Pergerakan aneh, pengsan dan sawan
Sawan atau tarik adalah rangsangan elektrik yang berlaku di dalam otak secara tiba-tiba yang menyebabkan berlakunya perubahan dalam tingkahlaku atau aktiviti kanak-kanak tersebut. Ini dapat dilihat jika kanak-kanak:
- Diam seketika
- Tiba-tiba keliru atau hilang kesedaran
- Kaki dan tangan menjadi keras/kejang
- Kaki dan tangan menyentak-nyentak
- Tiba-tiba jatuh ke lantai
Ramai kanak-kanak yang boleh mengalami kejadian yang menyerupai sawan. Pergerakan aneh atau pengsan ini termasuklah :
- Terkejut
- Pergerakan normal semasa tidur
- Tindakan menahan nafas
- Reflex sawan anoxic (Reflex anoxic seizures)
- Pengsan
- Berangan
Apa itu epilepsi?
āEpilepsiā berasal daripada perkataan Greek āepilambanienā. Ia bermaksud āseranganā. Perkataan ini digunakan untuk menerangkan keadaan di mana serangan sawan yang berterusan berlaku tanpa sebarang rangsangan luar.
Epilepsi juga dikenali sebagai āsawan babiā, ācho chinā dalam bahasa Mandarin ataupun ākaka valipuā dalam bahasa Tamil.
Nota:
Sawan yang disebabkan rangsangan adalah bukan epilepsi. Sawan jenis ini boleh disebabkan oleh kadar gula yang rendah di dalam darah, selepas berlakunya trauma kepada bahagian kepala, apabila terdapat perdarahan di dalam otak ataupun apabila mendapat jangkitan kuman di otak.
Siapa yang menghidap epilepsi?
Sekurang-kurangnya 1% dari semua kanak-kanak akan mendapat sawan yang berlaku tanpa rangsangan, tetapi hanya separuh dari kumpulan ini yang seterusnya akan mendapat epilepsi.
Mengapa anak saya menghidap epilepsi?
Epilepsi disebabkan oleh sel-sel otak yang tidak berfungsi dengan baik.. Sel-sel otak berfungsi dengan menjanakan aliran elektrik di dalam otak. Apabila aliran elektrik ini menjadi tidak stabil, seperti āshort circuitā dan sawan akan berlaku.
Kanak-kanak yang menghidap epilepsi ada kecenderungan untuk membentuk aliran elektrik otak yang tidak stabil. Ini disebabkan oleh:
- Faktor keturunan dan semula jadi mendapat sawan
- Pembentukan otak yang abnormal semasa pembentukan janin di dalam kandungan
- Kerosakan otak yang disebabkan oleh jangkitan otak, kekurangan oksigen / lemas atau pendarahan di bahagian otak.
- Penyakit otak yang berlanjutan, contohnya kanser otak atau penyakit yang menyebabkan otak semakin rosak.
Semakan akhir | : | 14 Julai 2008 |
Penulis | : | Dr. Irene Cheah Guat Sim |
: | Dr. Terrance Thomas | |
: | Dr. Umathevi Paramasivam |