A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Warga Emas
  4. /
  5. Penyakit Biasa
  6. /
  7. Anemia di Kalangan Warga...

Anemia di Kalangan Warga Emas

Anemia adalah satu masalah perubatan dimana seseorang itu tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi. Terdapat tiga jenis sel darah yang beredar dalam sistem badan kita iaitu: sel darah merah, sel darah putih dan platelet.

  • Anemia adalah satu masalah perubatan dimana seseorang itu tidak mempunyai sel darah merah yang mencukupi. Terdapat tiga jenis sel darah yang beredar dalam sistem badan kita iaitu: sel darah merah, sel darah putih dan platelet.
  • Sel darah merah, mengandungi haemoglobin iaitu sel merah yang kaya dengan zat besi dan protein. Ia berfungsi membawa oksigen dari paru-paru kepada seluruh otot-otot dan organ di dalam badan.
      Oksigen membekalkan tenaga kepada badan yang memerlukannya untuk aktiviti yang normal. Buah pinggang (ginjal) mengeluarkan satu jenis hormon yang dikenali sebagai Erythropoietin di mana hormon ini akan merangsang pengeluaran sel darah merah di dalam sum-sum tulang. Pengurangan paras Erythropoietin atau sebarang rawatan yang melibatkan sum-sum tulang (seperti rawatan kemoterapi) akan menyebabkan terjadinya anemia (kekurangan sel darah merah).
  • Sel darah putih adalah bertanggungjawab untuk melawan jangkitan kuman.
  • Platelet bertanggung jawab untuk menolong memberhentikan pendarahan akibat sesuatu kecederaan.
  • Anemia dikalangan warga emas boleh menjadi satu petanda seseorang pesakit itu menghidapi penyakit kronik.
  • Anemia di kalangan warga emas disebabkan oleh berbagai-bagai faktor termasuk keturunan, kekurangan vitamin, kekurangan zat besi dan juga penyakit.
  • Penyebab utama anemia dikalangan warga emas adalah penyakit kronik termasuk penyakit inflammasi (radang), kanser dan jangkitan kronik. Selain itu, penyebab yang lain seperti kekurangan nutrisi terutamanya asid folik dan cobalamin (vit B 12) juga boleh menyebabkan anemia.

Simptom / Tanda-tanda

Faktor berikut akan meningkatkan risiko anemia:

  • Pemakanan yang tidak sihat – golongan muda atau tua yang mana mengalami kekurangan zat besi dan vitamin terutamanya asid folik, akan mempunyai risiko terjadi anemia. Badan kita memerlukan zat besi/iron, protein dan vitamin untuk mengeluarkan jumlah sel darah merah yang mencukupi.
  • Penyakit usus–  penyakit usus terutamanya usus kecil boleh mengganggu penyerapan bahan nutrisi kedalam usus. Contohnya penyakit Crohn’s dan Celiac. Pembedahan pembuangan sebahagian dari usus kecil juga boleh mengganggu penyerapan bahan nutrisi dan mengakibatkan kekurangan vitamin serta terjadi anemia.
  • Penyakit kronik contohnya kanser, kegagalan ginjal dan hati. Selain itu, kehilangan darah secara perlahan-lahan dan kronik akibat ulser perut atau usus boleh menyebabkan anemia.
  • Sejarah Keluarga – Ada sejarah anemia disebabkan keturunan seperti talasemia.
  • Faktor-faktor lain – jangkitan kuman, penyakit darah dan penyakit autoimmune, pendedahan kepada bahan kimia yang toksik dan penggunaan ubat-ubatan yang boleh menjejaskan pengeluaran sel darah merah. Selain itu, ada juga golongan yang berisiko mendapat anemia seperti pesakit diabetes mellitus, pengambilan alkohol yang tinggi dan berpanjangan dan orang yang mengamalkan makanan sayur-sayuran (vegetarian) di mana pemakanan mereka kurang zat besi/iron dan vitamin B-12.

Gejala / tanda-tanda anemia ini berbeza-beza bergantung kepada punca-punca anemia dan masalah perubatan yang dialami. Tanda-tanda anemia termasuk :

  • merasa letih dan lemah
  • pucat dan kadang-kadang kuku jari mudah patah
  • sakit dada
  • sakit kepala atau pening
  • denyutan jantung yang pantas atau tidak normal
  • sesak nafas
  • masalah kognitif
  • kemurungan atau keresahan

Komplikasi

Jika tidak dirawat, anemia akan menyebabkan banyak komplikasi. Contohnya seperti:

  • Keletihan yang teruk- Bila berlaku anemia yang teruk,seseorang itu akan merasa terlalu letih dan tidak bertenaga untuk menjalankan tugas-tugas hariannya.
  • Penyakit jantung- anemia akan menyebabkan denyutan jantung terlalu pantas. Ini kerana jantung terpaksa bekerja keras untuk mengepam darah dalam mengatasi kekurangan oksigen dalam darah. Ini akan mengakibatkan kegagalan jantung (heart failure)
  • Kerosakan saraf- kekurangan vitamin B 12 akan menganggu penghasilan sel darah merah dan fungsi saraf.
  • Gangguan fungsi otak/mental- kekurangan vitamin B12 juga boleh menjejaskan fungsi otak seperti memori (daya ingatan).
  • Kematian – anemia yang disebabkan keturunan seperti sickle cell akan mengakibatkan komplikasi yang serius dan boleh membawa kematian. Kehilangan darah yang banyak dan cepat akan menyebabkan anemia yang teruk dan membawa kematian.

