A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Pengenalan

“Saya berasa takut padahal tidak ada apa yang saya perlu takut. Tiba-tiba saya berasa bimbang, dada saya berdebar-debar, saya berpeluh dan saya dapat merasakan yang sesuatu yang tidak baik akan menimpa saya” Ini adalah fenomena yang sering terjadi dan fenomena ini dinamakan keresahan. Keresahan ialah apa yang kita rasa apabila diancam sama ada benar atau hanya imaginasi kita sahaja.

Tanda-tanda gejala

Tanda-tanda psikologikal

  • Perasaan risau dan takut
  • Perasaan bimbang
  • Susah untuk tidur
  • Gelisah

Tanda fizikal

  • Dada berdebar-debar
  • Tidak sedap perut(rasa nak terberak, cirit-birit)
  • Mudah berpeluh, berasa seram sejuk
  • Sakit atau pening kepala, mata berpinar-pinar
  • Badan berasa kejang dan tegang
  • Mudah letih

Jenis-jenis keresahan

Ada banyak jenis keresahan antaranya:-

  1. Gangguan Keresahan Umum.
    • Sentiasa berasa resah dan gelisah sepanjang masa. Sentiasa bimbang tentang berbagai-bagai masalah.
  2. Gangguan Panik
    • Keadaan di mana keresahan terjadi dengan tiba-tiba tanpa disangka. Tahap keresahan adalah sangat tinggi sehinggakan pesakit menyangka ia akan mati.
  3. Gangguan Fobia
    • Keresahan yang dialami selalu berkait dengan objek dan situasi yang spesifik contohnya kewujudan ular, labah-labah, bangunan yang tinggi, tempat yang sesak, majlis keramaian rasmi dan terbang dalam kapal terbang.
  4. Gangguan Stres Pasca-trauma
    • Keresahan yang dialami berikutan terdedahnya kepada situasi yang sangat menakutkan dan menggerunkan seperti gempa bumi, tsunami, peperangan, kejadian kena rogol dan sebagainya. Seseorang itu mungkin teringat kembali peristiwa itu, mimpi yang mengerikan dan akan mengelakkan diri dari tempat dan situasi yang sama.
  5. Gangguan Obsesif-Kompulsif
    • Seseorang itu mempunyai fikiran yang tidak rasional yang sentiasa menghantuinya dan datang bertubi-tubi dengan tidak dapat dilawannya dan menyebabkan ia berasa tidak selesa dan sangat resah. Contohnya ia berasa bahawa tangannya sangat kotor(fikiran obsessif). Ia akan berusaha membasuh tangannya berkali-kali (kelakuan kompulsif) supaya keresahannya dapat dikurangkan.

Komplikasi

Sekiranya tidak dirawat, penyakit ini akan melarat dan menjadi kronik dan mengurangkan keupayaan kita menjalani aktiviti hidup harian dengan berkesan.

Rawatan

Satu penilaian yang lengkap dan teliti oleh doktor adalah perlu terutamanya untuk mengenal pasti penyakit-penyakit lain seperti thyrotoxicosis atau penggunaan ubat-ubat lain adalah bukan penyebab penyakit ini.

  • Ubat-ubat:
    • Penggunaan ubat untuk mengurangkan keresahan (anxiolytic) selalunya digunakan untuk tempoh yang singkat untuk memberi kelegaan yang cepat sebelum timbulnya kesan ubat lain.
  • Psikoterapi:
    • Ini melibatkan sesi bercakap tanpa batasan dengan perawat anda untuk menemui sebab sebenar yang membawa kepada keadaan keresahan anda, mengenal diri anda dan mengenal pasti kaedah alternatif yang boleh anda gunakan untuk menangani masalah anda dengan lebih berkesan.
  • Terapi kognitif-tingkah laku
    • Terapi ini mengubah cara anda berfikir dan memerhati keadaan di sekeliling anda. Anda juga akan belajar cara baru untuk menangani keadaan yang mengganggu anda dengan memberi pendedahan kepada keadaan itu dengan cara yang teratur dan memberi kesan yang positif.
  • Teknik Relaksasi:
    • Banyak jenis kaedah dan teknik yang dapat menenangkan dan mengurangkan keresahan akan diajar semasa sesi ini berjalan.

Anda hendaklah sentiasa berbincang dengan doktor anda mengenai pelbagai pilihan kaedah rawatan yang ditawarkan untuk anda.

Pencegahan

Langkah-langkah mengurangkan stres.

Pemulihan

Setelah tanda-tanda penyakit dapat dikawal dengan mengambil ubat secara teratur, satu pelan rehabilitasi yang lengkap dan komprehensif harus diatur supaya pesakit dapat kembali berfungsi di dalam masyarakat seperti sediakala.

Setiap Jabatan Psikiatri di setiap hospital-hospital besar seluruh negara mempunyai unit pemulihan cara kerja dengan kakitangan terlatih bagi membantu anda pulih sepenuhnya dari penyakit anda.

Sebahagian daripada pusat-pusat kesihatan sudah dilengkapi dengan unit pemulihan psikososial di dalam komuniti bagi membantu anda pulih dari penyakit dan mengembalikan keyakinan diri untuk bekerja dan berinteraksi dengan masyarakat.

Kumpulan Sokongan

  • KAMI (kumpulan sokongan keluarga Johor)
  • MMHA (Persatuan Kesihatan Mental Malaysia – Petaling Jaya)
  • Kumpulan-kumpulan Sokongan Keluarga di setiap negeri
Semakan Akhir : 20 April 2012
Penulis : Dr. Mohd Nasir bin Abd Kadir
Penyemak : Dr. Mohd Ariff Bin Mohd Noor

 

Artikel Berkaitan

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia