Pemeriksaan Mamografi
Mamografi ialah pemeriksaan x-ray ke atas payudara. Pemeriksaan ini dilakukan sebagai salah satu langkah pengesanan awal bagi kanser payudara. Doktor yang merawat pesakit juga mungkin akan memohon pemeriksaan ini sekiranya pesakit mempunyai tanda-tanda penyakit yang berkaitan dengan payudara seperti ketumbuhan (Lump), kesakitan payudara (breast pain), nipple discharge dan changes of the nipple.
Gambar 1: Imej Mammografi (www.gulfcoastobstetrics.com)
Persiapan Pesakit Sebelum Mamografi
- Juru X-Ray akan memberi tarikh temujanji untuk mamografi.
- Temujanji dibuat untuk menentukan pesakit tidak mengandung semasa pemeriksaan dan tarikh dan masa adalah sesuai pada pesakit dan jabatan radiologi. Sekiranya anda mengandung, pemeriksaan mungkin akan ditangguhkan sehingga selepas bersalin.
- Pada hari pemeriksaan dilakukan pesakit dilarang memakai bedak atau minyak wangi di bahagian ketiak dan payudara. Sebelum pemeriksaan dijalankan, pesakit dikehendaki menukar pakaian ke pakaian hospital.
Bagaimana Mamografi Dilakukan
- Pemeriksaan akan dilakukan oleh Juru X-ray wanita yang dilatih khas bagi menjalankan pemeriksaan ini menggunakan mesin khas..
- Semasa pemeriksaan, payudara akan ditekan dan dimampatkan dengan alat khas. Ini dilakukan untuk memberi ketebalan yang sama rata pada payudara. Pesakit akan merasa sedikit kesakitan. Sila maklumkan kepada Juru X-ray sekiranya anda tidak tahan dengan kesakitan akibat tekanan tersebut.
- Pemeriksaan ini biasanya akan dilakukan dengan pesakit berdiri menghadap mesin mammografi.
Gambar 2: Melakukan posisi (commons.wikimedia.org)
Laporan Radiologi akan dibuat oleh doktor pakar dalam bidang radiologi. Sekiranya perlu pakar radiologi akan melakukan pemeriksaan ultrasound ke atas pesakit setelah meneliti imej mamografi yang dihasilkan oleh Juru X-ray.
Semakan Akhir | : | 28 Februari 2014 |
Penulis | : | Barnabas Jampi Agan |
Akreditor | Mohd Zin bin Yusof |