Pengenalan
Rawatan ortodontik kebiasaannya melibatkan pemakaian alat pendakap (tetap/boleh tanggal) yang bertujuan untuk membetulkan susunan gigi dan juga memperbaiki penampilan rupa paras/wajah selain daripada membetulkan fungsi kegigian. Rawatan ini mengambil masa yang lama untuk selesai, jadi anda perlu memberi perhatian yang lebih terhadap penjagaan kebersihan mulut di rumah. Ini adalah untuk mengelakkan kejadian kerosakan gigi dan keradangan gusi yang disebabkan oleh pengumpulan plak gigi /tahi gigi. Selain itu, pengawalan diet pemakanan semasa tempoh rawatan ortodontik juga amat penting dalam pengekalan kesihatan pergigian.
Mengapa penting untuk menjaga kebersihan gigi dan pendakap gigi sepanjang masa?
Sisa makanan dan plak lebih mudah terkumpul di sekeliling alat pendakap yang dipakai. Ini menyebabkan pembersihan gigi menjadi lebih sukar. Alat pendakap boleh tanggal ( ABT ) boleh ditanggalkan untuk pembersihan, manakala alat pendakap tetap yang lekat pada permukaan gigi tidak boleh ditanggalkan untuk pembersihan. Pembersihan yang tidak sempurna mengakibatkan gusi bengkak dan kerosakan gigi pada peringkat awal.
Gusi yang bengkak dan berdarah adalah tanda-tanda inflamasi gusi/ keradangan gusi yang disebabkan oleh pengumpulan plak gigi. Walaupun diketahui bahawa keradangan gusi akan berkurangan setelah braket ditanggalkan tetapi sekitar 10% pesakit ortodontik didapati mengalami kehilangan lekatan (attachment) gusi / gusi menyusut secara kekal ( Zachrisson, 1976).
Kerosakan awal gigi dikesan sebagai tanda berwarna putih (lesi tompok putih) pada permukaan gigi yang disebabkan oleh ancaman asid daripada bakteria di dalam plak. Gorelick et al (1982) melaporkan bahawa 50% daripada pemakai alat pendakap tetap (braces) mengalami lesi tompok putih pada permukaan gigi berbanding dengan hanya 25% yang tidak memakai alat pendakap tetap. Pembersihan gigi dan braket secara teliti dapat mengurangkan masalah ini jika dikesan pada peringkat dari awal. Jika sebaliknya, lesi tompok putih ini akan berkembang menjadi karies (gigi berlubang).
Rawatan Ortodontik akan menjadi sia-sia jika kerosakan gigi dan gusi dikesan di penghujung rawatan akibat pengabaian kebersihan mulut!
Apakah langkah-langkah penjagaan di rumah yang perlu diambil jika memakai pendakap gigi?
- Jika anda memakai pendakap tetap,masa yang diperlukan untuk proses pembersihan gigi adalah lebih daripada biasa. Celah-celah di antara pendakap dan di pinggir gusi harus diberus dengan lebih sempurna menggunakan berus gigi dan ubat gigi yang sesuai. Penggunaan berus interdental atau flos/benang gigi dapat membantu pembersihan antara celah gigi, sekeliling braket dan di bawah dawai. Sebaik-baiknya, gigi harus diberus setiap kali selepas makan dan lebih penting lagi sebelum tidur.Di samping memberus gigi, penggunaan harian bahan kumur berfluorida (0.05% Sodium Fluorida) dapat melindungi gigi daripada kerosakan (Benson P.E. et al, 2005). Kehadiran fluorida di dalam mulut dapat membentuk lapisan ‘fluorapatite’ di atas permukaan gigi yang dapat menghalang pembentukan tompok-tompok putih dan seterusnya menghalang kerosakan gigi yang lebih teruk.
( Chang et al, 1997 ) - Jika anda menggunakan alat pendakap boleh tanggal / alat pemegang, ia mesti ditanggalkan untuk tujuan pembersihan. Gunakan berus gigi berbulu lembut untuk membersihkan alat ini. Anda juga boleh menggunakan bahan pembersih alat pendakap atau gigi palsu untuk membuang enapan (deposit) pepejal (karang gigi) di samping menyegarkan bau alat pendakap.
- Cuba elakkan mengambil makanan yang manis, keras seperti kekacang dan melekit seperti gula toffee dan gula-gula getah kerana ia menyebabkan kerosakan kepada alat pendakap. Elakkan minuman ringan bergas kerana kandungan asid di dalamnya akan menghakis permukaan gigi, menyebabkan lapisan enamel menipis. Kekerapan mengambil makanan atau minuman yang tinggi kandungan gula harus dielakkan untuk mengurangkan ancaman asid dalam mulut (Yip et al, 2009).
- Hubungi Pakar Ortodontik anda jika berlaku kerosakan atau braket menjadi longgar, supaya temu janji segera dapat diatur. Anda juga perlu mengambil perhatian bahawa alat pendakap tetap yang selalu tercabut akan memanjangkan tempoh rawatan. Pakar Ortodontik akan menyarankan penggunaan lilin lembut pada bahagian braket yang bergeser dengan bibir dan pipi untuk mengelakkan terjadi ulser.
Sekiranya anda berminat untuk menerima rawatan ortodontik dengan alat pendakap, penjagaan kebersihan dan kesihatan mulut sepanjang rawatan adalah sangat penting. Dengan memberi perhatian lebih kepada penjagaan di rumah, anda sebenarnya dapat mengelakkan kerosakan teruk pada gigi dan gusi. Justeru itu, apabila rawatan ortodontik anda selesai, anda akan mempunyai senyuman yang cantik dan sihat untuk sepanjang hayat!
Rujukan
- Zachrisson, BU. (1976). Cause and prevention of injuries to teeth and supporting structures during orthodontic treatment. American Journal of Orthodontics, 69, 285-300.
- Gorelick, L., Geiger, A.M., Gwinnett, A.J.(1982). Incidence of white spot formation after bonding and banding. American Journal of Orthodontics, 81, 93–8.
- Andersson, R., Arvidsson, E., Crossner, C.G, Holm A.K., Mansson, B., Grahnen, H. (1974).The flow rate, pH and buffer effect of mixed saliva in children. J Int Assoc Dent Child, 5, 5-12.
- Benson, P.E., Shah, A.A., Millett, D.T., Dyer, F., Parkin, N., Vine, R.S. (2005). Fluorides, orthodontics and demineralization: a systematic review. Journal of Orthodontics, 32,102-114.
- Chang, H. S., Walsh, L.J., Freer, T.J. (1997). Enamel demineralization during orthodontic treatment: Aetiology and prevention. Australian Dental Journal, 42(5), 322- 7.
- Yip, H.H.Y., Wong, R.W.K., Hägg, U., (2009). Complications of orthodontic treatment: Are soft drinks a risk factor? World Journal of Orthodontics, 10, 33-40.
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Surguna Devi a/p R.S. Muniandy |
Penterjemah | : | Dr. Yatimah bt. Othman |
Akreditor | : | Dr. Goh Ai Hwa |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Rashidah bt. Dato’ Hj. Burhanudin |