A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Kecederaan pada gigi dan tisu sekelilingnya seringkali berlaku.Kajian mendapati 1/3 kanak-kanak prasekolah telah mengalami kecederaan kepada gigi susunya. Di kalangan kanak-kanak sekolah pula, ¼ daripada mereka pernah mengalami kecederaan kepada gigi kekal dan di kalangan orang dewasa,¼ pernah mengalami kecederaan kepada kegigian kekal. (Glendor, 2008)

Punca berlakunya kecederaan pada tisu kegigian

Kanak-kanak baru bermula belajar berjalan, berlari, memanjat, menaiki basikal dan sebagainya akan sering terjatuh dan mencederakan tisu kegigiannya. Kecederaan dalam mulut juga boleh berlaku jikalau kanak-kanak tersebut jatuh / ditolak semasa ada objek seperti sudu / pensel dan lain-lain dalam mulut.

Dalam situasi apakah saya perlu membawa anak berjumpa dengan doktor gigi?

  • Jikalau anak anda mengalami tanda-tanda seperti berikut, dia perlu dibawa ke Jabatan Kecemasan atau ke klinik pergigian.
  • Dia mengalami pendarahan yang tidak berhenti selepas tempat luka tersebut ditekan secara berterusan untuk 10-15 minit
  • Giginya sakit, sengal-sengal atau sensitif selepas kejadian
  • Giginya patah, longgar, atau tercabut keluar semasa kejadian. Seeloknya, gigi kekal yang tercabut keluar perlu dicari dan di masukkan semula ke dalam soketnya. Jika ini tidak dapat dilakukan, masukkan gigi itu dalam bekas yang mengandungi susu segar dan bawa segera ke klinik gigi / Jabatan Kecemasan untuk rawatan lanjut

  • Gigi yang tercabut keluar tetapi hilang /tidak boleh dikesan.
  • Jika ada kesesakan bernafas atau susah menelan.
  • Jika ada objek yang terbenam ke dalam tisu mulut. Jangan cuba mengeluarkan objek ini sendiri.
  • Sakit apabila membuka / menutup mulut.
  • Tidak boleh menutup mulut / membuka mulut seperti biasa
  • Luka dalam mulutnya sangat dalam dan lebar.
  • Jika lukanya bersambung dari tisu bibir ke kawasan kulit sekelilingnya
  • Kanak-kanak tersebut menjadi terasa kebas, lemah, kabur penglihatan atau percakapannya menjadi kurang jelas.
  • Terdapat tanda-tanda jangkitan kuman seperti bengkak, sakit, kesukaran membuka mulut, kemerahan atau bernanah.
  • Ibubapa atau penjaga terasa runsing tentang keadaan anak

Rawatan

Rawatan yang diberi berbeza untuk kecederaan pada gigi kekal dan gigi susu.

Kecederaan kepada gigi susu boleh juga mengganggu pertumbuhan gigi kekal dalam tulang rahang. Oleh itu, ibu bapa dinasihatkan supaya memerhatikan perkembangan gigi kekal hadapan. Pastikan gigi – gigi itu berada dalam mulut ketika kanak-kanak berumur antara 6-8 setengah tahun .Sekiranya ia di dapati belum tumbuh, selepas 8½ tahun, segeralah berjumpa doktor pergigian.

Bagaimanakah saya hendak pastikan jikalau gigi anak saya merupakan gigi susu atau gigi kekal?

Kebiasannya gigi kekal hadapan tumbuh dalam lingkungan umur 6-8 tahun . Jika tidak dapat menentukan samada gigi tersebut gigi susu atau kekal, sila bawa kanak-kanak tersebut berjumpa doktor gigi.

Masukkan gigi yang tidak pasti itu ke dalam susu segar dan bawa bersama ke klinik gigi dengan kadar segera. (Ini kerana, jikalau ianya gigi kekal, maka gigi tersebut perlu ditanam semula secepat mungkin untuk peluang pemulihan yang maksima).

Apakah masalah / komplikasi yang boleh berlaku akibat kecederaan kegigian?

Selalunya selepas kecederaan, kanak-kanak akan pulih dengan baik. Kanak-kanak yang menerima rawatan segera mempunyai peluang untuk sembuh dengan lebih baik lagi.

Adakalanya, berlaku komplikasi dimana anda perlu mendapatkan nasihat doktor gigi:

  • Jangkitan kuman pada gigi yang tercedera.
  • Perubahan warna gigi yang tercedera.
  • Perkembangan gigi kekal terganggu.
  • Pendarahan berlebihan
  • Gigi yang tertanggal secara tidak sengaja tersedut ke dalam paru-paru atau tertelan. Anak anda perlu dibawa ke Jabatan Kecemasan dengan segera jikalau ada masalah pernafasan.

Apakah yang boleh dilakukan jikalau ada pendarahan dari kecederaan yang kecil?

Kadang-kadang, disamping kecederaan kepada tisu gigi, kanak-kanak tersebut mungkin juga tercedera pada tisu lembut dalam mulut. Kecederaan dalam mulut adakalanya berdarah dengan banyak.

Langkah mengurangkan pendarahan berlebihan

Untuk kecederaannya di tisu sebelah bibir atau pipi, penjaga boleh menggunakan tuala yang bersih dan memberi tekanan dari luar mulut selama 10-15 minit untuk mengurangkan pendarahan. Jika pendarahan dari luka pada lidah, penjaga boleh meletakkan tuala / gauze yang bersih di kawasan luka tersebut dan suruh kanak-kanak tersebut menekan dengan lidahnya supaya pendarahan boleh dikurangkan. Sila bawa ke klinik jikalau pendarahan tidak berhenti atau lukanya besar.

Galakkan kanak-kanak tersebut menelan air liurnya. Jangan berkumur-kumur kerana ini akan melambatkan pembekuan darah pada tempat yang terluka.

Luka yang besar mungkin perlu di cuci dan dijahit semula oleh doktor gigi. Ubat bius setempat boleh diberi untuk kurangkan sakit semasa prosedur ini dijalankan.

Luka yang kecil akan sembuh dengan sendirinya dalam 3-4 hari. Semasa tempoh persembuhan, tisu ini mungkin nampak putih pada mulanya.

Kesakitan

Jika kanak-kanak mengalami kesakitan, dia boleh diberi ubat penahan sakit yang bersesuaian untuk umurnya.

Penjagaan mulut sebaik selepas kecederaan gigi

Penjagaan kebersihan mulut sangat penting terutamanya selepas trauma. Gigi perlu digosok seperti biasa 2 kali sehari. Ada kalanya, doktor gigi mungkin memberi ubat kumur pembasmi kuman.

Ubat pelalian Tetanus

Jika booster tetatus diperlukan, doktor gigi anda akan memberi rujukan ke doktor perubatan.

Pencegahan kecederaan kegigian

Impak kepada struktur gigi semasa trauma boleh dikurangkan semasa bersukan dengan penggunaan alat pelindung mulut

Kanak-kanak yang giginya jongang berisiko tinggi untuk mendapat kecederaan kegigian. Penggunaan alat pelindung mulut boleh mengurangkan risiko kecederaan kegigian.

Penggunaan alat pelindung mulut digalakkan terutamaya semasa aktiviti bersukan yang mana ada kemungkinan terlanggar dengan rakan sepasukan atau alat permainan (seperti bola sepak, tinju, hoki dan sebagainya).

Rujukan

  1. Andreasen JO, Borum MK, Jacobsen HL, Andreasen FM. Replantation of 400 avulsed permanent incisors. 4. Factors related to periodontal ligament healing. Endod Dent Traumatol 1995; 11:76.
  2. U Glendor, Epidemiology of traumatic dental injuries – a 12 year review of the literature. Dental Traumatology 2008; 24:603-611

Semakan Akhir : 24 Januari 2014
Penulis : Dr. Yogeswari a/p Sivapragasam

 

 

Artikel Berkaitan

Osteoradionekrosis Tulang Rahang

ORN boleh dikenal pasti apabila tulang rahang yang terdedah kepada sinaran radiasi, mati atau tidak bernyawa dan seterusnya mengakibatkan tulang terdedah melalui kulit atau mukosa serta tidak sembuh selama 3 bulan tanpa bukti terjadinya pengulangan tumor.

Cabutan Gigi

Cabutan gigi merujuk kepada exodontia, suatu prosedur pengeluaran atau pembuangan gigi daripada tulang rahang. Prosedur ini dilaksanakan apabila gigi tersebut didapati tidak dapat diselamatkan atau dikaitkan dengan sebarang patologi atau penyakit.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia