Pendahuluan
Anda yakin bahawa anda tidak pernah tertinggal atau terlupa mengambil ubat, namun ubat masih tidak berkesan atas sebab yang tidak diketahui. Apabila keadaan ini berlaku, anda mula terfikir faktor-faktor yang menyebabkan kegagalan rawatan dan sebagai permulaan, interaksi ubat dan makanan seharusnya terlintas di fikiran anda.
Ia boleh berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan kepada bahan dalam ubat yang sedang diambil, menyebabkan ubat tersebut tidak bertindak seperti mana yang sepatutnya. Kepentingan interaksi antara ubat dengan ubat sering ditekankan kepada profesional kesihatan dan pesakit. Walau bagaimanapun, kurang perhatian diberikan kepada interaksi ubat dan makanan meskipun ia mampu menjejaskan kesihatan atau mengancam nyawa individu.
The significSelain itu, kebanyakan individu di seluruh dunia termasuklah warga Malaysia mempunyai kepercayaan bahawa herba adalah tumbuhan yang tidak berbahaya tanpa mengetahui bahawa terdapat sesetengah ubat-ubatan yang diperolehi daripada tumbuhan seperti morfin, atropine dan juga ubat kemoterapi.
Oleh sebab kepercayaan ini serta kebimbangan untuk mengakui amalan mereka kepada profesional kesihatan, pesakit lazimnya tidak memaklumkan sejarah pengambilan herba dengan ubat-ubatan yang diambil.
Jenis Interaksi Ubat dan Makanan
Interkasi ubat dan makanan adalah saling tindak balas yang terjadi apabila ubat diambil bersama-sama sesetengah jenis makanan. Ia boleh berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan kepada bahan dalam ubat yang sedang diambil, menyebabkan ubat tersebut tidak bertindak seperti mana yang sepatutnya. Interaksi ubat dan makanan boleh:
- Menghalang tindakan ubat yang sepatutnya
- Meningkatkan atau mengurangkan keberkesanan ubat
- Menyebabkan kesan sampingan
Terdapat dua kategori interaksi makanan iaitu interaksi nutrien dan ubat serta interaksi herba dan ubat.
Interaksi nutrient dan ubat berlaku apabila makanan yang dimakan memberi kesan terhadap ubat. Faktor-faktor seperti masa pengambilan ubat dan jenis makanan yang dimakan perlu ditekankan untuk mengelakkan kesan yang memudaratkan. Antara jenis interaksi ubat dengan makanan yang lazim berlaku adalah dengan alkohol, makanan yang mengandungi tyramine (contohnya tapai, coklat, keju) dan minuman berkafein (Rujuk Jadual 1).
JADUAL 1 : INTERAKSI UBAT DAN MAKANAN
PENYAKIT
|
KUMPULAN UBAT
|
INTERAKSI MAKANAN
|
CONTOH UBAT & (NAMA JENAMA)
|
---|---|---|---|
ALERGI | Antihistamin | Ambil tanpa atau dengan makanan. ‘Bioavailability’(tempoh masa ubat bertindak) berkurangan dengan jus epal, oren dan limau gedang. |
|
ARTHRITIS/KESAKITAN | Analgesik | Ambil semasa perut kosong untuk kelegaan pantas. |
|
ARTHRITIS/KESAKITAN | Non-Steroidal Anti Inflammatory Drugs (NSAIDs) | Ambil dengan makanan atau susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut. |
|
ARTHRITIS/KESAKITAN | Kortikosteroid | Ambil dengan makanan atau susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut. |
|
ASMA | Bronchodilators | Makanan yang tinggi dengan kandungan lemak boleh meningkatkan jumlah theophylline dalam badan, manakala makanan yang kaya dengan karbohidrat akan mengurangkannya. Elakkan makan / minum makanan / minuman berkafein dalam jumlah yang banyak. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | Diuretik | Ambil semasa perut kosong atau bersama-sama susu untuk mengurangkan ketidakselesaan perut. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | Beta Blockers | Ambil bersama-sama makanan untuk meningkatkan bioavailability. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | Nitrates | Ambil semasa perut kosong. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | Angiotensin Coverting Enzymes Inhibitors(ACEI) | Ambil semasa perut kosong.Pastikan pengambilan air yang mencukupi. Elakkan makanan bergaram. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | MNG-CoA Reductase inhibitors (Statins) | Elakkan limau gedang / buah sitrus. Elakkan makanan tinggi serat. Seeloknya diambil sebelum waktu tidur. |
|
PENYAKIT KARDIOVASKULAR | Antipenggumpalan | Hadkan pengambilan makanan yang tinggi dengan vitamin K seperti brokoli, sayur hijau, kobis bunga kerana ia menghasilkan bahan penggumpalan darah yang boleh mengurangkan keberkesanan ubat. Vitamin E (400 IU atau lebih) mungkin memanjangkan tempoh penggumpalan darah hingga boleh menyebabkan pendarahan. |
|
JANGKITAN | Penicillin/Quinolones/Cephalosporins | Ambil ketika perut kosong (1 jam sebelum makan atau 2 jam selepas makan). Sekiranya ia mengganggu perut, ambil dengan makanan, tetapi bukan dengan produk tenusu atau yang mengandungi kalsium. Quinolone: Elakkan kafein kerana ia boleh menyebabkan lebih teruja serta kebimbangan. |
|
JANGKITAN | Macrolides | Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal. Elakkan makanan sitrus, minuman berkarbonat dan jus sitrus. |
|
JANGKITAN | Sulfonamides | Ambil bersama-sama makanan dan sekurang-kurangnya 8 auns air. |
|
JANGKITAN | Tetracycline | Ambil bersama-sama makanan dan sekurang-kurangnya 8 auns air. Elakkan mengambilnya dengan produk tenusu, antacid, suplemen vitamin yang mengandungi zat besi kerana ia boleh mengganggu kesan ubat. |
|
JANGKITAN | Nitromidazole | Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal. |
|
JANGKITAN | Antikulat | Diambil bersama-sama makanan untuk meningkatkan kadar serapan ubat. Jangan ambil itraconazole dengan buah sitrus. |
|
MOOD DISORDER | Monoamine Oxidase (MAO) Inhibitors | Jangan ambil makanan atau minuman beralkohol yang mengandungi tiramina (tyramine),(contohnya, keju, tapai, kicap, tofu, pisang, kismis, kafein) apabila mengambil ubat ini dan dua minggu selepas berhenti mengambil ubat ini. |
|
MOOD DISORDER | Anti-Anxiety | Boleh diambil bersama-sama makanan untuk mengurangkan kesan gastrointestinal. Pengambilan kafein mungkin boleh menyebabkan lebih teruja dan mengurangkan kesan anti-keresahan ubat tersebut. |
|
MOOD DISORDER | Antidepresi | Diambil bersama-sama atau tanpa makanan. |
|
SAKIT PERUT | Histamine Blockers | Diambil bersama-sama atau tanpa makanan. Pengambilan kafein mungkin boleh mengganggu perut. |
|
Interaksi herba dan ubat berlaku apabila pengguna mengambil herba tersebut dan menyebabkan kesan yang tidak diingini, meliputi daripada reaksi alergi sehingga kepada kesan toksik pada sistem kardiovaskular, hepatik, renal, neurologikal dan dermatologikal. Kecenderungan untuk mengambil herba pada dos yang tinggi atau dalam tempoh yang berpanjangan semasa pengambilan ubat (dalam jangka masa yang lama) boleh menyebabkan kemudaratan. Contoh sediaan herba yang boleh menyebabkan interaksi dengan ubat adalah ginseng, kunyit, bawang putih, gingko biloba, halia, dong quai, neem, tulasi dan banyak lagi (Rujuk Jadual 2).
JADUAL 2: INTERAKSI UBAT DAN HERBA
Herba / Suplemen
|
Ubat
|
Interaksi /
Kesan Yang Mungkin Berlaku |
---|---|---|
Ginseng
meransang kelenjar adrenal yang akan meningkatkan tenaga dan mengurangkan kandungan gula dalam darah |
Warfarin | Boleh mengurangkan keberkesanan ubat |
Kortikosteroids | Boleh memperkuat dan meningkatkan kesan ubat | |
Antihypertensive | Boleh meningkatkan tekanan darah | |
MAOIs | Boleh meningkatkan insomnia, sakit kepala, dan menggeletar. | |
Gingko Biloba
untuk rawatan demensia dan menguatkan daya ingatan |
Aspirin | Pendarahan |
Warfarin | Pendarahan | |
Thiazide | Darah tinggi | |
Bawang putih
mengurangkan tekanan darah dan kolesterol |
Warfarin | Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan. |
Halia
untuk loya dan kejang otot |
Warfarin | Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan. |
Dong Quai
untuk mengawal symptom menopaus |
Warfarin | Meningkatkan keberkesanan warfarin sehingga boleh menyebabkan pendarahan. |
St. John’s wort
bahan anti-kemurungan semula jadi untuk depresi |
Amitriptyline | Menjadikan kemurungan semakin bertambah teruk kerana ia mengurangkan kepekatan ubat dalam darah. |
Digoxin | Mengurangkan kepekatan digoxin lalu menyebabkan berkurangnya keberkesanan digoxin | |
Theophylline | Menyebabkan tanda-tanda dan symptom asma semakin buruk kerana ia mengurangkan kepekatan ubat dalam darah. | |
Oestrogen | Menyebabkan breakthrough bleeding (pendarahan dari vagina yang berlaku antara haid). | |
Teh Hijau
sebagai antioksida |
Kalsium | Mengurangkan penyerapan kalsium |
Warfarin | Aktiviti warfarin berkurangan kerana kandungan vitamin K yang tinggi dalam herba. | |
Kunyit
sebagai anti inflamatori untuk merawat masalah usus dan hati serta penyakit kulit dan luka |
NSAIDs | Boleh menyebabkan pendarahan dan iritasi perut |
Warfarin, Aspirin | Meningkatkan keberkesanan ubat ini sehingga boleh menyebabkan pendarahan | |
Ranitidine,Omeprazole | Boleh meningkatkan penghasilan asid dalam perut | |
AzadirachtaIndica (Neem)
antiseptik, antiviral, antipiretik, antiinflamasi, antiulser |
Insulin | Boleh merendahkan lagi kandungan gula dalam darah |
Immunosuppressants (Cth: :Cyclosporine Azathioprine) | Boleh meningkatkan sistem imun hingga menyebabkan kurangnya keberkesanan ubat. | |
Ocimumtenuiflorum (tulasi) untuk selsema, sakit kepala |
Antipenggumpalan darah, antiplatelet | Boleh memperlahankan penggumpalan darah sehingga menyebabkan pendarahan |
Eurycoma Longifolia (Tongkat Ali)
meransang hormone lelaki, meningkatkan libido |
Immunosuppressants | Boleh melemahkan lagi sistem imun. |
Mekanisma Interaksi Ubat dan Makanan
Memahami mekanisme interaksi ubat dan makanan, adalah salah satu langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kesan yang tidak dikehendaki, dan seterusnya memastikan anda mendapat semua faedah yang diperlukan daripada pengambilan ubat tersebut.
Mekanisme ini adalah dikategorikan kepada dua jenis iaitu mekanisme farmakokinetik dan farmakodinamik.
Beberapa mekanisme farmakokinetik mungkin berlaku apabila terdapat peningkatan atau pengurangan dalam:
- Penyerapan ubat ke dalam badan
- Penyebaran ubat di dalam badan
- Ubat di dalam badan
- Penyingkiran ubat dari badan
Aktiviti ubat yang semakin meningkat akibat pengambilan makanan adalah contoh klasik bagi interaksi farmakodinamik. Sebagai contoh, kesan antipenggumpalan oleh warfarin semakin bertambah dengan pengambilan gingko biloba dan mungkin juga herba-herba yang lain.
Kesan Interaksi Ubat dan Makanan
Terdapat dua jenis implikasi kepada tubuh badan, sama ada boleh memberi kesan yang baik atau memudaratkan. Kesan yang memudaratkan perlu diberi perhatian memandangkan ia boleh mengurangkan kesan terapeutik yang diharapkan atau meningkatkan kesan advers yang dialami.
Apabila penyerapan ubat berkurang akibat pengambilan makanan, ubat ini perlu diambil ketika perut kosong. Selain itu, makanan yang mengurangkan penyerapan atau meningkatkan metabolisma metabolisme atau penyingkiran ubat mempunyai kecenderungan untuk mengurangkan keberkesanan ubat. Perkara ini boleh menyebabkan kegagalan terapi dan boleh meningkatkan risiko kesan sampingan.
Oleh yang demikian, adalah wajar bagi pengguna untuk mengambil tahu berkenaan kesan interaksi ubat yang mungkin boleh berlaku (Rujuk Jadual 2).
Langkah-Langkah Keselamatan Pengubatan
9 tips untuk mengelakkan interaksi ubat dan makanan:
- Sentiasa BACA LABEL pada sampul ubat dan sisip bungkusan (arahan pengambilan, peringatan, interaksi, langkah berjaga-jaga) yang dilampirkan bersama-sama bekas ubat.
- Adalah sangat penting untuk MEMATUHI ARAHAN yang diberikan berkenaan cara pengambilan ubat yang selamat seperti yang telah diterangkan oleh ahli profesional kesihatan.
- Ambil ubat bersama-sama segelas AIR KOSONG. Jangan campur ubat ke dalam minuman panas kerana suhu yang tinggi boleh mengurangkan keberkesanan sesetengah ubat.
- JANGAN CAMPUR ubat ke dalam makanan kecuali diarahkan berbuat demikian.
- JANGAN ambil herba pada MASA YANG SAMA ketika mengambil ubat.
- JANGAN ambil ubat bersama-sama ALKOHOL.
- SENTIASA MAKLUMKAN doktor atau ahli farmasi berkenaan ubat-ubatan serta herba / yang sedang diambil.
- MAKLUMKAN ahli profesional kesihatan berkenaan sebarang PERUBAHAN dalam rutin harian (senaman, diet, pengambilan alkohol)
- Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan atau kemusykilan berkenaan interaksi ubat-ubatan yang mungkin berlaku, BERTANYALAH PADA DOKTOR / AHLI FARMASI.
Kesimpulan
Keberkesanan ubat adalah penting bagi memastikan penyakit yang dialami adalah terkawal atau sembuh. Oleh yang demikian, ingatlah sebarang interaksi ubat dan makanan yang mungkin berlaku apabila anda mengambil ubat. Pastikan anda mengamalkan tips yang diberi untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini dan memastikan ubat yang dimakan adalah berkesan. Jangan ragu-ragu untuk mendekati ahli profesional kesihatan, kerana kami sedia membantu anda!
Rujukan
- C.A.Santos& J.I. Boulatta. An Approach to Evaluating Drug-Nutrient Interactions (2005) Pharmacotherapy, 25(12):1789-1800.
- J.Anderson&J.Roach. Nutrient-Drug Interactions and Food (2008) Colorado State University
- L.Miller. Herbal Medicinals,(1998) Archives of Internal Medicine,158:2200-2209.
- M.A. Kuhn: Herbal Remedies. Drug-Herb Interactions( 2002) Critical Care Nurse Journals,22-32.
- S.E.Bland. Drug Food interactions:Pharmacotherapy Perspectives (1998) Journal of the Pharmacy Society of Wisconsin
- V.Parmar. Herbal Medicines:Its Toxic Effects & Drug Interactions (2005) The Indian Anaesthetists’ Forum.
Semakan Akhir | : | 04 Disember 2014 |
Penulis | : | Puteri Juanita bt. Zamri |
Penterjemah | : | Hazlin bt. Othman |
Akreditor | : | Munira bt. Muhammad |
Reviewer | : | Che Pun bt. Bujang |