Rawatan

Ujian dan diagnosa

  • Doktor dapat mengesan anemia dengan mengambil riwayat pesakit, membuat pemeriksaan fizikal dan ujian darah.
  • Pemeriksaan sel darah yang lengkap untuk mengukur paras sel darah merah yang terkandung dalam darah dan paras haemoglobin.

Sel darah merah ini diperiksa dibawah mikroskop untuk mengetahui:

  • Saiz, bentuk dan warnanya. Ini akan menolong untuk memastikan diagnosa anemia. Contohnya anemia disebabkan oleh kekurangan zat besi, dimana sel darah merahnya kecil dan berwarna pucat daripada biasa.

Ujian lain yang diperlukan untuk menolong mendiagnosa anemia.

  • Endoskopi – pemeriksaan ini dilakukan untuk mengetahui kehadiran ulser yang berdarah didalam perut. Prosedur ini memerlukan sebatang tiub yang mempunyai lampu dan kamera video dimasukkan kedalam tekak melalui mulut dan terus ke perut. Ini akan memudahkan doktor memeriksa lokasi punca-punca pendarahan.
  • Kolonoskopi – untuk mengetahui pendarahan yang berlaku dibahagian bawah usus. Satu tiub yang nipis dan dilengkapi dengan kamera video yang dimasukkan melalui dubur dan terus ke rektum dan kolon. Melalui kolonoskopi ini doktor dapat mengetahui lokasi yang ada berlaku pendarahan.
  • Ultrasound – untuk mengetahui ada ketumbuhan atau kelainan struktur dalam ginjal/buah pinggang, hati dan lain-lain organ.
  • Aspirasi sum-sum tulang – untuk mengkaji punca anemia dengan melihat kedalam tulang yang merupakan kilang pengeluaran sel-sel darah merah.

Rawatan anemia bergantung kepada penyebabnya:

  • Anemia kekurangan zat besi ( iron): anemia jenis ini dirawat dengan memberi suplimen zat besi yang perlu diambil untuk beberapa bulan atau jangka masa yang panjang. Jika punca anemia ini disebabkan oleh kehilangan darah maka punca pendarahan mesti dikenalpasti dan perlu diberhentikan pendarahan itu.
  • Anemia kekurangan vitamin: Pernicious anemia perlu dirawat dengan suntikan vitamin B12 kemungkinan untuk sepanjang hidup. Anemia disebabkan oleh kekurangan asid folik mesti dirawat dengan memberikan suplimen asid folik.
  • Anemia yang disebabkan oleh penyakit kronik: tiada rawatan yang khusus untuk ini. Ia perlu dirawat mengikut puncanya. Jika tanda-tanda anemia bertambah teruk, tranfusi darah atau suntikan erythropoietin sintetik (hormon yang dihasilkan oleh buah pinggang) boleh digunakan untuk merangsang pengeluaran sel darah merah. Ini akan mengurangkan simptom anemia.
  • Aplastic anemia: rawatan anemia ini adalah dengan transfusi darah untuk meningkatkan sel darah merah. Kemungkinan pemindahan sum-sum tulang akan dijalankan.
  • Anemia yang disebabkan oleh penyakit sum-sum tulang: Rawatan merangkumi ubat-ubatan, kemoterapi atau pemindahan sum-sum tulang.
  • Anemia haemolitik: Rawatannya termasuk mengelakkanpengambilan ubat-ubatan yang boleh menyebabkan sel darah merah hancur atau menekan sistem pertahanan badan. Merawat infeksi atau jangkitan (jika ada). Rawatan dengan steroid gamma globulin atau ubat-ubatan yang meningkatkan sistem pertahanan badan.

Pencegahan

Kebanyakan anemia boleh dicegah. Anemia yang disebabkan oleh kekurangan zat besi atau vitamin boleh dielakkan jika kita mengambil makanan yang sihat seperti:

  • Iron (zat besi): makanan yang kaya zat besi adalah daging, kekacang, bijirin, sayur-sayuran berdaun hijau, buah-buahan kering dan peanut butter.
  • Folate: boleh di dapati dalam jus limau dan buah-buahan, pisang, sayur-sayuran berwarna hijau, bijirin, kekacang, roti dan pasta.
  • Vitamin B12: vitamin ini tedapat dengan banyaknya didalam daging dan susu.
  • Vitamin C: Makanan yang mengandungi vitamin C adalah buah-buahan seperti buah oren, tembikai dan lain-lain. Vitamin C ini menolong penyerapan zat besi.
Semakan akhir : 28 Ogos 2020
Penulis : Dr. Sanidah binti Md. Ali
Penyemak : Dr. Jubaida Paraja

Artikel Berkaitan

Jangkitan Saluran Kencing

Kuman yang menyebabkan jangkitan salur kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan saluran kencing keluar badan (uretra)

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia