Pengenalan
Badan kita mempunyai ritma semulajadi yang menggalakkan tidur pada waktu malam dan menjadi aktif dan berjaga pada waktu siang. Apabila kita mengembara merentasi zon masa yang berbeza, ritma semulajadi ini akan terjejas. Gejala seperti gangguan tidur, hilang tumpuan serta letih lesu yang dialami selepas melakukan penerbangan yang panjang disebut sebagai lesu pesawat atau jet lag.
Zon masa
Bumi terbahagi kepada 24 zon masa, dengan perubahan masa sebanyak satu jam bagi setiap 150 perjalanan ke meridian timur atau meridian barat Greenwich.
Jika terbang dari London ke New York, anda perlu memusing masa lima (5) jam ke belakang manakala jika anda terbang dari London ke Jepun, anda perlu memusingkan masa sembilan (9) jam ke hadapan (sembilan zon masa). Oleh itu, apabila tiba di Tokyo pada waktu malam membuatkan anda berasa seolah-olah waktu tengahari. Ia mengambil masa (kira-kira satu hari bagi setiap zon masa) untuk menyesuaikan diri dengan waktu tempatan.
Tanda dan gejala
Gangguan tidur, hilang tumpuan serta letih lesu.
Rawatan
Dapatkan ubat tidur untuk selama dua (2) hingga tiga (3) hari sementara menunggu tubuh anda membuat penyesuaian.
Melatonin kerap digunakan di Amerika Syarikat.
Gunakan ubat tidur hanya sebelum tidur. Elakkan memandu selepas mengambil ubat.
Hipnotik seperti Temazepam membantu tidur dan memberi kecerdasan pada hari berikutnya.
Pencegahan
- Dapatkan tidur yang cukup sebelum memulakan perjalanan.
- Dapatkan rehat yang cukup semasa penerbangan.
- Makan secara sederhana dan hadkan penggunaan alkohol dan kafein. Minum banyak air atau jus buah-buahan.
- Rancang untuk tiba di destinasi pada waktu yang dekat dengan masa untuk anda tidur.
- Alihkan jam mengikut masa destinasi apabila menaiki pesawat. Bagi individu yang mengambil ubat-ubatan, seperti diabetes, jam tangan kekalkan jam mengikut waktu asal sehingga anda mampu untuk menyesuaikan ubat mengikut masa tempatan dan patuhi nasihat doktor.
- Apabila tiba di destinasi aktifkan diri secepat mungkin dan sesuaikan makanan dan aktiviti anda mengikut waktu tempatan secepat mungkin.
- Jika anda tiba pada waktu malam, makan dengan sederhana dan lewatkan tidur anda. Pada hari berikutnya, cuba makan dan tidur mengikut waktu tempatan.
- Jika anda tiba pada waktu pagi, aktifkan diri pada siang hari dan dedahkan diri kepada cahaya semula jadi sebanyak yang mungkin. Elakkan melakukan aktiviti berat pada hari pertama.
Sumber
International Travel & Kesihatan, WHO 2006
Semakan Akhir | : | 19 Jun 2013 |
Penulis | : | Dr. Norhayati Rusli |