A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Denggi – Nasihat Perjalanan

Pengenalan

Denggi adalah salah satu penyakit bawaan vektor (Artropod: Nyamuk) yang utama dan menyebabkan morbiditi dan kematian pada manusia. Dianggarkan 50 juta jangkitan Demam Denggi berlaku setiap tahun di seluruh dunia dan lebih kurang 2.5 bilion penduduk dunia tinggal di negara yang endemik Demam Denggi.

Jangkitan Denggi berlaku secara meluas di kawasan tropika dan subtropika di seluruh dunia terutamanya di kawasan bandar dan separa bandar. Peningkatan penduduk yang pantas di kawasan bandar dan separa bandar mendedahkan lebih ramai populasi kepada vektor Denggi terutama di kawasan yang menggalakkan pembiakan nyamuk Aedes seperti di komuniti yang tidak mempunyai perkhidmatan pengurusan sisa pepejal yang baik dan komuniti yang menyimpan air di rumah.

Vektor: Vektor utama di Malaysia adalah Aedes aegypti yang lebih kepada persekitaran dalam rumah dan Aedes albopictus yang lebih kepada persekitaran luar rumah. Nyamuk Aedes hidup berhampiran manusia kerana ianya menghisap darah manusia untuk menghasilkan telur bagi meneruskan kitaran hidupnya.

Agen penyebab: virus Denggi – Flavivirus dengan empat (4) serotaip iaitu DEN 1, DEN 2, DEN 3 dan DEN 4. Jangkitan oleh salah satu serotaip akan menyebabkan imuniti seumur hidup terhadap serotaip tersebut sahaja. Seseorang itu juga dapat dijangkiti oleh serotaip yang lain.

Transmisi: Manusia dijangkiti oleh virus Denggi melalui gigitan nyamuk Aedes betina yang mempunyai virus (infektif). Nyamuk Aedes betina menjadi infektif selepas menggigit pesakit Demam Denggi yang darahnya mengandungi virus Denggi. Nyamuk Aedes paling aktif menggigit pada waktu awal pagi dan lewat petang. Tiada jangkitan langsung daripada individu kepada individu.

Tempoh pengeraman: 3 hingga 14 hari, biasanya 4  hingga 7 hari.

Spektrum Demam Denggi

Demam Denggi adalah penyakit yang sistemik dan dinamik kerana berlaku perubahan profil klinikal, hematologi dan serologi dari hari ke hari. Kebiasaannya pesakit Demam Denggi akan menunjukkan gejala klinikal yang meliputi spektrum yang luas. Namun begitu penyakit ini juga boleh berlaku tanpa sebarang gejala klinikal (asymptomatic). Spektrum Demam Denggi adalah seperti berikut;

  1. Undifferentiated fever
    Bayi, kanak-kanak dan orang dewasa yang mendapat jangkitan Demam Denggi untuk kali pertama (primary infection) mungkin akan mengalami demam biasa dan tidak dapat dibezakan dengan demam viral yang lain.
  2. Demam Denggi
    Merupakan keadaan jangkitan Demam Denggi yang paling kerap dialami. Dalam keadaan ini, pesakit mengalami demam yang akut dengan gejala dan tanda Demam Denggi seperti dinyatakan di bawah. Gejala pendarahan ringan juga boleh berlaku.
  3. Demam Denggi Berdarah
    Keadaan di mana pesakit mengalami gejala dan tanda Demam Denggi seperti dinyatakan di bawah serta gejala dan tanda pendarahan. Demam Denggi Berdarah berkait rapat dengan jangkitan Demam Denggi yang berulang.
  4. Sindrom Renjatan Denggi (Dengue Shock Syndrome, DSS)
    DSS merupakan komplikasi Demam Denggi di mana keadaan pesakit boleh menjadi kritikal dan mengalami kegagalan peredaran darah dan mengalami renjatan (shock). Keadaan ini boleh membawa maut.

Gejala dan tanda amaran Demam Denggi

Gejala

Demam – Suhu antara 39oC dan 40oC dan berakhir dalam 5 – 7 hari.
Muntah
Loya
Ruam
Sakit kepala
Sakit badan
Sakit sendi-sendi
Sakit bahagian belakang mata

Tanda amaran

Sakit pada bahagian abdomen
Muntah berpanjangan
Pendarahan pada permukaan mukosa – epistaxis, hypermenorrhea, gastrointestinal bleeding
Kelesuan dan gelisah
Pembengkakan hati
Ujian darah – peningkatan haematocrit (HCT) dan penurunan paras platelet

Rawatan

Tiada rawatan khusus bagi Demam Denggi, hanya rawatan secara simptomatik sahaja. Perkara yang paling penting adalah untuk mendapatkan nasihat doktor sekiranya mempunyai gejala Demam Denggi dan terutama sekiranya terdapat tanda-tanda amaran Demam Denggi.

Pencegahan

Pada masa ini tiada vaksin untuk mencegah jangkitan Denggi. Langkah kawalan Denggi yang paling berkesan adalah dengan menghapuskan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes di sekitar kediaman atau menggunakan ubat pembunuh jentik-jentik pada takungan air yang kekal.

  • Musnahkan tempat-tempat pembiakan nyamuk Aedes dan lakukan pemeriksaan 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan persekitaran kita bebas daripada pembiakan nyamuk Aedes.
  • Tutup tingkap atau bidai pada waktu awal pagi dan lewat petang apabila berada dalam bangunan. Gunakan semburan racun serangga, lingkaran ubat nyamuk atau kepingan penghalau nyamuk.
  • Kurangkan aktiviti luar di waktu awal pagi dan lewat petang bagi mengurangkan pendedahan kepada gigitan nyamuk Aedes.
  • Gunakan ubat penjauh serangga (‘insect repellant’) pada kulit yang terdedah berdasarkan panduan yang diberikan oleh syarikat pengeluar semasa menjalankan aktiviti luar di waktu awal pagi dan lewat petang.
  • Pakai pakaian berlengan panjang dan seluar panjang terutamanya semasa menjalankan aktiviti luar di waktu awal pagi dan lewat petang.

Sumber

  1. International Travel & Health, WHO 2006
  2. Control of Communicable Diseases Manual, 18th Edition by David L. Heymann, MD, Editor, 2004
  3. Clinical Practice Guidelines, Management of Dengue Infection in Adults, Ministry of Health Malaysia and Academy of Medicine of Malaysia.
Semakan Akhir : 19 Jun 2013
Penulis : Dr. Norhayati Rusli

Artikel Berkaitan

Difteria

Pengenalan Difteria adalah jangkitan akut yang menjejaskan sistem pernafasan. Wabak

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,817

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia