Latar belakang
Implan merupakan rawatan alternatif untuk mengganti gigi yang hilang. Implan boleh mengubah cara hidup seseorang dengan memberikan keselesaan dan keyakinan untuk makan, bercakap dan menikmati kehidupan seharian.
Kenapa perlu mengganti gigi yang hilang?
Kehilangan gigi perlu diganti untuk:
- mengelak gigi berhampiran tersesar atau bergerak mengisi ruang gigi yang hilang.
- memastikan pertuturan tidak terganggu.
- mengekalkan keselesaan mengunyah.
- memperbaiki paras rupa.
Apa fungsi implan gigi ?
Implan gigi digunakan untuk:
- Menggantikan sebatang gigi yang hilang dengan korona.
- Menggantikan beberapa gigi yang hilang dengan jambatan pergigian.
- Menggantikan kesemua gigi atas atau gigi bawah dengan gigi palsu (dentur).
Apakah bahan yang digunakan untuk membuat implan?
Implan diperbuat daripada aloi titanium – bahan yang bersesuaian dengan tulang dan tisu manusia.
Adakah semua orang boleh menerima implan gigi?
Tidak semua orang boleh menerima implan gigi. Untuk memastikan keberkesanan jangka panjang menggunakan implan, kriteria-kriteria berikut adalah perlu :
- Gusi dan gigi lain di dalam mulut yang sihat.
- Tidak merokok.
- Kebersihan mulut dan gigi yang baik.
- Kesihatan yang baik. Sebarang masalah kesihatan (contoh kencing manis) adalah dalam keadaan terkawal.
Bagaimana rawatan implan dilakukan?
Prosedur ini memerlukan pembedahan kecil dan keseluruhan rawatan mungkin memakan masa 3 hingga 6 bulan. Tulang rahang akan digerudi; dan implan akan ditanam ke dalam tulang. Ianya akan dibiarkan sehingga sembuh sebelum korona atau jambatan dipasangkan. Panduan penjagaan implan
- Amalkan penjagaan gigi dan mulut yang baik;
- Elak dari menggigit objek yang keras.
- Tidak merokok.
Berminat?
Lawati klinik pergigian untuk mendapatkan maklumat lanjut dan untuk menentukan adakah anda sesuai untuk menerima rawatan implan gigi.
Soalan-soalan yang kerap ditanya
- Mengapa rawatan implan gagal?Jawapan: Rawatan implan mungkin gagal kerana :
- Jangkitan
- Kebersihan mulut dan gigi yang tidak baik
- Perokok yang tegar
- Kegagalan implan bersatu dengan tulang rahang
- Berapakah kos rawatan implan?Jawapan: Aloi Titanium digunakan untuk implan dan ianya diketahui sangat mahal; kos rawatan bergantung kepada bilangan implan dan biaya rawatan sehingga selesai.
Semakan Akhir | : | 23 Ogos 2019 |
Penulis | : | Dr. Chew Yoke Yuen |
Dr. Norrizan bt. Basir | ||
Dr. Doreyat b. Jemun | ||
Dr. Che Noor Aini bt. Che Omar | ||
Penyemak | : | Dr. Roshima bt. Mohd Sharif |