A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Remaja
  4. /
  5. Kesihatan Fizikal
  6. /
  7. Penyakit Biasa
  8. /
  9. Jangkitan Saluran Kencing

Jangkitan Saluran Kencing

Kuman yang menyebabkan jangkitan salur kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan saluran kencing keluar badan (uretra)

  • Jangkitan saluran kencing adalah penyakit biasa di kalangan warga emas.
  • Jangkitan di mana-mana bahagian saluran kencing dikenali sebagai jangkitan salur kencing.
  • Diagnosa, pencegahan dan rawatan untuk golongan warga emas mungkin susah kerana gejala-gejala jangkitan kurang ketara dan daya pertahanan badan berkurangan dengan peningkatan umur.
  • Kebanyakan jangkitan salur kencing boleh diubati dengan mudah dan berkesan.

Penyebab-penyebab

  • Kuman yang menyebabkan jangkitan salur kencing selalunya berasal dari kulit berhampiran dengan pembukaan saluran kencing keluar badan (uretra).
  • Kaum wanita lebih senang dijangkiti oleh jangkitan salur kencing kerana mereka mempunyai saluran kencing keluar badan (uretra) yang lebih pendek berbanding dengan kaum lelaki. Oleh itu, kuman boleh sampai ke pundi kencing dengan lebih mudah kerana jarak yang pendek.
  • Kaum wanita yang lebih tua lebih mudah mendapat jangkitan salur kencing kerana pengurangan paras hormon (estrogen) selepas putus haid boleh mengakibatkan penipisan dinding saluran kencing keluar badan (uretra) dan melemahkan pertahanannya terhadap jangkitan.
  • Untuk kaum lelaki yang lebih tua, kelenjar prostat boleh membengkak (satu keadaan dikenali sebagai Pembengkakan Kelenjar Prostat Bukan Kanser) dan boleh menekan ke atas saluran kencing keluar badan (uretra) dan mengganggu pengaliran air kencing. Kelenjar prostat mungkin juga boleh dijangkiti dan kuman boleh merebak dari kelenjar prostat ke saluran kencing.
  • Pengaliran air kencing dari pundi kencing mungkin menjadi luar biasa disebabkan oleh otot pundi kencing yang mengecut dengan lemah atau saraf yang mengawal pundi kencing rosak.
  • Prosedur perubatan yang memerlukan tiub dimasukkan ke dalam saluran kencing boleh menambahkan risiko jangkitan salur kencing.
  • Jarang-jarang sekali, kuman dari jangkitan di tempat lain pada badan seseorang boleh menjangkiti buah pinggang melalui darah mengakibatkan jangkitan buah pinggang.

Jenis-jenis kuman

  • Escherichia coli adalah kuman yang paling kerap menyebabkan jangkitan salur kencing.
  • Kuman lain seperti Klebsiella, Enterobacter, Proteus, Pseudomonas, Enterococcus dan Staphylococcus juga boleh menyebabkan jangkitan.
  • Kulat (seperti Candida) dan virus jarang menjadi punca jangkitan.

Tanda dan Gejala

  • Sakit semasa kencing, kencing lebih kerap, terutamanya waktu malam (nocturia) dan berasa terdesak ke tandas semasa ingin kencing (urgency).
  • Mungkin mengakibatkan kencing terkeluar di luar kawalan disebabkan oleh pesakit berasa terdesak semasa ingin kencing.
  • Demam jarang terjadi kecuali jangkitan tersebut telah merebak ke bahagian atas saluran kencing atau merebak ke dalam darah.
  • Sakit di bahagian belakang atau tepi badan mungkin disebabkan oleh jangkitan buah pinggang (pyelonephritis).
  • Kekeliruan mungkin terjadi terutamanya jika pesakit mempunyai demam yang tinggi.
  • Air kencing mungkin berbau busuk atau kelihatan keruh atau berdarah.
  • Kadang-kala, tiada sebarang gejala walaupun kuman berada di dalam pundi kencing. Ini dikenali sebagai “asymptomatic bacteriuria”.

Diagnosa

  • Doktor selalunya mengesyaki jangkitan salur kencing berdasar kepada gejala sahaja.
  • Ujian ke atas air kencing akan mengesahkan diagnosa.
  • Sampel air kencing diperolehi selepas kulit di sekeliling saluran kencing keluar badan (uretra) dibersihkan, lalu air kencing dimasukkan ke dalam sebuah bekas yang bersih.
  • Air kencing akan diuji dengan kertas ujian untuk mengesan nitrites (sejenis bahan yang dikeluar oleh kuman) dan sel darah putih dalam air kencing.
  • Air kencing boleh dihantar ke makmal untuk diperiksa di bawah teropong halus (microscope) untuk mengesan kehadiran sel darah putih dan kuman atau membiak kuman tersebut untuk mengenalpasti jenis kuman (urine culture).
  • Ujian darah (Full blood count) boleh dilakukan untuk mengesan kehadiran bilangan sel darah putih yang banyak, mungkin merupakan salah satu tanda jangkitan.
  • Ujian darah boleh dilakukan untuk membiak kuman dan mengesan kuman yang telah merebak dari saluran kencing ke saluran darah (blood culture).
  • Warga emas dengan jangkitan salur kencing yang berulang mungkin memerlukan ujian tambahan seperti mengukur saki-baki air kencing di dalam pundi kencing selepas seseorang itu selesai kencing (residual urine).
  • Jangkitan salur kencing yang berulang perlu dinilai dengan pemeriksaan ke atas struktur sistem saluran kencing dengan ujian tertentu seperti ultrasound scan.

Komplikasi

  • Adakala, kuman-kuman boleh merebak dari pundi kencing melalui salah satu ureter (iaitu saluran kencing dari pundi kencing ke buah pinggang) dan mengakibatkan jangkitan yang lebih teruk pada buah pinggang (pyelonephritis).
  • Sekali-sekala, jangkitan salur kencing boleh merebak ke dalam darah (sepsis), mengakibatkan komplikasi yang lebih teruk dan mungkin juga membawa kematian.

Rawatan

  • Jangkitan salur kencing yang mempunyai gejala akan dirawat dengan ubat antibiotik.
  • Jika kulat merupakan punca jangkitan, ubat untuk merawat kulat akan digunakan.
  • Jika seseorang mempunyai jangkitan salur kencing tetapi tidak mempunyai sebarang gejala, rawatan biasanya tidak diperlukan.
  • Antibiotik selalunya diberi melalui mulut.
  • Untuk rawatan jangkitan buah pinggang (pyelonephritis), antibiotik selalunya diberi melalui jarum yang dimasukkan terus ke dalam saluran darah. Pesakit dengan Diabetes, sistem daya tahan badan yang lemah, atau sebarang gangguan yang boleh menyekat pengaliran air kencing mungkin memerlukan rawatan antibiotik yang berpanjangan untuk membunuh segala jangkitan.
  • Pembedahan atau prosidur lain mungkin perlu untuk melegakan sekatan fizikal ke atas pengaliran air kencing atau membetulkan struktur yang luar biasa di sistem saluran kencing.
  • Mengalir keluar air kencing dari bahagian saluran air kencing yang tersumbat boleh membantu mengawal jangkitan dan mencegah kerosakan buah pinggang.

Jangkitan salur kencing yang berulang

  • Jangkitan salur kencing selalunya mudah dirawat dengan ubat.
  • Walau bagaimanapun, jangkitan salur kencing yang seterusnya boleh terjadi jika kuman tidak dibunuh sepenuhnya dari saluran kencing semasa rawatan.
  • Jangkitan kali kedua disebabkan oleh kuman yang sama dikenali sebagai jangkitan berulang.
  • Jangkitan disebabkan oleh satu jenis kuman boleh diikuti dengan jangkitan kuman yang lain dengan cepatnya.
  • Salah satu punca kejadian jangkitan berulang ialah kegagalan mengambil antibiotik untuk tempoh yang betul atau dos yang mencukupi untuk membunuh semua kuman dari saluran kencing.
  • Jangkitan berulang boleh terjadi bila struktur yang luar biasa di saluran kencing berkekalan.

Pencegahan

  • Mempertingkatkan kebersihan diri dan menambah pengambilan cecair boleh membantu mencegah kejadian jangkitan salur kencing.
  • Jika tiub dimasukkan ke dalam saluran kencing, ia perlu dikeluarkan secepat mungkin jika boleh untuk mencegah jangkitan.
Semakan akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Ho Bee Kiau
Penyemak : Dr. Ho Bee Kiau

Artikel Berkaitan

Sawan

Download: Sawan demam adalah sawan yang disebabkan oleh demam panas

Asma

Apakah asma? Ia adalah penyakit paru-paru. Ia disebabkan oleh keradangan kronik saluran pernafasan.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,822

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia