A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Bayi & Kanak-Kanak
  4. /
  5. Bayi Umum
  6. /
  7. Adaptasi dan Modifikasi Bilik...

Adaptasi dan Modifikasi Bilik Darjah dan Persekitaran

Memahami pertuturan dalam persekitaran yang bising adalah sukar bagi seseorang pelajar, tetapi bagi pelajar yang mempunyai masalah pendengaran proses ini adalah lebih sukar dan mencabar. Seseorang pelajar memerlukan akses kepada pertuturan bagi perkembangan kemahiran mendengar, bahasa dan pembelajaran mereka.

Faktor-faktor seperti kebisingan persekitaran, jarak antara penutur dan pendengar, reverberasi atau gema adalah antara halangan yang boleh mengurangkan keberkesanan pelajar menerima informasi pertuturan dan bahasa yang penting terutama dalam konteks bilik darjah. Oleh itu, bagi menyediakan persekitaran bilik darjah yang optimum dan efektif kepada pelajar berkeperluan khas ini, kita terlebih dahulu perlu memahami faktor-faktor seperti kebisingan, jarak dan reverberasi dan kesannya terhadap penerimaan bunyi kepada pelajar. Ini kerana, walaupun dewasa kini terdapat pelbagai alat bantu pendengaran (ABP) dan alatan amplifikasi yang moden dan canggih di pasaran yang dapat meningkatkan kualiti, audibiliti dan kejelasan signal pertuturan, alat-alat ini juga mempunyai limitasi untuk menghalang kesemua halangan-halangan ini dalam proses pemahaman pertuturan.

Kebisingan

Kebisingan persekitaran merupakan faktor yang terlibat dalam hampir majoriti persekitaran mendengar termasuk bilik darjah. Bagi pelajar berkeperluan khas yang memakai alatan amplifikasi seperti alat bantu pendengaran (ABP), ABP bukan sahaja memberikan amplifikasi kepada suara penutur malah bunyi-bunyi di persekitaran. Perbandingan antara bunyi pertuturan dan tahap kebisingan merujuk kepada ‘signal to noise ratio (SNR)’. SNR mewakili perbezaan kekuatan antara signal utama (contohnya: suara guru) dan kebisingan persekitaran.

SNR = Signal Utama : Kebisingan Persekitaran

Semua kanak-kanak memerlukan persekitaran yang lebih senyap berbanding orang dewasa untuk mendengar dan memahami pertuturan. Kanak-kanak bermasalah pendengaran memerlukan SNR yang lebih tinggi berbanding kanak-kanak normal (Crandell et al.,2005).

Piawaian yang telah ditetapkan oleh American Speech-Language- Hearing Association (ASHA) bagi tahap kebisingan persekitaran adalah tidak melebihi 30 dBA manakala SNR + 15 dB. American National Standards Institute (ANSI) pula menetapkan tahap persekitaran adalah tidak melebihi 35dBA dan SNR  + 15dB . Semakin jauh jarak antara penutur dan pendengar, semakin perlahan kekuatan bunyi yang sampai. Ini menyukarkan pendengar kerana kekuatan kebisingan tetap sama.

Kajian menunjukkan pelajar perlu berada dalam jarak 1 hingga 2 meter daripada penutur untuk pemahaman pertuturan yang maksimum.

Reverberasi

Reverberasi atau gema merupakan antara halangan dalam memahami pertuturan. Reverberasi boleh mengurangkan kejelasan pertuturan, mengurangkan SNR dan menyukarkan pemahaman pertuturan. Piawaian untuk ASHA dan ANSI bagi masa reverberasi masing-masing adalah tidak melebihi 0.4 saat dan 0.6 – 0.4 saat.

Tahap Masalah Pendengaran dan Masalah yang Dihidapi Pelajar

DARJAH MASALAH DIHADAPI
15 – 25 dBHL (Minimal)
  • Membezakan bunyi pertuturan yang perlahan / jauh.
  • Mudah letih- tunjukkan tingkah laku tidak matang.
25 – 40 dBHL (Ringan)
  • Boleh hilang 25-40% signal pertuturan jika tidak menggunakan alatan amplifikasi.
  • Boleh mendengar bunyi vokal tetapi tertinggal beberapa bunyi konsonan.
  • Lebih mudah penat kerana tumpuan yang lebih diperlukan untuk mendengar.
40 – 55 dBHL (Sederhana)
  • Dapat mendengar bunyi pertuturan yang kuat sahaja dalam jarak 3 – 5 kaki.
  • 50-75% maklumat hilang dalam bilik darjah.
  • Tatabahasa pemahaman (receptive) dan penghasilan bahasa (expressive) yang terhad.
  • Kemahiran komunikasi dan sosial yang lemah.
55 – 70 dBHL (Sederhana teruk)
  • Tidak dapat mendengar bunyi pertuturan dalam perbualan biasa,menentukan arah bunyi, tidak dapat membezakan antara bunyi persekitaran dan pertuturan.
  • Kelewatan bahasa dan pertuturan.
  • Pencapaian akademi dan kemahiran sosial yang lemah.
70 – 90 dBHL (Teruk)
  • Tidak dapat mendengar bunyi-bunyi pertuturan walau dalam keadaan senyap.
  • Jika mendapat amplifikasi boleh mengesan bunyi pertuturan dan persekitaran.
  • Kemahiran akademik, sosial, bahasa dan pertuturan sangat lemah.
  • Memerlukan intervensi auditori dan terapi pertuturan setelah menggunakan alat bantu pendengaran.
90 dBHL dan ke atas (Sangat teruk)
  • Tidak dapat mengesan dan mendengar bunyi pertuturan dan persekitaran jika tidak memakai alatan amplifikasi.
  • Perkembangan pertuturan dan bahasa sangat terhad atau tidak berkembang.
Masalah pendengaran Unilateral (sebelah telinga)
  • Bermasalah dalam lokalisasi sumber bunyi dan memproses pertuturan dalam persekitaran bising.
  • Berisiko untuk mengalami masalah dalam pembelajaran dan akademik.

Intervensi awal adalah sangat penting bagi kanak-kanak yang telah dikenalpasti mempunyai masalah pendengaran bagi membolehkan mereka mendapat akses kepada perkembangan bahasa dan pertuturan. Tempoh kritikal perkembangan bahasa dan pertuturan adalah bermula dari lahir sehingga 3 tahun dimana dalam tempoh ini neuroplasticity otak adalah terbaik. (Sharma et al., 2002).

Oleh itu, sebaik sahaja kanak-kanak didiagnos mempunyai masalah pendengaran, dengan mengambil kira tahap keterukan dan jenis masalah pendengaran yang dialami, intervensi multidisiplin adalah sangat penting. Intervensi multidisiplin yang melibatkan golongan professional seperti Pakar Kanak-kanak, Pakar Otorinolaringologi, Audiologis, Terapi Pertuturan, dan guru boleh menentukan hala tuju dan masa depan kanak-kanak tersebut. Berikut dibincangkan beberapa strategi adaptasi dan modifikasi dalam pengurusan pelajar yang mempunyai masalah pendengaran.

Pengurusan Audiologi

Setelah kanak-kanak di diagnosa mempunyai masalah pendengaran, pegawai Audiologi bertanggungjawab dalam pengurusan amplifikasi dengan memilih samada kanak-kanak tersebut perlu memakai alat bantu pendengaran konvensional, Bone Anchored Hearing Aid(BAHA), atau Implan Koklea bergantung kepada masalah pendengaran yang dihidapi.

Bagi pelajar bermasalah pendengaran penggunaan sistem FM sangat membantu dalam bilik darjah. Ini kerana, penggunaan sistem FM meningkatkan SNR yang ketara terutamanya dalam bilik darjah yang bising. (American Speech-Language Hearing Association, 2005). Sistem FM membolehkan pelajar ini menerima maklumat daripada guru dalam bilik darjah dengan jelas seolah-olah guru tersebut berada di sebelahnya . Sistem FM ini juga mengatasi masalah jarak dan kebisingan latar belakang seperti yang telah dibincangkan di atas.

Rajah di bawah merupakan contoh Sistem FM yang digunakan

Personal FM System Soundfield FM System

Modifikasi Persekitaran

Setelah pelajar diberikan amplifikasi yang optimum, peranan pihak sekolah seterusnya penting dengan melakukan pengubahsuaian bilik darjah bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif untuk pelajar berkeperluan khas ini.

Antaranya adalah dengan mengurangkan reverberasi seperti memasang permaidani dan melapik dinding dengan bahan serap bunyi. Melapik kaki kerusi dan meja juga dapat membantu dalam mengurangkan kebisingan di dalam bilik darjah .

Selain itu, elakkan daripada menempatkan meja pelajar-pelajar dekat dengan sumber kebisingan seperti kipas, penghawa dingin , pintu serta di hadapan sumber cahaya yang boleh menyebabkan bayang-bayang dan menyukarkan pelajar melihat ekspresi wajah dan mulut penutur. Susun atur meja pelajar di dalam kelas yang dicadangkan adalah berbentuk ladam kuda agar semua murid boleh melihat guru yang mengajar

Modifikasi dan strategi mengajar dan komunikasi

Guru atau tenaga pengajar juga perlu mempelajari teknik dan strategi mengajar dan berkomunikasi dengan pelajar berkeperluan khas pendengaran ini.

Sebelum guru ingin bercakap atau memberi arahan kepada pelajar, guru tersebut perlulah mendapatkan perhatian pelajar bermasalah pendengaran ini terlebih dahulu. Guru juga perlu b ercakap secara berhadapan dengan pelajar dan jika mempunyai peluang lakukan komunikasi one to one. Selain itu guru tersebut juga perlu b ercakap dengan kelajuan yang perlahan dan jelas serta menggunakan bahasa yang mudah difahami.

Semasa berkomunikasi, guru perlu mel akukan peneguhan (rephrase) dan pengulangan jika perlu. Ini membolehkan maklumat yang ingin disampaikan lebih mudah diterima dan difahami oleh pelajar. Penggunaan bahasa bukan verbal seperti bahasa badan dan ekspresi muka juga turut membantu.

Guru atau tenaga pengajar juga perlu kreatif dalam sesi pengajaran mereka bagi membolehkan pelajar menerima maklumat dengan cara yang mudah dan menarik. Dengan cara lain, guru perlu m emper banyakkan penggunaan bantuan visual, grafik, video dan gambar dalam kelas. Jadual waktu sesi pembelajaran juga perlu dipendekkan agar pelajar tidak mudah letih.

Kesimpulannya, modifikasi dan adaptasi bilik darjah untuk pelajar-pelajar dengan masalah pendengaran perlu dilakukan bagi membolehkan mereka mendapatkan input atau maklumat yang optimum semasa sesi pembelajaran. Modifikasi dan adaptasi bilik darjah ini perlu mengambil kira faktor-faktor seperti kebisingan persekitaran, jarak antara penutur dan pendengar dan juga reverberasi.

Dengan mengambil kira faktor-faktor ini, kerjasama semua kumpulan multidisiplin yang terlibat dalam pengurusan dan intervensi keperluan pelajar-pelajar berkeperluan khas ini adalah sangat penting bagi menyediakan persekitaran yang optimum dan kondusif buat mereka, seterusnya membolehkan mereka bersama-sama menempatkan diri di kalangan rakan sebaya yang normal dalam persekitaran kehidupan sebenar.

Rujukan

  1. Educators’ Resource Guide : Supporting Students Who Are Deaf and / or Hard of Hearing
  2. Cole, Elizabeth, and Carol Flexer. Classroom Accommodations for Students with Hearing Impairment.San Diego, CA:Plural Publishing, INC.,2007.Print
  3. http://www.asha.org/aud/Facts-about-Pediatric-Hearing-Loss/
  4. Modul Pengenalan Kepada Pendidikan Kanak-kanak Bermasalah Pendengaran, Institut Perguruan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, 2011
  5. Classroom Adaptations for Students with Hearing Impairments – Ideas to Help Classroom Teachers, Kristina Gavigan., 2009.
Semakan Akhir : 29 Januari 2014
Penulis : Azlizawati bt Abdul Rahman
Akreditor : Nur Azyani bt. Amri

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia