A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

Mata Merah Tanpa Sakit

Pengenalan

Terdapat berbagai keadaan yang boleh menyebabkan mata menjadi merah. Di samping merah, mata juga boleh merasa sakit atau pun tidak. Seperti yang dijelaskan di bawah tajuk yang lain, mata merah beserta sakt atau kabur penglihatan memerlukan rawatan perubatan yang segera.

Keadaan yang sering menyebabkan mata merah tanpa merasa sakit ialah pendarahan subkonjunktiva, pterygium (ketumbuhan di konjuntiva), konjunktivitis alahan dan episcleritis.

1. Pendarahan Subkonjunktiva

Pendarahan subkonjunktiva berlaku apabila salur darah bersaiz kecil yang terdapat pada lapisan luaran bola mata pecah. Biasanya ia tidak sakit dan penglihatan tidak terganggu. Ia kelihatan seperti tompokan merah terang di permukaan mata putih. Keadaan ini boleh berlaku secara tiba-tiba atau selepas kecederaan, akibat bersin berterusan, batuk atau meneran. Biasanya ia akan hilang di antara satu hingga dua minggu tanpa memerlukan sebarang rawatan.

Gambar menunjukkan mata mengalami pendarahan subkonjunktiva yang sedikit

Pendarahan sebahagian mata

 

Gambar menunjukkan mata mengalami pendarahan subkonjuntiva yang teruk

Pendarahan seluruh mata

2. Pterygium

Pterygium ialah ketumbuhan bukan kanser pada lapisan konjunktiva dan ianya boleh membesar hingga menutupi sebahagian kornea. Selalunya ia kelihatan merah dengan salur darah yang dapat dilihat di permukaannya. Ia boleh menyebabkan gangguan dan keadaan kurang selesa. Sekiranya pterygium merebak ke bahagian kornea, pembedahan perlu dilakukan bagi mengelakkan gangguan penglihatan. Pterygium sering tumbuh semula selepas pembedahan terutama di kalangan pesakit yang muda (kurang dari 60 tahun). Dengan itu pterygium yang kecil dan tidak mengganggu penglihatan tidak perlu dibedah. Sekiranya pterygium menjadi merah disebabkan radang, ia boleh dirawat dengan ubat titisan mata oleh doktor mata.

Gambar menunjukkan pterygium yang tumbuh dikedua-dua belah kornea.

3. Konjunktivitis Alahan

Konjunktivitis alahan merupakan konjunktivitis yang tidak berjangkit. Ia disebabkan oleh alahan pada bahan yang terdapat di persekitaran kita atau kesan sampingan terhadap bahan pengawet yang terdapat di dalam ubat mata atau alat solekan yang digunakan. Keadaan ini boleh menyebabkan iritasi dan mata menjadi merah. Mengurangkan atau mengelakkan dari pendedahan kepada bahan-bahan tersebut, dapat membantu mengawal keadaan. Konjunktivitis alahan yang serius memerlukan ubat titis untuk mengawal symptom seperti gatal dan merah. Walaubagaimana pun pesakit konjunktivitis alahan perlu mendapatkan khidmat nasihat doktor mengenai rawatan terlebih dahulu Konjuntivitis alahan kadangkala memerlukan ubat titisan mata yang mengandungi STEROID terutama bagi kes akut.

AWAS: Penggunaan ubat titis mata yang mengandungi STEROID dalam jangka masa yang panjang tanpa pengawasan doktor mata boleh merosakkan mata dan menyebabkan kebutaan

Gambar menunjukkan mata yang mengalami konjunktivitis alahan.

Kelopak mata atas yang di tebalikkan menunjukkan tanda-tanda alahan

4. Episkleritis

Episkleritis ialah radang pada lapisan episklera yang merupakan lapisan serat di antara dinding putih pada mata (sklera) dan lapisan lutsinar yang menutupi bola mata (konjunktiva). Dalam keadaan ini terdapat tompokan merah pada sebahagian permukaan mata. Ia mungkin menyebabkan gangguan yang ringan. Masalah ini akan hilang tanpa rawatan. Walaubagaimana pun jika ia sering berlaku atau berterusan lebih dari seminggu maka ia memerlukan perhatian daripada doktor mata.

Gambar menunjukkan mata yang mengalami episkleritis

Tompokan merah dengan salur darah yang radang

Semakan Akhir : 23 Ogos 2019
Penulis : Dr. Kursiah Bt. Mohd Razali
Pn. Nor’Aini Bt. Anuar
Pn. Nor Azizah Bt. Ismail
Penyemak : Dr. Rosniza bt. Ab. Razak

Artikel Berkaitan

Bertindik

Bertindik adalah keadaan di mana seseorang itu membuat lubang pada mana- mana anggota badan dengan menggunakan jarum, kemudian barang kemas (jewelry)seperti subang dimasukkan ke dalamnya.

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,767,447

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia