Pengenalan
Pernahkah anda mendengar keluhan sebegini? “Ish! Seriklah aku makan kenduri kat rumah dia tu. Merana perut aku kena cirit-birit dan muntah-muntah!”
Cirit-birit dan muntah-muntah adalah antara tanda-tanda keracunan makanan. (Lihat artikel keracunan makanan)
Sama ada anda sebagai penganjur majlis atau sebagai tetamu, anda tentu tidak ingin kejadian keracunan makanan berlaku dalam mana-mana majlis kenduri.
Justeru, artikel ini menyediakan panduan mudah untuk mencegah kejadian keracunan makanan dalam majlis kenduri-kendara untuk penganjur majlis dan tetamu.
Panduan Untuk PENGANJUR MAJLIS
- Jika menggunakan khidmat syarikat KATERER :
a) Pastikan premis berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
- Di bawah Jadual Pertama (Peraturan 3), Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009, semua premis katerer mesti berdaftar dengan Kementerian Kesihatan.
(Nota : Anda digalakkan menyenaraikan beberapa calon syarikat katerer terlebih dahulu dan pastikan ini adalah kriteria pertama yang anda nilai dalam memilih calon syarikat katerer).
b) Dapatkan status tahap kebersihan premis.
- Setelah mengenal pasti bahawa premis calon syarikat katerer tersebut berdaftar dengan Kementerian Kesihatan, semak status tahap kebersihan premis tersebut dengan Pejabat Kesihatan di mana premis tersebut berada.
- Pilih premis yang mempunyai markah penilaian tahap kebersihan paling tinggi.
c) Pantau pengendalian makanan semasa majlis berlangsung.
- Pastikan makanan diangkut dengan kenderaan yang bersih.
- Pastikan stok makanan tidak diletak di atas lantai.
- Pastikan makanan sentiasa dihidang dalam keadaan panas.
- Pastikan makanan dihidang dalam bekas yang bersih dan bertutup.
- Pastikan pengendali makanan memakai pakaian yang bersih serta memakai pakaian pelindung seperti ;
- apron,
- penutup kepala, dan
- kasut.
- Pastikan pengendali makanan menggunakan kain lap khusus untuk kegunaan yang berbeza. Contoh :
- kain lap warna kuning untuk lap meja,
- kain lap warna putih untuk lap pinggan.
- Pastikan pengendali makanan sentiasa membasuh tangan selepas mengendalikan sampah atau benda yang kotor.
- Pastikan peralatan yang digunakan untuk mengendalikan makanan adalah bersih.
- Pastikan pengendali makanan tidak mengamalkan tabiat buruk seperti ;
- merokok,
- meludah merata-rata, dan sebagainya.
- Pastikan pengendali makanan tidak menyentuh makanan dengan tangan secara langsung.
- Pastikan perkakas seperti pinggan mangkuk dibasuh dengan bersih sebelum digunakan semula.
- Pastikan kemudahan pembuangan sisa makanan disediakan oleh syarikat katerer.
- Jika makanan disediakan SENDIRI :
a) Pemilihan bahan mentah
- Pilih bahan mentah yang segar dan berkualiti.
- Jika menggunakan ramuan dalam tin, pastikan tin masih berkeadaan elok ;
- tidak kemek,
- tidak kembung,
- tidak berkarat.
- Pilih ramuan yang belum luput tarikh, jika berkenaan.
b) Penyediaan bahan mentah
- Disediakan di tempat yang bersih.
- Gunakan peralatan / perkakas yang ;
- bersih,
- tidak berkarat,
- mudah dicuci.
- Tempat penyediaan bahan mentah hendaklah berasingan dari tempat memasak/ penyediaan makanan yang tidak dimasak.
- Bahan dibasuh menggunakan bekalan air yang bersih dan selamat.
- Sisa bahan mentah dibuang dalam bekas yang bertutup.
c) Memasak
- Gunakan peralatan / perkakas yang ;
- bersih,
- tidak berkarat, dan
- mudah dicuci.
- Gunakan peralatan / perkakas yang berasingan daripada peralatan / perkakas yang digunakan untuk mengendalikan bahan mentah.
- Elakkan memasak makanan terlalu awal.
(Nota : Bilangan kuman dalam makanan akan meningkat seiring dengan pertambahan masa selepas ia dimasak).
- Pastikan makanan dimasak secukupnya.
d) Menghidang makanan
- Pastikan makanan dihidang dalam bekas yang ;
- bersih, dan
- bertutup.
- Pastikan makanan sentiasa dipanaskan.
- Sediakan perkakas seperti senduk dan penyepit yang bersih dan mencukupi.
- Sediakan kemudahan pembuangan sisa makanan yang mencukupi.
Panduan Untuk TETAMU
- Amalkan konsep lihat, hidu dan rasa.
a) LIHAT
- Adakah terdapat tanda-tanda makanan telah rosak seperti ;
- berbuih, dan
- berlendir ?
- Adakah terdapat kesan hurungan serangga seperti telur lalat dan sebagainya ?
b) BAU
- Adakah makanan berbau ;
- pelik, atau
- tidak menyenangkan ?
c) RASA
- Adakah makanan tersebut terasa seperti ;
- basi,
- pelik, atau
- tidak menyenangkan ?
JIKA YA, jangan makan makanan itu dan maklumkan kepada tuan rumah atau penganjur majlis.
- Basuh tangan sebelum makan.
- Jangan sentuh makanan yang dihidangkan dengan tangan.
- Gunakan senduk / penyepit makanan yang disediakan.
Semakan akhir | : | 17 Julai 2013 |
Penulis | : | En. Badruzzaman bin Abdul Rahim |