Apakah yang perlu anda lakukan semasa makan di luar?
- Pilih premis yang bersih.
- Pilih makanan yang sihat dan selamat.
Apakah premis makanan yang bersih?
Premis-premis makanan yang bersih ialah :
- Terletak jauh dari kawasan yang kotor yang berhabuk dan tidak terdapat lalat, lipas, tikus dan binatang sesat.
- Mempunyai kemudahan asas seperti saluran air bersih, elektrik, saliran yang sempurna, tong sampah dan tandas.
- Mempunyai pengudaraan yang baik dan cahaya yang terang.
- Menggunakan perkakas atau alatan untuk makan dengan sempurna dan bersih.
- Mempunyai pekerja yang mengamalkan penjagaan kesihatan diri yang baik.
- Menutup semua makanan dan menggunakan penyepit makanan serta senduk semasa menghidangkan makanan.
Bagaimana untuk memilih makanan yang selamat?
- Elakkan memakan makanan yang tercemar yang mengandungi benda asing seperti rambut, kuku, pasir dan batu.
- Pilih makanan yang tidak berubah pada rasa, bau dan rupa.
- Pilih makanan yang segar dan baru dimasak.
- Elakkan mengambil makanan yang “terbakar” (hangus) seperti sate hangus.
- Pastikan makanan di dalam tin atau yang dibungkus masih dalam keadaan elok.
- Hadkan pengambilan makanan yang banyak mengandungi perisa tambahan dan perwarna tiruan.
- Elakkan makanan yang telah digoreng kembali berulang kali.
Bagaimana untuk memilih makanan sihat semasa makan di luar?
- Pilih diet seimbang sebagaimana yang disarankan mengikut piramid makanan.
- Jangan terlebih memesan makanan. Ambil makanan dengan hidangan bersaiz kecil berdasarkan Saranan Pengambilan Nutrien anda.
- Minta minuman yang kurang gula.
- Jangan tambahkan garam dan produk yang mengandungi garam (seperti kicap) yang terdapat di atas meja ke dalam makanan.
- Pesan jus buah yang segar dan bukan minuman berkarbonat.
- Minta lebihkan sayur-sayuran dalam mi, nasi dan stik.
- Minta salad dan bukannya kentang goreng apabila memesan makanan segera.
- Selesaikan makan anda dengan pembasuh mulut (dessert) iaitu salad atau buah-buahan yang segar.
Semakan Akhir | : | 19 April 2012 |
Penulis | : | Jamilah bt. Ahmad |
: | Surainee bt. Wahab | |
: | Azlinda bt. Hamid | |
: | Munawara bt. Pardi | |
Penyemak | : | Pn. Surainee binti Wahab |