A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pendahuluan

Menghidu gam adalah antara masalah ketagihan yang semakin serius di negara ini, terutama dalam kalangan remaja. Antara sebab mengapa ia popular dalam kalangan remaja adalah kerana ia murah dan senang diperolehi. Ramai tidak menyedari betapa bahayanya fenomena ini berbanding masalah ketagihan dadah yang lain. Walau bagaimanapun. ia sebenarnya adalah sangat merbahaya dan adakalanya boleh mengakibatkan maut. Ia dikategorikan dalam masalah penyalahgunaan dadah inhalan atau pelarut (solvent).

Kenyataan/ fakta:

Dalam membicarakan gejala menghidu, sebenarnya terdapat banyak bahan-bahan lain yang mempunyai pelarut yang mempunyai kesan yang sama dengan perbuatan hidu gam. Namun di negara ini gejala menghidu gam adalah paling ketara berbanding dengan bahan lain seperti pelembut cat (thinner),gas dapur,petrol, cat semburan (aerosol) atau tahi lembu. Untuk itu adalah penting untuk kita mengenal pasti dan menangani masalah ini agar ianya tidak berlarutan.

Masalah menghidu gam telah dikenal pasti sebagai salah satu pencetus kepada penagihan dadah seperti ganja dan heroin. Setakat ini negara masih di peringkat merangka peruntukan undang-undang yang membolehkan seseorang penghidu gam ditangkap, diarahkan menjalankan rawatan dan dipenjara seperti dadah-dadah lain. Di Malaysia belum ada kajian menyeluruh dibuat berhubung gejala hidu gam. Namun gejala ini berlaku dengan serius di sesetengah tempat. Fenomena hidu gam terlindung disebalik kesungguhan kerajaan memerangi dadah. Usaha menangani gejala menghidu gam memerlukan tindakan segera sebelum ia sampai ketahap yang lebih kritikal dan sukar dibendung.

Ini berbeza daripada barat dimana kajian terutamanya di Amerika Syarikat dan Kanada telah bermula sejak tahun 1950an yang memberikan tumpuan kepada aktiviti hidu gam (Kerner 1988).

Definisi:

Secara umumnya, dadah ditakrifkan sebagai “Bahan psikoaktif yang digunakan bukan untuk tujuan perubatan yang mana penggunaannya dilarang”. Bahan ini menyebabkan pergantungan secara fizikal dan psikologikal serta peningkatan tahap toleransi. Inhalan seperti gam pula didefinisikan sebagai wap kimia yang mengandungi bahan psikoaktif yang boleh disedut menerusi pernafasan dan menyebabkan kesan-kesan psikoaktif seperti mengubah minda.

Masalah ini tinggi dalam kalangan remaja disebabkan oleh keinginan untuk mencuba dan sikap yang tidak membayangkan tindakan yang dilakukan kini akan memberi kesan pada masa hadapan.Mereka beranggapan bahawa mereka mempunyai kekuatan untuk mengatasinya dan boleh berhenti pada bila-bila masa.

Terdapat pelbagai cara dilakukan seperti:

  • Menghidu wap/gam daripada bekas
  • Menyembur terus aerosol ke dalam hidung atau mulut
  • Menggelembung – menghidu atau menyedut wap daripada bahan yang disembur ke dalam beg plastik atau beg kertas
  • “Huffing” pada kain yang diserap inhalan dan disumbat dalam mulut

Daripada salah satu kajian yang dijalankan di Kuching, Sarawak Malaysia oleh Agensi Antidadah Kebangsaan pada tahun 2008, statistik dan profil penagih inhalan secara umumnya menunjukkan bahawa sebahagian besar daripada penagih dadah inhalan mula menghidu gam pada umur antara 11-15 tahun dan purata umur meraka yang menghidu gam secara kerap adalah antara 16-20 tahun.

Kajian yang dibuat di Negara Barat mendapati golongan yang terlibat kebanyakannya golongan remaja yang berumur antara 18 – 29 tahun. Hanya sedikit sahaja remaja dibawah lingkungan umur ini terlibat. Dari bilangan yang terlibat itu 80 % adalah remaja lelaki. Kebanyakan yang terlibat juga adalah terdiri dari mereka yang belum berkahwin dan tidak mempunyai pekerjaan (Smart R.G, 1989). Kajian juga mendapati bahawa kebanyakan remaja yang terlibat datangnya dari keluarga yang bermasalah seperti perceraian dan juga anak-anak yang tidak mendapat perhatian dari ibu bapa (Albaugh 1979).

Dari sudut sosio ekonomi mereka adalah terdiri daripada golongan berpendatan rendah dan sederhana. Kebanyakan mereka terdiri dari pendatang seperti Mexican American dan Amerika Indian. Sungguhpun demikian fenomena inhalan merupakan suatu fenomena yang baru bagi kebanyakan negara di dunia (Navaratnam 1988).

Gejala dan Tanda

  • Muka dan mata menjadi merah
  • Sukar memberikan tumpuan dan perhatian
  • Nafas, baju dan rambut berbau gam/pelarut
  • Batuk-batuk dan sering berludah
  • Sifat kelam kabut dan resah
  • Kata-kata yang tidak jelas dan bercakap sendiri
  • Fikiran keliru dan terhoyong hayang.
  • Berkhayal
  • Hilang minat untuk bergaul dengan keluarga dan murung.
  • Diri tidak terurus

Komplikasi

Perbuatan hidu gam / pelarut telah banyak dikaitkan dengan kematian secara tiba-tiba. Keadaan ini berlaku kerana:

  • Keracunan/ketoksikan otot jantung yang menyebabkan denyutan jantung menjadi tidak normal atau “arrhythmia”
  • Sukar bernafas dan lemas
  • Kemalangan disebabkan oleh khayal

Selain dari itu kesan jangka panjang dari perbuatan hidu adalah:

  • Ketidakmampuan untuk berfikir secara lojik dan waras.
  • Keletihan
  • sifat pelupa
  • kekurangan berat badan
  • gangguan emosi
  • kekurangan pembentukan sel-sel darah di dalam tulang sum-sum
  • membawa kepada penggunaan dadah yang lebih serius seperti ganja dan heroin.

Rawatan

Tiada rawatan ubatan untuk berhenti dari menghidu gam.Ianya perlu motivasi diri dan kecekalan. Rawatan diberikan untuk masalah kesihatan/komplikasi disebabkan oleh menghidu gam.

Pencegahan

Elakkan dari mencuba menghidu gam.Jika menpunyai masalah, cuba berbincang dan cari jalan penyelesaian.Aktiviti menghidu gam tidak akan menghilangkan masalah,bahkan membawa kepada masalah mental dan fizikal yang lebih serius.

Pertubuhan Sokongan/ Rujukan

    • Albaugh, B., and Albaugh, P. Alcoholism and substance sniffing among the Cheyenne and Arapaho Indians of Oklahoma. Int J Addict 14(7) : 1001-1007, 1979.

 

    • Kerner , K.,1988. Current topics in inhalant abuse. In : Crider, R., and Rouse, B., eds. Epidemiology of Inhalant Abuse : An Update. Research Monograph 85.Rockville, MD : National Institute on Drug Abuse.

 

    • Navaratnam,R, 1988. The problem of Inhalant abuse in the South –East Asian / Western Pacific Region : A regional analysis. In Arif, A. ; Grant, M. ; and Navaratnam, V., eds. Abuse of Volatile solvents and Inhalants : Papers Presented at a W.H.O. Advisory Meeting. Penang, Malaysia : W.H.O. Training Center, Universiti Sains Malaysia, pp 16-23.

 

    • Smart, R.G., 1989. Inhalant use and abuse in Canada. In : Crider, R., and Rouse, B., eds. Epidemology of Inhalant Abuse : An Update. Rockville, MD : National Institute on Drug Abuse.

 

    • Laman web : www.adk.gov

 

  • Haslina H et al, 2008. “Lihat naga boleh, jadi goku pun boleh”: kajian remaja dan penyalahgunaan inhalan di daerah Kuching, Sarawak. Jurnal Antidadah Malaysia

Last Reviewed : 13 Mei 2013

Penulis: Dr. Lazli Bin Bakar

Artikel Berkaitan

Keterampilan Diri

Apakah maksud keterampilan diri? Keterampilan diri adalah cara kita melihat

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia