Kepentingan gigi desidus
Gigi susu atau gigi desidus anak anda adalah penting dijaga bagi memelihara ruang untuk gigi kekal mereka. Walaupun gigi susu akan diganti secara beransur-ansur sehingga kanak-kanak berumur 12 tahun, ia penting untuk mengekalkan integriti arkus dan memberi panduan pertumbuhan gigi kekal pengganti. Gigi susu yang tersusun membantu memastikan agar gigi kekal tumbuh dalam kedudukan yang betul. Sekiranya ia dicabut, gigi kekal seringkali akan berubah kedudukan, mengakibatkan kesesakan dan keperluan memakai pendakap gigi (braces) pada masa hadapan.
Bahagian teras gigi yang dipanggil pulpa dilindungi oleh lapisan luar yang kukuh iaitu enamel dan dentin. Ia mengandungi saraf serta saluran darah yang menjadikannya hidup dan sihat. Kaviti yang dalam pada gigi susu anak anda boleh menjurus ke dalam pulpa gigi lalu menyebabkan rasa tidak selesa dan sakit kepada kanak-kanak.
Dalam kes ini, ‘pulpotomi’ adalah disyorkan untuk menyelamatkan gigi dengan mengelakkan kematian saraf dan akar. Semasa prosedur pulpotomi ini hanya sebahagian daripada tisu pulpa yang terinfeksi di dalam gigi akan dibuangkan. Bahan berubat akan diletakkan di dalam gigi dan bahan tampalan digunakan untuk menampal gigi anak anda.
Bagaimanakah persediaan untuk ‘pulpotomi’?
Doktor gigi akan mengambil x-ray gigi anak anda supaya tahap kerosakan dan jangkitan di dalam gigi boleh dikenal pasti.
Bagaimana ‘pulpotomi’ dilakukan?
‘Pulpotomi’ dilakukan dengan anestesia setempat (gigi dan kawasan sekitarnya akan menjadi kebas di sepanjang prosedur). Nitrus oksida atau ubat secara oral juga boleh digunakan sebagai ubat pelali untuk membantu menenangkan kanak-kanak yang takut apabila hanya anestesia setempat sahaja digunakan.
Doktor gigi kemudiannya akan menggunakan gerudi dan beberapa alat tangan untuk menyingkirkan bahagian rosak sehingga pulpa dicapai. Pulpa yang rosak akan disingkirkan dan ubatan seperti formokresol atau ferum sulfat diletakkan pada bahagian tinggalan pulpa akar . Kaviti kemudiannya dilitupi dengan bahan tampalan dan biasanya gigi akan dilindungi dengan korona keluli nirkarat supaya kekal lama sehingga ia tanggal secara semulajadi.
Apabila pulpotomi dilakukan dengan baik kesakitan yang dialami akan reda dan fungsi gigi anak anda pulih.
Bilakah pulpotomi tidak lagi sesuai ?
Doktor gigi pada mulanya akan memeriksa gigi untuk memastikan bahawa kerosakan gigi tidak teruk dan saraf dalam akar gigi boleh dipulihkan. Pulpotomi tidak mungkin dilakukan pada gigi longgar (bersedia untuk tanggal) atau apabila terdapat bengkak bernanah di sekitar gigi. Demikian juga jika gigi sudah rosak teruk dan tidak lagi sesuai ditampal, gigi selalunya akan dicabut.
Bagaimana jika gigi sudah bernanah tetapi masih boleh ditampal?
Gigi yang bernanah bermakna bahawa saraf gigi telah mati dan dijangkiti. Jika gigi masih sesuai ditampal, rawatan kanal akar, akan disyorkan. Rawatan ini adalah serupa dengan rawatan kanal akar gigi kekal tetapi ia boleh dilakukan dalam satu lawatan sekiranya kanak-kanak itu memberi kerjasama dan tidak berada dalam kesakitan akut.
Pulpektomi melibatkan pembuangan menyeluruh pulpa mati yang terinfeksi dan penyaliran nanah dijalankan. Antibiotik oral juga akan diberi kepada anak anda selama lima hari untuk membantu penyembuhan akibat jangkitan. Semasa prosedur, doktor gigi akan membersihkan kanal pulpa menggunakan peralatan tangan khas dan diletakkan bahan pes boleh resap iaitu Zink Oksida eugenol ke dalam kebuk saraf dengan bantuan filem x-ray. Gigi itu kemudiannya akan ditampal dengan korona keluli nirkarat. Anak anda akan diberikan temujanji susulan setiap 6 bulan sehingga gigi tersebut tanggal.
Semakan Akhir | : | 25 April 2014 |
Penulis | : | Dr. Mimi Syazleen bt. Abdul Rahman |
Penterjemah | : | Dr. Norita bt. Abdul Rahim |
Akreditor | Dr. Bahruddin b. Saripudin | |
Penyemak | : | Dr. Hjh. Noraini @ Nun Nahar bt. Yunus |