A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Dewasa
  4. /
  5. Gaya Hidup
  6. /
  7. Penjagaan Mata
  8. /
  9. Kanta Sentuh Berwarna/Kosmetik

Kanta Sentuh Berwarna/Kosmetik

Kanta sentuh adalah merupakan alat alternatif bagi merawat masalah rabun. Ia sering digunakan oleh mereka yang tidak mahu memakai cermin mata bagi mengekalkan rupa paras dan mereka yang aktif bersukan. Dengan kewujudan kanta sentuh berwarna/kosmetik, pemakaian kanta sentuh menjadi lebih popular sebagai alat aksesori kecantikan. Permintaan yang meningkat terhadap kanta sentuh kosmetik menyebabkan banyak ejen yang tidak berdaftar menjualnya terus kepada pembeli tanpa melalui pengamal yang bertauliah.

Contoh Kanta sentuh berwarna/kosmetik

Masalah Berkaitan Kanta Sentuh Berwarna/Kosmetik

Beberapa masalah berkaitan kanta sentuh berwarna/kosmetik meningkat disebabkan oleh

  • Peningkatan penggunaan kanta sentuh kosmetik di kalangan remaja,
  • Penjualan kanta sentuh kosmetik oleh ejen yang tidak berdaftar,
  • Perkongsian kanta sentuh kosmetik di kalangan pengguna, dan
  • Kurang kesedaran di kalangan orang awam tentang risiko berkaitan kanta sentuh kosmetik.

1. Peningkatan penggunaan kanta sentuh kosmetik.

Mata yang normal mempunyai tisu berwarna yang dikenali sebagai iris. Warna iris berbeza-beza di antara individu. Kebanyakan orang Asia mempunyai iris yang berwarna coklat pekat mahupun kehitaman.

Dengan meningkatnya teknologi di dalam pengeluaran kanta sentuh kosmetik, berbagai warna dan corak kanta sentuh kosmetik dapat dihasilkan bagi memenuhi kehendak pengguna mengikut fungsi yang berbeza seperti:

  • Mencantikkan rupa paras mata sipemakai,
  • Mengujudkan sesuatu penampilan oleh pengguna (contohnya digunakan oleh artis bagi sesuatu watak di dalam filem)
  • Meniru gaya artis pujaan.
Kanta kosmetik yang mencantikkan mata Kanta kosmetik yang mengubah penampilan sipemakai

2. Penjualan kanta sentuh kosmetik oleh ejen yang tidak berdaftar.

Kini kanta sentuh kosmetik boleh dibeli dengan mudah oleh sesiapa saja di gerai tepi jalan, pusat kecantikan, mahupun Pasar malam. Kanta sentuh kosmetik juga boleh dibeli secara dalam talian. Pengguna kanta sentuh kosmetik terutama yang tiada mengalami masalah penglihatan membeli dan menggunakan kanta tersebut tanpa melalui pemeriksaan mata oleh doktor mata atau Pegawai Optometris. Pembelian dari ejen yang tidak berdaftar menyebabkan pengguna tidak memperolehi nasihat yang betul tentang cara penjagaan dan penggunaan kanta sentuh. Pengguna juga tidak sedar akan komplikasi yang boleh terjadi disebabkan oleh penggunaan kanta sentuh kosmetik.

3. Perkongsian kanta sentuh kosmetik

Kebanyakan kanta sentuh kosmetik adalah merupakan kanta plano (kanta tanpa kuasa refraktif). Oleh itu pengguna, terutama kalangan remaja sering berkongsi kanta sentuh mereka. Ini terjadi dalam beberapa keadaan seperti:

  • Membolehkan mereka mempunyai lebih banyak pilihan tanpa mengeluarkan wang yang banyak.
  • Kanta sentuh kosmetik digunakan oleh jurusolek untuk memadankan warna mata dengan warna pakaian pengantin. Jurusolek sering menggunakan kanta sentuh kosmetik yang sama untuk pengantin-pengantin yang didandan olehnya.

4. Kurang pendedahan mengenai risiko berkaitan kanta sentuh kosmetik di kalangan masyarakat.

Pengguna kanta sentuh kosmetik sering beranggapan bahawa kanta sentuh kosmetik adalah sama seperti aksesori kecantikan yang lain. Mereka tidak mengetahui bahawa kanta sentuh kosmetik mempunyai risiko dan komplikasi yang sama dengan kanta sentuh yang digunakan untuk merawat penglihatan. Tiada banyak maklumat tentang masalah berkaitan kanta sentuh kosmetik yang diterbitkan berbanding maklumat dari iklan oleh pembekal dan penjual yang memaparkan kecantikan dan keindahan memakai kanta sentuh kosmetik.

Perkara Yang Perlu Diketahui Oleh Pengguna Kanta Sentuh Kosmetik

Sekiranya anda berhajat untuk memakai kanta sentuh kosmetik, anda perlu memberi perhatian terhadap perkara berikut:

  • Perkara yang harus dilakukan sebelum memakai kanta sentuh kosmetik,
  • Pengendalian dan penjagaan kanta sentuh kosmetik,
  • Risiko dan komplikasi berkaitan kanta sentuh kosmetik.

Memakai sebarang kanta sentuh termasuk kanta sentuh kosmetik boleh mengundang masalah mata yang serius sekiranya ianya tidak digunakan dengan betul.

1. Perkara yang perlu dilakukan sebelum memakai kanta sentuh kosmetik.

Lakukan pemeriksaan mata!

Pemeriksaan mata oleh doktor mata dan pegawai optometris perlu dilakukan bagi memastikan mata anda sesuai untuk memakai kanta sentuh. Doktor mata juga akan melakukan pengukuran pada mata anda bagi menentukan saiz (“lens fitting”) kanta sentuh yang akan digunakan. Ukuran kanta lekap yang tidak sesuai boleh menyebabkan kecederaan pada kornea anda. Sekiranya kanta sentuh terlalu ketat, ia boleh mencengkam dan menyebabkan calar pada mata anda. Sekiranya ia terlalu longgar, kanta sentuh akan berlipat dan terkeluar dari mata.

Blefaritis (radang kelopak mata) Konjuntivitis Kornea yang tidak sihat

Ketika pemeriksaan mata, doktor mata/pegawai optometris akan memastikan mata anda tidak kering, tiada tanda jangkitan kuman atau keradangan. Sekiranya anda mengalami keadaan seperti yang dinyatakan, anda tidak sesuai untuk memakai kanta sentuh.

Dapatkan preskripsi!

Setelah melakukan pemeriksaan, doktor mata atau Pegawai optometris akan memberi preskripsi untuk kanta sentuh termasuk kanta sentuh kosmetik. Preskripsi akan menyatakan jenama, ukuran kanta dan tarikh luput kanta.

Ikuti arahan penjagaan kanta sentuh anda!

Anda perlu mengikuti arahan penggunaan, cara cucian dan nyah kuman kanta sentuh yang dibeli. Sekiranya anda tidak dibekalkan, anda berhak mendapatkannya dari doktor atau Pegawai optometris yang membekalkan kanta sentuh anda.

2. Pengendalian dan penjagaan kanta sentuh kosmetik.

Memakai kanta sentuh kosmetik tidaklah semudah mengenakan aksesori kecantikan yang lain seperti bulu mata palsu atau anting-anting yang sepadan dengan pakaian anda. Kanta sentuh kosmetik memerlukan pengendalian yang betul dan penjagaan yang rapi. Sekiranya anda tidak mengendalikannya dengan betul, anda berisiko untuk mengalami komplikasi yang serius. Bagi menghindar komplikasi kebutaan, anda perlu mengikut arahan penjagaan seperti berikut:

  1. Cuci tangan anda sebelum memegang kanta sentuh dengan sabun tanpa pewangi.
  2. Keringkan tangan anda dengan menggunakan tuala bersih.
  3. Sekiranya anda ingin menggunakan semburan rambut, gunakan sebelum anda memasang kanta sentuh.
  4. Pakai alat kosmetik mata setelah anda memasang kanta sentuh bagi mengelakkan kanta sentuh terkena bahan kosmetik ketika memasangnya.
  5. Kanta yang berlainan menggunakan bahan pembersih yang berlainan. Guna bahan pembersih yang disarankan oleh pembekal.
  6. Jangan gunakan air paip untuk mencuci kanta sentuh anda. Kuman boleh hidup di dalam air paip dan boleh menyebabkan jangkitan pada mata anda.
  7. Cuci kanta anda dengan menggunakan jari kelingking dengan menyapu secara perlahan pada kanta yang diletakkan di telapak tangan bagi mengeluarkan kotoran.

Cuci bekas kanta sentuh anda dengan menggunakkan cecair steril setiap kali anda menggunakan kanta sentuh anda dan keringkan dengan mendedahkan pada udara.

3. Risiko dan komplikasi

Risiko dan komplikasi kanta sentuh kosmetik adalah sama dengan kanta sentuh yang digunakan untuk merawat kerabunan.

Antara risikonya adalah:

  • Luka atau calar pada lapisan atas bola mata, terutama bahagian kornea
  • Alahan menyebabkan mata gatal dan berair serta merah.
  • Kabur penglihatan
  • Jangkitan kuman (konjuntivitis dan ulser kornea)
  • Buta (akibat ulser kornea yang teruk)

Bila menggunakan apa jua jenis kanta sentuh termasuk kanta sentuh kosmetik, perhatikan tanda-tanda jangkitan kuman seperti:

  • Mata merah
  • Sakit mata yang berlarutan
  • Kabur penglihatan
  • Tahi mata berlebihan (“eye discharge”)

Keadaan mata seperti di atas adalah merupakan komplikasi pemakaian kanta sentuh. Sekiranya anda mengalami gejala seperti di atas, BERHENTI dari memakai kanta sentuh anda dan dapatkan pemeriksaan dan rawatan doktor mata dengan segera.. Jangkitan kuman boleh merebak dengan cepat dan menyebabkan kebutaan sekiranya tidak dirawat dengan segera dan berkesan.

Ulser kornea (jangkitan pada kornea) Calar pada kornea Alahan pada konjunctiva

Peringatan Penting

  • Dapatkan pemeriksaan mata oleh doktor mata atau Pegawai optometris yang bertauliah sebelum menggunakan kanta sentuh.
  • Dapatkan preskripsi untuk kanta sentuh yang akan anda gunakan.
  • Belilah kanta sentuh kosmetik dari pembekal yang berdaftar. Lihat dan pastikan permit untuk menjual kanta sentuh dipamerkan di kedai Optometri yang menjual kanta sentuh kepada anda.
  • Ikuti arahan pengendalian dan penjagaan kanta sentuh dengan teliti.
  • JANGAN berkongsi kanta sentuh dengan orang lain. Berkongsi kanta sentuh boleh menyebabkan penularan jangkitan.
  • JANGAN tidur tanpa menanggalkan kanta sentuh anda.

Anda bertanggungjawab bagi memastikan anda melakukan pemeriksaan mata, mendapatkan preskripsi dan membeIi kanta anda dari pembekal yang berdaftar demi keselamatan mata anda.

INGAT!!!

Mata adalah merupakan anugerah yang berharga. Mata yang CANTIK datang dari mata yang SIHAT.

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Salmah bt. Othman
Akreditor : Dr. Hjh. Nor Fariza bt. Ngah
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,457

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia