Pengenalan dan Epidemiologi
Enkopresis berlaku di seluruh dunia. Perkataan ini berasal dari bahasa Greek “egkopresis”, yang bererti “cirit atau terkincit”.Enkopresis ditakrifkan sebagai membuang air besar secara sengaja atau tidak sengaja di tempat yang tidak sesuai.
Walau bagaimanapun masalah fizikal perlu disiasat dan diketepikan terlebih dahulu. Enkopresis adalah kurangnya kawalan terhadap buang air besar yang bukan disebabkan oleh masalah fizikal. Ia sangat memberi tekanan kepada bukan sahaja individu malah kepada keluarga dan orang lain di sekitar individu tersebut.
Selalunya seorang kanak-kanak mula boleh mengawal buang air besar bila berumur 2-3 tahun. Enkopresis berlaku pada kanak-kanak berumur 4 tahun ke atas atau sekurang-kurangnya mencapai usia mental minima 4 tahun (APA, 2000). Sekitar 1% hingga 3% dari kanak-kanak berusia lebih 4 tahun mengalami enkopresis. Keadaan ini boleh berterusan hingga ke usia remaja dan juga belia. Walau bagaimanapun ini jarang berlaku kecuali remaja tersebut mengalami kerencatan akal yang teruk. Encopresis juga mungkin disebabkan tekanan seperti terpaksa berpisah daripada ibu bapa dan sebagainya. Masalah ini lebih kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak lelaki berbanding kanak-kanak perempuan dengan nisbah 3-4 lelaki kepada 1 perempuan. Sekitar 25% penderita enkopresis juga mengalami eneuresis (tiada kawalan kencing).
Enkopresis boleh dikelaskan kepada 2 kumpulan:
- Jenis primer, di mana kawalan buang air besar tidak pernah dicapai
- Jenis sekunder, bila enkopresis berlaku setelah kanak-kanak itu pernah mencapai kawalan buang air besar.Jenis ini mula dikesan sekitar umur 4 hingga 8 tahun.
3 bentuk dapat dikenal pasti:
- Enkopresis kronik berterusan untuk beberapa tahun lamanya
- Enkopresis diselangi dengan tempoh masa tanpa enkopresis
- Enkopresis yang hilang dengan sendiri dengan peningkatan umur.
Gejala dan tanda-tanda Klinikal
Enkopresis akan dirujuk kepada doktor bila seorang kanak-kanak sering terkincit/tercirit di dalam seluar atau pun di tempat-tempat yang bukan sepatutnya.Terkincit atau mengotori seluar dengan najis ini boleh berlaku tanpa sembelit atau dengan sembelit.
Kanak-kanak dikatakan mengalami sembelit bila mempunyai sekurang-kurangnya 2 daripada tanda yang berikut:
- Membuang air besar di tandas 2 kali atau kurang dalam seminggu.
- Terkincit sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu
- Menahan membuang air besar sekurang-kurangnya sekali seminggu
- Mengalami sakit atau pun kesukaran untuk membuang air besar sekurang-kurangnya sekali seminggu
- Terdapat kumpulan najis yang banyak di bahagian rektum (bila diperiksa secara fizikal)
- Pernah mengeluarkan najis yang berdiameter besar yang menyebabkan tandas tersumbat
Perkara-perkara di atas perlu berlaku sekurang-kurangnya sekali seminggu selama 3 bulan. Sekiranya berlaku selama dua bulan sudah memadai untuk mendapatkan rawatan.
Individu dikatakan mengalami enkopresis tanpa sembelit bila memenuhi semua kriteria di bawah:
- Membuang air besar di tempat yang tidak sesuai mengikut konteks masyarakat setempat sekurang-kurangnya sekali sebulan.
- Tiada gejala atau pun tanda-tanda masalah fizikal dapat dikesan oleh doktor
- Tiada tanda-tanda menunjukkan individu tersebut menahan najisnya.
Perkara-perkara di atas perlu berlaku selama 3 bulan berturut-turut. Walau bagaimanapun sekiranya berlaku selama 2 bulan berterusan sudah memadai untuk mendapatkan rawatan
Punca Masalah Enkopresis
Kawalan buang air besar selaunya berlaku setelah kanak-kanak. Berjaya mengawal kencing pada waktu malam dan siang. Latihan kawalan buang air besar yang berkesan dapat menjadikan kanak-kanak mampu mengawal lebih awal.Ia tiada kaitan dengan terjadinya masalah enkopresis pada usia 4 tahun. Enkopresis lebih sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak yang lambat perkembangannya. Ia juga selalu berlaku pada kanak-kanak yang menunjukkan perangai yang sukar dijaga oleh ibu bapanya (difficult temperament).
Ada kaitan genetik di dalam perkembangan masalah sembelit tetapi tiada di dalam masalah enkopresis. Enkopresis yang berkait dengan sembelit selalunya didahului oleh masalah sembelit takut (acute constipation) yang mungkin di sebab kanoleh perkara-perkara berikut:
Masalah psikososial seperti:
- Tekanan kehidupan
- Kehilangan seseorang
- Konflik dalam keluarga
- Konflik di antara adik-beradik
Masalah fizikal seperti:
- Pertukaran diet
- Sakit ditempat buang air besar (anal fissure)
Masalah kesihatan mental seperti:
- ADHD
- Kerencatan akal
- Autisma
- Schizophrenia
- Perkembangan lewat
Masalah sembelit ini akan menyebabkan sakit dan kesukaran semasa buang air besar. Kanak-kanak tanpa sokongan akan memilih untuk menghindari masalah ini. Keadaan ini akan menyebabkan masalah sembelit yang dialami bertambah teruk. Kumpulan najis di usus hujung (rectum) akan bertambah dan masa najis berada di dalam usus juga bertambah. Pergerakan usus juga akan menjadi perlahan dan rasa untuk buang air besar lama kelamaan akan berkurang. Najis baru akan cuba melalui najis lama yang keras dan menyebabkan terkincit.
Enkopresis tanpa sembelit lebih sukar untuk difahami. Walau bagaimanapun isu psikososial perlu dikenal pasti kerana sokongan yang berkesan kepada kanak-kanak sangat perlu untuk proses pembuangan air besar yang baik.
Semua kanak-kanak yang datang untuk rawatan enkopresis akan diperiksa untuk memastikan mereka ti dak mengalami masalah perubatan dan pembedahan yang memerlukan rawatan tersendiri.
Cara Rawatan
Rawatan yang terbaik adalah pencegahan.Latihan kawalan buang air perlu dilakukan dengan konsisten dan sokongan berterusan serta kasih sayang. Suasana keluarga yang tenteram dan memahami dapat member sokongan kepada anggota keluarga terutama kanak-kanak dalam proses tumbesarannya. Masalah emosi kanak-kanak tidak boleh dipandang remeh dan perlu ditangani secepat mungkin.Komunikasi berkesan perlu untuk menjalinkan suasana tenteram dengan konflik yang rendah.
Setelah timbul masalah enkopresis penilaian dan rawatan dari anggota mahir perlu di ambil dengan segera.
Semakan Akhir | : | 3 Disember 2013 |
Penulis | : | Dr. Ramli Bin Mohd Ali |