Apa dispareunia?
Bermaksud sakit yang dialami sebelum, semasa atau selepas melakukan hubungan seks. Ia boleh berlaku kepada lelaki atau wanita. Tetapi wanita lebih kerap mengalami masalah ini berbanding lelaki. Kekerapannya sukar untuk dikenalpasti kerana tidak ramai wanita mengadu masalah ini (mungkin disebabkan rasa malu atau segan dengan doktor atau jururawat).
Jenis-jenis
- Primer (primary)
sakit semasa pertama kali melakukan hubungan kelamin. Wanita itu tiada berpenyakit (yang dapat dikesan oleh doktor). - Sekunder (secondary)
dispareunia disebabkan oleh penyakit-penyakit seperti endometriosis, sista ovari dan lain-lain (sila lihat bawah).
Lokasi
- Superficial (luaran)
sakit dibahagian luar faraj atau semasa kemasukkan batang zakar kedalam faraj. Pesakit mengadu sakit seperti ‘panas membakar (burning)’, ‘melecet’ atau ‘tajam’. Lebih berlaku pada wanita yang mengalami vulvodynia (lihat bawah) dan vagimismus (lihat vaginismus). Paling kerap disebabkan oleh jangkitan kulat atau kekeringan faraj. Kesakitan juga boleh dialami di Vulva (kawasan di sekeliling pembukaan faraj) atau di faraj atau kawasan ari-ari. Lelaki boleh mengalami dispareunia luaran dan sakitnya adalah di bahagian batang zakar, buah zakar, bahagian bawah perut (ari-ari) atau kekadang di bahagian belakang pinggang. - Deep (dalam) sakit semasa batang zakar sudah memasuki faraj atau semasa di dalam faraj. Antara menyebab adalah endometriosis, ketumbuhan (sista) di ovary, fibroid, pembedahan masa lampau atau jangkitan kuman (lihat bawah). Kekadang posisi semasa melakukan seks juga boleh menyebabkan masalah ini. Sakit bahagian bawah perut (ari-ari) atau kekadang di bahagian belakang pinggang.
Sebab-sebabnya?
- Wanita : sebab-sebab utama adalah
- Bersalin: hubungan seks beberapa hari selepas bersalin boleh menyebabkan dispareunia. Kadang-kala ia boleh berlaku beberapa minggu selepas bersalin. Kesakitan boleh dirasai dibahagian jahitan episiotomy atau dalam faraj jika berlaku jahitan disebabkan oleh koyakkan didalam faraj.
- Endometriosis: keadaan dimana sel tisu selaput endometrium dalam rahim berada diluar rahim. Ia boleh menyebabkan sakit dispareunia dibahagian ari-ari atau belakang (sila lihat endometriosis)
- Kekeringan faraj: dalam keadaan
- Menopause: selaput faraj dan kawasan sekelilingnya mengalami kekeringan selepas putus haid. Ini boleh menyebabkan sakit. (lihat menopause)
- Tidak mendapat ‘ransangan’ yang mencukupi sebelum hubungan seks
- Jangkitan dibahagian faraj atau pundi air kencing.
- Keadaan dimana mengalami kesakitan berpanjangan di bahagian vulva, faraj atau ari-ari.
- “Vulvodynia”: sakit bahagian vulva (lihat vulvodynia)
- ‘Interstitial cystitis”: sakit bahagian pundi air kencing
- Sakit bahagian pinggul yang kronik(chronic pelvic pain):sakit dibawah pusat dan ari-ari lebih dari 6 bulan.
- Masalah kulit di vulva atau kawasan sekitar faraj seperti eczema, melecet dan sebagainya
- Psikologi: merasa tidak suka/tidak senang dengan pasangan ataupun diri sendiri semasa melakukan hubungan seks
- Pengalaman masa lampau: pernah merasai tidak selesa, sakit atau tidak tenang semasa melakukan seks atau semasa pemeriksaan faraj pada masa lampau.
- Pil perancang: sesetengah wanita yang mengambil pil perancang boleh mengalami dispareunia.
- Masalah congenital faraj: terdapat dinding dalam faraj (septum) yang menyebabkannya sempit. Pesakit mungkin dilahirkan dengan septum ini
- Lelaki : sebab-sebab utama antara lain
- Jangkitan:
- Jangkitan dibahagian kelenjar prostate atau jangkitan bahagian-bahagian lain di alat sulit.
- Penyakit kelamin
- Masalah kulit di batang zakar atau kawasan sekitarnya seperti eczema, melecet dan seumpamanya.
- Psikologi: merasa tidak suka/tidak senang dengan pasangan ataupun diri sendiri semasa melakukan seks
- Jangkitan:
Apa harus saya lakukan?
Kalau anda mengalami dispareunia, anda patut berjumpa dengan doktor. Doktor akan memeriksa dan mengambil sejarah anda. Rawatan bergantung kepada simptom, usia, dan keadaan individu tersebut. Doktor mungkin akan membuat ujian air kencing untuk melihat jangkitan kuman di pundi air kencing. Ultra bunyibahagian pinggul (pelvis) juga dilakukan untuk melihat jika ada bengkak dibahagian rahim atau sista di ovari. Bagi wanita yang mengalami lendiran faraj, swab akan diambil dari cairan tersebut dan dihantar ke makmal untuk melihat jenis kuman.
Rawatan
Rawatan untuk wanita:
- Antibiotik atau anti-fungal (kulat): jikalau sakit itu disebabkan oleh jangkitan kuman atau kulat
- Krim atau gel: untuk pelembapan faraj atau untuk penyakit kulit dikawasan kulit vulva.
- Gel ‘kebas’: disapu dibahagian faraj sebelum hubungan seks
- Rawatan fizikal untuk mengurangkan ketegangan otot dikawasan faraj
- Kaunseling: kalau sebab-sebab psikologi, rasa tidak senang dengan pasangan atau dari pengalaman lampau
- Pembedahan: kekadang penyebab dispareunia adalah kerana ujud bahan asing atau septum di dalam faraj. Pembedahan dilakukan untuk mengeluarkan ketumbuhan atau septum tersebut. Endometriosis mungkin perlu dirawat dengan pembedahan juga.
Rawatan untuk lelaki:
- Ubat antibiotik
- Ubat kulit
- Rawatan kulit di kawasan batang zakar
- Kaunseling
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Hj. Mohamed Hatta b. Mohamed Tarmizi |
Akreditor | : | Dr. Haris Njoo Suharjono |
Penyemak | : | Dr. Rafaie bin Amin |