[flv]https://myhealth23.primuscore.com/media/download/animasi/dewasa/implan/implan.flv[/flv]
Pelbagai kaedah kontraseptif untuk merancang keluarga yang selamat, berkesan, mudah diguna, kesan sampingan yang minima dengan kadar kos yang berpatutan mudah didapati. Antara kaedah terkini yang semakin mendapat perhatian namun belum diketahui ramai adalah Implan.
Implan adalah kaedah kontraseptif berbentuk rod kecil yang dipasang di bawah lapisan kulit (subdermal) di bahagian tengah lengan atas. Ia merupakan kaedah hormon yang sangat berkesan dengan kurang daripada satu peratus kegagalan. Pada keadaan biasa, wanita yang menggunakan implan akan kembali subur serta merta selepas alat tersebut di keluarkan. Implan juga tidak mengganggu hubungan seks
Implan adalah rod plastik kecil sebesar batang mancis yang mengandungi hormon sintetik progestin iaitu menyerupai hormon semulajadi progestrogen dalam badan wanita. Saiz, bilangan dan kandungan hormon progestin dalam rod ini berbeza-beza bergantung kepada jenis implan yang digunakan.
Apabila rod ini dimasukkan di bawah lapisan kulit, ia akan mengeluarkan hormon progestin secara perlahan-lahan di dalam badan pada paras yang tetap sepanjang hayatnya. Ia bertindak untuk mencegah ovulasi dan menjadikan lendir serviks lebih pekat dan menyukarkan pergerakan sperma. Implan boleh dikeluarkan pada bila-bila masa, walaubagaimanapun jenis implan yang terdapat di Malaysia pada masa kini mempunyai jangkahayat untuk tempoh 3 tahun sahaja.
Bagaimana implan dimasukkan?
Caranya adalah dengan menyuntik anestetik (ubat bius) pada kulit di bahagian lengan atas pada tangan yang tidak dominan. Kemudian, alat trokar seperti jarum digunakan untuk memasukkan rod implan di bawah lapisan kulit. Prosedur ini hanya mengambil masa beberapa minit.
Jika ia dimasukkan pada waktu yang sesuai mengikut kitaran kesuburan wanita, kesan kontraseptif dapat berfungsi dengan segera. Hanya doktor berpengalaman dibenarkan melakukan prosedur ini bagi mempastikan ia dimasukkan dengan betul dan dapat berfungsi dengan baik serta mengurangkan risiko jangkitan pada bahagian yang dimasukkan.
Pemilihan kaedah bergantung kepada keadaan individu. Ia mengambilkira faktor umur, masalah perubatan, penyusuan ibu, pengambilan ubat-ubatan dan lain-lain.Dapatkan nasihat mengenai kaedah kontraseptif yang paling sesuai daripada doktor atau petugas kesihatan. |