepada buku yang dibuat itu di atas kulit buku
    Buku interaktif iaitu bentuk kertas menjadi buku flap atau buku yang dapat disentuh dan dirasa dengan pelbagai tekstur. Ini membolehkan kanak-kanak sentuh dan rasa gambar tersebut.
    Buku bergambar mengenai hari atau peristiwa yang istimewa. Ibu bapa ambil gambar ketika kanak-kanak membuat lawatan ke zoo atau percutian bersama keluarga. Lekat gambar tersebut di dalam album gambar.
  • Gunakan gambar aksi yang lebih realistik. Ini dapat memberi peluang kepada anak untuk belajar bahasa dan tambah kosa kata.

  • Ambil pelbagai gambar dan berturutan agar anak boleh belajar aksi dan emosi berdasarkan kepada sesuatu peristiwa yang berlaku.

  • Label gambar agar input bahasa lebih konsisten dan menyamai tahap keupayaan bahasa anak. Ulang perkataan untuk bantu anak agar dapat menjangka sesuatu perkataan yang digunakan.

Oleh itu, guna peluang sebaik mungkin untuk membaca buku cerita bersama dengan anak. Jadikannya suatu aktiviti yang menarik dan menghiburkan. Berseronoklah dengan anak anda. Selamat mencuba.

Rujukan

  1. Pepper, J. & Weitzman, E. (2004). It Takes Two to Talk®: A Practical Guide for Parents of Children with Language Delays.2nd ed. Toronto: The Hanen Centre.

  2. Repplinger, L. Literacy Activities for Infants and Toddlers [PDF Document]. Retrieved from  Lecture Notes Online Website:  http://www.infanthearing.org/meeting/ehdi2010/ehdi_2010_presentations  

Semakan Akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Nurshahira bt. Razali
Akreditor : Nur Fariha bt. Md. Shah
Penyemak : Nadwah bt. Onwi

Artikel Berkaitan

Penderaan Fizikal

Berlaku apabila kanak-kanak mendapat kecederaan fizikal dari perlakuan (atau pengabaian) ibu bapa, penjaga atau mereka yang bertanggungjawab

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia