A A +A
[wpml_language_selector_widget]

SELAMAT DATANG KE PORTAL RASMI
MYHEALTH KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

  1. Home
  2. /
  3. Kesihatan Mental
  4. /
  5. Kesihatan Mental Umum
  6. /
  7. Lain-lain
  8. /
  9. Memahami Masalah Kesihatan Mental

Memahami Masalah Kesihatan Mental

Pengenalan

Sejak kebelakangan ini, terdapat banyak tumpuan diberikan terhadap kesihatan mental. Selaras dengan kemajuan negara kita yang kini berkembang, masalah kesihatan mental dan penyakit mental telah menjadi semakin bertambah dan terdapat peningkatan dari tahun ke tahun. Didapati, peningkatan yang ketara dalam kadar bunuh diri dan penyakit mental sejak sedekad lalu berpunca daripada tahap kesihatan mental yang lemah. Oleh itu, adalah penting untuk rakyat Malaysia menyedari tentang pentingnya kesedaran terhadap penyakit mental, kepentingan memelihara tahap kesihatan mental yang baik dan mengenal pasti gejala-gejala masalah kesihatan mental yang memerlukan intervensi dan rawatan.

Fakta:

Definisi kesihatan secara menyeluruh tidak hanya tertumpu kepada kesihatan fizikal tetapi merangkumi kesihatan mental. Mengikut takrifan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) : ” Kesihatan adalah satu keadaan merangkumi kesihatan secara fizikal, mental dan sosial dan tidak hanya ketiadaan penyakit”. Untuk memahami tentang masalah kesihatan mental, kita perlu memahami konsep kesihatan mental terlebih dahulu.Terdapat perbezaan yang besar diantara kesihatan mental dan penyakit mental. Oleh itu, kita tidak seharusnya menggunakan istilah ini secara tukar-ganti. Seseorang individu yang normal mungkin tidak mempunyai kesihatan mental yang baik pada setiap masa, tetapi masih lagi berupaya untuk melakukan aktiviti seharian seperti biasa. Berlainan pula dengan mereka yang mempunyai penyakit mental, dimana fungsi seharian akan terjejas. Secara umumnya, kesihatan mental menggambarkan tahap kesejahteraan pemikiran dan emosi seseorang individu.

Definisi kesihatan mental:

Tiada istilah rasmi atau satu definisi tetap tentang kesihatan mental. Perbezaan budaya, penilaian yang subjektif dan teori professional telah mempengaruhi bagaimana kesihatan mental ditakrifkan. Kesihatan mental adalah satu keadaan yang sejahtera di mana seseorang individu menyedari tentang keupayaan diri, dapat mengendalikan tekanan dengan baik, dapat bekerja secara produktif dan mampu menyumbang kepada masyarakat. Ini bermaksud, kesihatan mental adalah asas kepada kesejahteraan individu dan kemampuan masyarakat berfungsi secara effektif. Kesihatan mental adalah ekspresi emosi dan melambangkan keupayaan untuk menyesuaikan diri dalam pelbagai tekanan dan tuntutan hidup.

Walau bagaimanapun, tidak terdapat garis penentu yang jelas dalam membezakan antara mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik dan mereka yang tidak.Terdapat banyak tahap dalam kesihatan mental.Tiada satu kriteria yang boleh digunakan untuk membuktikan kesihatan mental yang baik.Tiada seorang individu pun yang mempunyai semua ciri-ciri kesihatan mental yang baik pada setiap masa.Ia banyak bergantung kepada faktor individu, sosial dan persekitaran.Terdapat beberapa faktor sosial, psikologikal dan biologikal yang menentukan tahap kesihatan mental seseorang pada satu-satu masa. Kesihatan mental boleh terjejas disebabkan masalah sosio-ekonomi, pertukaran keadaan persekitaran/sosial secara mendadak, tekanan di tempat kerja, dan penyakit fizikal.Tidak seperti masalah kesihatan mental, mereka yang mempunyai penyakit mental pula mengalami satu keadaaan dimana tahap mental seseorang itu menyebabkan fungsi seharian individu itu terjejas sama ada dari segi sosial atau pun pekerjaan. Ia memerlukan rawatan.

Epidemiologi

Kajian Morbiditi Kesihatan Kebangsaan yang ke -3, yang telah dijalankan pada tahun 2006 telah membolehkan kita mendapat maklumat tentang tahap kesihatan mental di kalangan dewasa di Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas. Ini adalah bedasarkan kertas soal-selidik “General Health Questionnaire” mengandungi 28 item yang digunakan di seluruh dunia untuk menyaring kesejahteraan psikologikal seseorang.

Didapati dari hasil kajian:

  • Prevalens keseluruhan – 11.2% daripada rakyat Malaysia yang dewasa mempunyai morbiditi psikiatri /mental dimana kadar tertinggi adalah di kalangan yang berbangsa cina dengan 31.1%.
  • Jantina – Lebih ramai wanita mengalami masalah mental (55%) berbanding lelaki (45%)
  • Penempatan – Masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan masyarakat bandar (12.6%)  berbanding luar bandar(8.5 %)
  • Tahap pendidikan – masalah mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang tiada pendidikan atau berpendidikan  rendah (15-16%)
  • Status perkahwinan – kadar adalah paling tinggi di kalangan mereka yang bercerai (13.6%); diikuti oleh bujang (13.1%) balu (12.2%) dan mereka yang berkahwin. (10.5%)
  • Pemikiran utuk membunuh diri – Prevalens keseluruhan untuk pemikiran bunuh diri yang akut adalah 6.4%, dengan kadar tertinggi di kalangan remaja dan  peringkat awal dewasa berumur antara 16-24  iaitu sebanyak 11%
  • Gangguan tidur (insomnia)– kadar keseluruhan adalah 14% dengan mereka yang berumur antara 70-74 tahun mempunyai prevalens tertinggi sebanyak  20%.

Penemuan di atas adalah petunjuk kepada keadaan kesihatan mental di kalangan penduduk dewasa di Malaysia ketika soal-selidik dijalankan. Ia tidak menunjukkan secara khusus kepada penyakit mental yang spesifik.

((Psychiatric Morbidity, a Report of the Third National Health and Morbidity Survey, 2006. Institute of Public Health, Ministry of Health Malaysia, 2008)

Tanda dan Gejala

Gejala dan tanda-tanda kesihatan mental yang terjejas boleh timbul akibat dari tekanan secara fizikal, sosial dan persekitaran. Ia terjadi apabila seseorang itu mengalami kesukaran untuk menyesuaikan diri atau menangani tekanan. Ia boleh mempengaruhi kesihatan fizikal dan boleh menjadi di luar kawalan. Ini akan menyebabkan keadaan fizikal dan emosi seseorang itu terjejas.

Tiga bahagian utama yang mungkin terjejas adalah:

  • Fisiologikal : Ia menyebabkan seseorang itu cenderung untuk mendapat atau memburukkan lagi penyakit fizikal seperti penyakit jantung dan darah tinggi, menyebabkan sakit kepala dan kesakitan otot.
  • Tingkah laku : Prestasi kerja mungkin menurun, cenderung untuk mengalami kemalangan, tidak hadir bertugas, bertindak agresif dan mudah marah, sukar membuat keputusan dan menyelesaikan masalah.
  • Psikologi : Timbul rasa tidak puas hati, mudah terasa, ,murung dan berasa penat secara emosi. Antara gejala biasa yang menunjukkan kesihatan mental terjejas adalah panas baran, sukar tidur, hilang selera makan, turun berat badan, gemuruh, berdebar-debar dan tidak bersemangat.

Komplikasi

Jika seseorang individu itu terdedah kepada tekanan berterusan dan tidak berupaya mengendalikan tekanan, mereka mungkin mendapat penyakit mental. Terdapat kaitan yang jelas di antara tekanan hidup dan penyakit mental. Risiko untuk penyakit mental adalah lebih tinggi di kalangan mereka yang mempunyai sejarah keluarga yang mempunyai penyakit mental,faktor psikologi dan masalah personaliti tertentu , ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak dan keabnormalan otak. Seseorang individu itu akhirnya berpotensi mendapat penyakit seperti kemurungan, penyakit Bipolar dan Skizofrenia.

Rawatan

Tiada rawatan ubatan diperlukan untuk kesihatan mental yang terjejas. Walau bagaimanapun, langkah pencegahan perlu dilakukan agar ia tidak berkembang menjadi penyakit mental.

Pencegahan

Untuk individu, antara langkah-langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah memperbaiki strategi menangani masalah, mengukuhkan sokongan sosial dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Pada peringkat yang lebih besar, penekanan perlu diberikan kepada promosi kesihatan mental. Promosi kesihatan mental memerlukan penglibatan pelbagai pihak seperi sektor kerajaan, swasta dan organisasi komuniti.Tumpuan harus diberikan kepada promosi kesihatan mental sepanjang hayat iaitu dari peringkat kanak-kanak lagi. Ini adalah untuk mencegah penyakit mental daripada berlaku ketika peringkat dewasa dan warga tua. Program di bawah mungkin berfaedah, iaitu

  • Intervensi awal kanak-kanak (Contoh : lawatan ke rumah untuk wanita mengandung, bantuan nutrisi/pemakanan serta kewangan untuk mereka yang kurang bernasib baik)
  • Sokongan kepada kanak-kanak dan remaja ( Contoh : Program perkembangan kanak-kanak dan remaja)
  • Program pengukuhan ekonomi golongan wanita (Contoh : memudahkan laluan pendidikan serta sistem mikro-kredit seperti Industri Kecil dan sederhana (IKS) , Amanah Ikhtiar Malaysia);
  • Sokongan sosial untuk warga emas (Contoh : Pusat komuniti dan jagaan harian)
  • Program psiko-sosial untuk kumpulan berisiko ,contohnya penduduk yang terlibat dengan bencana seperti tsunami dan banjir.
  • Aktivisi promosi kesihatan mental di sekolah (Contoh: Program menangani masalah dan krisis di kalangan murid sekolah)
  • Intervensi kesihatan mental di tempat kerja (Contoh: Program pencegahan stres).
  • Program perkembangan komunitidan kumpulan sokongan.

Kumpulan Sokongan

  • Semua klinik kesihatan di seluruh Malaysia menyediakan perkhidmatan saringan untuk kesihatan mental dan penyakit mental menggunakan soal-selidik tertentu. Mana-mana individu yang berhasrat melakukan penilaian kesihatan mental boleh berbuat demikian. Pengesanan awal adalah perlu.
  • Malaysian Mental Health Association(MMHA)
  • Malaysian Psychiatric Association (MPA)

 

Semakan Akhir : 30 Januari 2013
Penulis : Dr. Firdaus Bt. Datuk Abdul Ghani

 

 

Artikel Berkaitan

Numerologi

  Sumber: Google Pengenalan Numerologi merupakan amalan tradisi, sistem kepercayaan

Psychotherapy

Introduction In mental health, a number of different theories are

ALAMAT

Bahagian Pendidikan Kesihatan,
Kementerian Kesihatan Malaysia,
Aras 1-3, Blok E10, Kompleks E,
Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62590 Putrajaya, Malaysia.

TALIAN AM :   +603 8000 8000

FAKS :   +603 8888 6200

EMEL :   myhealth@moh.gov.my

BILANGAN PENGUNJUNG : 227,772,827

TARIKH AKHIR KEMASINI :
2024-07-16 15:32:21

PAPARAN TERBAIK   Paparan terbaik menggunakan pelayar Google Chrome Version 57.0, Mozilla Firefox Version 52.0 dengan resolusi 1366 x 768px

Hakcipta Terpelihara ©2005-2022 Bahagian Pendidikan Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia