Mata yang merah menunjukkan ada sesuatu yang tidak kena dengan mata kita. Permukaan mata kelihatan merah disebabkan oleh saluran darah pada bahagian mata yang membesar dan bengkak. Tahap kemerahan tidak menggambarkan tahap keseriusan masalah. Tanda-tanda mata bermasalah adalah:
- Penglihatan menjadi kabur
- Rasa sakit pada mata
- Rasa sakit apabila terdedah kepada cahaya (fotofobia)
Sekiranya mata anda merah dan sakit ini bermakna anda perlu mendapatkan nasihat doktor. Antara punca mata merah dan sakit adalah:
- Ulser kornea
- Uveitis
- Glaukoma akut
Ulser kornea
Ulser kornea adalah ulser yang berlaku pada selaput luar mata. Punca ulser kornea:
- Jangkitan kuman.
- Kecederaan yang disebabkan oleh benda asing dalam mata atau trauma pada kornea, contohnya calar.
- Mata kering.
- Alahan mata yang teruk.
- Memakai kanta lekap terlalu lama terutamanya kanta lekap lembut (jika dipakai semalaman).
Uveitis
Radang pada lapisan tengah mata yang dinamakan uvea. Punca uveitis termasuk:
- Gangguan autoimun, contohnya radang sendi (artritis rheumatoid).
- Jangkitan kuman.
- Terdedah kepada toksin.
Dalam sesetengah kes, punca uveitis tidak diketahui.
Acute glaucoma
Keadaan di mana tekanan dalam mata meningkat secara mendadak. Ini menyebabkan mata terasa sangat sakit, merah serta menjejaskan penglihatan. Keadaan seperti ini adalah serius dan memerlukan rawatan. Buta boleh berlaku jika keadaan ini tidak segera dirawat. Mata merah yang menyakitkan perlu diperiksa dengan segera untuk mendapatkan rawatan. Doktor akan memeriksa anda termasuklah menjalankan ujian penglihatan, dan menggunakan slitlamp untuk pemeriksaan mata anda. Rawatan akan diberikan berdasarkan punca masalah. Penglihatan boleh terjejas jika anda lewat mendapatkan rawatan. Rawatan awal boleh mengurangkan komplikasi dan menyelamatkan penglihatan anda.
Rujukan
- http://eyesinfection.com/wp-content/uploads/2011/08/image011.png
- http://bestpractice.bmj.com/best-practice/monograph/561/resources/image/bp/4.html
- http://www.aao.org/theeyeshaveit/red-eye/anterior-uveitis.cfm
- http://www.aao.org/theeyeshaveit/red-eye/angleclosure-glaucoma.cfm
Semakan Akhir | : | 28 Ogos 2020 |
Penulis | : | Dr. Nazrila Hairizan bt. Nasir |
Penterjemah | : | Pn. Noorhayati Kassim |
Akreditor | : | Dr. Nik Rubiah bte. Nik Abdul Rashid |
Penyemak | : | Dr. Nazhatussima bt. Suhaili |