Cabutan gigi merujuk kepada exodontia, suatu prosedur pengeluaran atau pembuangan gigi daripada tulang rahang. Prosedur ini dilaksanakan apabila gigi tersebut didapati tidak dapat diselamatkan atau dikaitkan dengan sebarang patologi atau penyakit.
|
|
|
Sebab-sebab Cabutan Gigi Dilakukan
- Kerosakan atau karies teruk
- Penyakit gusi lanjut (periodontitis) yang dikaitkan dengan kelonggaran gigi
- Melibatkan patologi (sekiranya gigi yang berkenaan berada di dalam atau berhampiran ketumbuhan, sista atau fraktur tulang rahang)
- Gigi yang terbenam/ terimpak yang dijangkiti secara berulang atau berisiko untuk mengakibatkan kerosakan pada gigi lain yang berhampiran
- Pulpitis (keradangan tisu pulpa di dalam struktur gigi)
- Sebahagian daripada rawatan ortodontik
- Gigi yang fraktur/ patah
- Apabila gigi (gigi susu) belum diganti oleh gigi kekal
Prosedur cabutan gigi melibatkan
Apabila doktor gigi anda ingin membuat cabutan, anda akan diberi suntikan bius setempat di kawasan tisu mulut berhampiran gigi tersebut. Setelah anda berasa kebas pada gigi yang akan dicabut dan kawasan tisu di sekelilingnya, peralatan khas (elevator, forsep) akan digunakan untuk memudahkan proses cabutan gigi. Anda tidak sepatutnya merasakan kesakitan semasa gigi sedang dicabut, cuma sensasi ‘tekanan’ dan ‘peregangan’ akan dirasai.
Apakah yang perlu anda lakukan sebelum cabutan gigi?
- Sebelum ke klinik, pastikan anda
- Makan terlebih dahulu
- Ambil ubat-ubatan harian yang perlu (contohnya untuk penyakit kencing manis, darah tinggi)
- Sekiranya anda mempunyai kad perubatan atau senarai ubat yang diambil, sila bawa bersama apabila berjumpa dengan doktor gigi anda
- Bawa bersama, sekiranya ada, sebarang radiograf (filem x-ray) yang berkenaan dengan kepala dan leher
- Semasa rawatan :
- Beritahu doktor pergigian jika anda mempunyai sebarang masalah kesihatan, jika anda sedang mengambil sebarang ubat, atau sekiranya anda pernah mengalami cabutan gigi yang sukar sebelum ini
- Maklumkan kepada doktor gigi anda sekiranya anda berasa kurang sihat atau risau
Apakah yang perlu anda lakukan sebelum cabutan gigi?
- Selepas cabutan gigi, pastikan anda :
- Letakkan dan gigit kain kasa (gauze) yang diberikan ke atas bekas cabutan sekurang-kurangnya 10 minit atau sehingga pendarahan berhenti. Jika pendarahan berterusan, gigit kain atau sapu tangan yang bersih dan segera dapatkan rawatan di klinik pergigian yang berhampiran.
- Telan air liur
- Ambil ubat sebagaimana yang diarahkan
- PASTIKAN ANDA TIDAK MELAKUKAN perkara berikut :
- Berkumur-kumur dalam masa 24 jam selepas cabutan gigi
- Mengorek atau mengusik bekas cabutan sama ada dengan lidah atau jari
- Mengambil makanan atau minuman panas
- Melakukan senaman berat
- Merokok
Bolehkah komplikasi berlaku?
Kebiasaannya bekas cabutan gigi akan sembuh dalam tempoh 3 hingga 7 hari, walau bagaimanapun komplikasi boleh terjadi seperti :
- Kesakitan yang berpanjangan
- Bekas cabutan bengkak
- Kebas yang berpanjangan
- Pendarahan berlanjutan (tidak berhenti)
- Bekas cabutan tidak sembuh
- Jangkitan
- Pembukaan mulut yang terhad
Dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor pergigian dengan segera jika terdapat sebarang komplikasi seperti di atas.
Semakan Akhir | : | 7 Januari 2013 |
Penulis | : | Dr. Azillah bt. Mohd Ali |
Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar | ||
Dr. Chew Yoke Yuen | ||
Dr. Norrizan bt. Basir | ||
Dr. Doreyat b. Jemun | ||
Dr. Sharol Lail b. Sujak | ||
Penyemak | : | Dr. Sathesh Balasundram |